Monday, March 7, 2005

Taska asas pembangunan insan

PUTRAJAYA 2 Julai - Pengusaha taman asuhan kanak-kanak (Taska) diingatkan supaya menjadikan pusat tersebut sebagai asas kepada pembangunan insan.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, mereka perlu mengubah pandangan tentang peranan pusat itu sebagai asas pembinaan bangsa Malaysia.

``Apa yang perlu dilakukan oleh pengusaha Taska dan pihak-pihak yang bertanggungjawab ialah menyediakan program dan bentuk pengajaran asas yang sesuai supaya dapat membantu ke arah pembentukan modal insan tersebut,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Perkembangan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak serta melancarkan buku `Al-Maurid Personalised Children Book' di sini hari ini.

Rosmah berkata, pelbagai pihak termasuk ibu bapa juga perlu membincangkan bentuk modul dan program pendidikan bagi memperkasakan fungsi Taska sebagai asas pembinaan bangsa Malaysia.

``Tidak perlu pengusaha taska menyediakan program pendidikan yang susah difahami oleh kanak-kanak tetapi cukup mengajar mereka bagaimana menghormati rakan, guru, ibu bapa dan masyarakat,'' tambah beliau.

Dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan ibu bapa supaya menghantar anak mereka ke Taska berdaftar dan bertauliah.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini terhadap kanak-kanak.

``Kita khuatir Taska-Taska tidak berdaftar dan tidak berlesen akan menimbulkan masalah kepada kanak-kanak dari segi keselamatan serta mutu program yang diajar.

``Apa yang lebih membimbangkan ialah kita tidak tahu siapa guru dan pengasuh mereka. Mungkin ada yang diambil daripada kalangan rakyat asing yang tidak begitu memahami budaya di negara ini,'' tambahnya.

Hingga kini, daripada lebih 2,000 Taska di Selangor, hanya 360 sahaja yang berdaftar.

Konvensyen sehari tersebut merupakan anjuran bersama Persatuan Taska Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor.

Tiga kertas kerja dibentangkan oleh pakar pendidikan kanak-kanak, pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Antara objektif utama konvensyen itu ialah memberi pendedahan kepada pengusaha Taska dan ibu bapa mengenai hala tuju, perkembangan serta pendidikan awal kanak-kanak.