Wednesday, February 22, 2006

`Memulih' cara Pen Green

Oleh Poziah Abdul Rahman

Rosmah Mansor tertarik dengan kreativiti kanak-kanak berusia bawah lima tahun di Pusat Pen Green, Corby, London sewaktu mengadakan lawatan ke sana baru-baru ini.

Pada 8 Februari lalu, serombongan kumpulan wanita yang sebahagian besar terdiri daripada golongan profesional, pendidik dan pengamal asuhan kanak-kanak telah membuat lawatan sambil belajar ke Pusat Pen Green di Corby, London. Rombongan ini diketuai oleh Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, selaku Penaung Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia dan Pengerusi Kumpulan Penasihat Permata Negara.

Tujuan utama lawatan ke pusat tersebut adalah untuk melihat program pendidikan awal kanak-kanak (lima tahun ke bawah) dan meninjau bagaimana sistem di Pen Green dapat dimanfaatkan di Malaysia.

Rosmah telah mengambil inisiatif untuk menggerakkan program ini. Beliau berkata; ``Dalam keadaan negara kini menghadapi pelbagai cabaran era globalisasi, setiap kanak-kanak yang merupakan sistem tenaga dan modal insan pada masa hadapan hendaklah digemblengkan ke tahap optimum, kalau tidak, negara akan tercicir dalam gelombang globalisasi. Malaysia merupakan negara kecil, maka setiap tenaga mestilah digembleng ke tahap maksimum.''

Tambah beliau; ``Data-data yang terkumpul menunjukkan kanak-kanak terutamanya daripada keluarga miskin, tidak mendapat peluang mengoptimumkan kebolehan mereka kerana kurang ilmu pembelajaran yang sesuai terutama dalam rumah mereka.

``Jika masalah ini tidak ditangani, pelbagai masalah lain yang berkaitan akan bangkit seperti keciciran dalam pendidikan dan mereka juga tidak dapat menyumbang kepada pembangunan keluarga mereka dan negara, seterusnya boleh menimbulkan masalah sosial.''

Kajian juga menunjukkan bahawa pendidikan peringkat awal sangat penting bagi membentuk tenaga insan yang cemerlang untuk zaman dewasanya nanti. Maka pendidikan yang lengkap dan sesuai dengan keadaan semasa hendaklah disemai bagi kanak-kanak di peringkat awal.

Atas kesedaran inilah, Rosmah telah mengetuai golongan profesional untuk menyumbang tenaga sukarela mencari penyelesaian bagi masalah pendidikan awal kanak-kanak di bawah usia 5 tahun.

Pusat Pen Green ini terletak di Northampton Shire, perjalanan kira-kira dua jam dari kota London. Corby ialah sebuah perkampungan yang penduduknya terdiri daripada mereka yang pernah berkhidmat dengan kilang besi yang telah lama ditutup.

Penduduknya merupakan kelas bawahan yang berpendapatan rendah dan kebanyakan mereka bekerja di kilang-kilang Pen Green.

Pusat Pen Green merupakan sebuah pusat kecemerlangan kanak-kanak yang ditubuhkan semenjak 1997.

Terdapat enam aktiviti yang khusus di pusat ini iaitu pembelajaran awal yang berkualiti tinggi, perkhidmatan bantuan kekeluargaan, penyertaan komuniti, perkhidmatan kesihatan berkomuniti dan latihan serta kajian.

Di sini penyertaan ibu bapa dan komuniti setempat amat baik. Selain daripada menghantar anak-anak mereka ke taska, ibu bapa berpeluang melanjutkan pelajaran dengan menghadiri Open College Network yang memberi pengiktirafan sijil kepada mereka sebagai pekerja yang bertauliah di taska-taska.

Kemahiran

Selain itu, ibu-ibu yang kebanyakannya suri rumah dan tidak berpelajaran tinggi digalakkan menghadiri kelas komputer, belajar bahasa isyarat, membuat kerja kaunseling, kemahiran berkomunikasi, cara pemakanan dan nutrien yang sempurna, serta mempelajari bahasa-bahasa lain seperti Sepanyol dan lain-lain.

Komuniti setempat di Corby juga banyak membantu dalam perjalanan pusat kecemerlangan kanak-kanak di Pen Green ini. Hasil daripada penglibatan ibu bapa ini, mereka menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap projek di Pen Green.

Adalah dianggarkan penglibatan komuniti di Corby meningkat hingga 84 peratus bagi tiga tahun berturut-turut. Penglibatan ibu bapa di Corby amat berjaya atas usaha sukarelawan yang membuat lawatan ke rumah-rumah, berinteraksi, perbincangan secara kumpulan, tayangan video, mesyuarat, temu bual dan lain-lain.

Hasilnya, ibu bapa yang sebelum ini tergolong dalam kategori berpendapatan rendah dan tidak berpelajaran tinggi telah mula menunjukkan minat dalam memperbaiki diri. Kanak-kanak pun menunjukkan prestasi pelajaran yang baik dan komuniti yang pada satu masa dahulu terdiri daripada golongan yang kurang pendidikan tinggi telah menjadi lebih berdikari dan berpelajaran.

Rosmah, dalam ucapannya berhasrat agar konsep pusat kecemerlangan kanak-kanak di Pen Green dapat diguna pakai di tempat-tempat yang pendapatan purata keluarga agak rendah di Malaysia.

Satu pendekatan yang bersepadu di mana penglibatan ibu bapa, masyarakat setempat, majlis perbandaran, ahli-ahli politik dan ketua-ketua kampung dapat dimanfaatkan untuk `memulihkan' kawasan yang agak mundur kepada kawasan yang boleh berjaya seperti di Corby, London.

``Lawatan sehari ini amat penting untuk dicontohi,'' kata Rosmah, terutama di kawasan-kawasan luar bandar seperti di kawasan Felda dan beberapa lagi tempat di Malaysia yang dikenal pasti boleh memulakan projek perintis ini.

Sekembalinya dari Corby, kumpulan ini berhasrat menyediakan satu kertas konsep untuk dibentangkan kepada kerajaan. Harapan Rosmah ialah supaya projek ini dapat dicontohi di beberapa kawasan terpilih di Malaysia kelak.