Wednesday, April 25, 2007

Projek rintis Pusat Anak Permata Negara dilaksana

KUALA LUMPUR 24 April – Projek perintis pusat pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak yang turut dikenali sebagai Pusat Anak Permata Negara (Permata) berjaya dilaksanakan dalam jangkamasa yang singkat, kata Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan Penasihat Permata Negara berkata, reaksi positif terhadap program itu diterima daripada dua pakar jagaan dan pendidikan awal kanak-kanak berpengalaman dari United Kingdom yang dijemput khas melawat dua pusat berkenaan di Putrajaya dan Subang Jaya baru-baru ini.

Pusat Anak Permata Negara adalah selaras dengan konsep pendidikan awal Pusat Kecemerlangan Kanak-kanak Pen Green di Corby, London.

“Berikutan lawatan itu mereka menyatakan bahawa mereka amat kagum dengan komitmen yang ditunjukkan semua pihak dalam projek ini. Mereka memberi pandangan yang sangat positif dan percaya bahawa projek ini akan mencapai kejayaan,” katanya pada majlis taklimat mengenai program itu kepada Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Turut hadir pada taklimat itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Pemangku Pengerusi BNBBC, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar serta anggota kelab penyokong berkenaan.

Rosmah berkata, kedua-dua pakar tersebut mengemukakan beberapa cadangan untuk memperbaiki mutu pembelajaran di pusat itu seperti memperbanyakkan bahan tempatan untuk digunakan sebagai alat pengajaran yang sesuai dan latihan berterusan kepada pendidiknya bagi meningkatkan kemahiran pembelajaran mereka.

“Mereka juga mencadangkan, pendidik Permata dilatih dengan lebih giat lagi untuk menggalakkan kanak-kanak belajar melalui rangsangan minda dan tidak hanya memberi tumpuan kepada mengajar,” katanya.

Tahun lalu Rosmah bersama rombongan Kumpulan Penasihat Permata Negara membuat lawatan sambil belajar ke Pusat Pen Green untuk melihat program pendidikan awal bagi kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah dijalankan dan meninjau bagaimana sistem di Pen Green itu dapat dimanfaatkan di Malaysia.

– Bernama