Friday, May 11, 2007

Tumpu pendidikan awal pastikan Melayu maju

Najib Tun Razak memberi ucaptama ketika merasmikan Seminar Agenda Melayu Ke-3 di PWTC semalam.

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan orang Melayu memberi tumpuan kepada pendidikan awal anak sebagai asas untuk komuniti Melayu bersaing dengan kaum-kaum lain pada tahun 2057.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, ibu bapa Melayu yang berkemampuan seharusnya membuat pelaburan dalam program pendidikan terancang untuk anak sebelum mereka memasuki alam persekolahan.

Katanya, tumpuan kepada pendidikan awal banyak dilaksanakan di negara-negara maju.

Di sana, katanya, kanak-kanak daripada peringkat bayi hingga berusia dua tahun didedahkan dengan teknik pembelajaran yang memberi keseronokan dan meningkatkan minda mereka.

‘‘Tindakan awal yang saya lihat boleh menyumbang kepada realiti ini ialah menyediakan pendidikan awal bagi kanak-kanak yang baru lahir dan belum masuk tadika kerana merekalah generasi yang akan melangkau tahun 2020 dan 2057.

‘‘Saya harap ini dapat dilakukan serta diperhebat dalam membentuk bangsa Melayu yang akan melalui era itu,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Agenda Melayu Ketiga di sini hari ini.

Di negara ini, jelas Najib, antara pusat pengasuhan dan pendidikan awal kanak- kanak yang boleh dijadikan contoh ialah Pusat Anak Permata Negara yang diperkenalkan kerajaan untuk mengembangkan bakat, minda dan kreativiti kanak-kanak.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO memberitahu, bagi memastikan generasi akan datang terus menyokong UMNO, parti itu perlu melalui proses peremajaan dari semasa ke semasa supaya dilihat sebagai sebuah parti yang sentiasa dinamik dan relevan.

‘‘Proses peremajaan penting kerana sebagai sebuah parti politik yang sudah lama berkuasa, kita mesti menyegarkan imej UMNO supaya terus diminati serta disokong bukan saja oleh generasi terdahulu dan generasi selepas merdeka malahan generasi akan datang.

‘‘Langkah ini dapat memastikan UMNO menjadi pilihan utama mereka,’’ ujarnya.

Sementara itu, seminar bertemakan Melayu 2057 anjuran Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara itu dihadiri kira-kira 500 peserta.

Peserta terdiri daripada ahli-ahli Parlimen, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, ketua-ketua bahagian UMNO, wakil-wakil Wanita UMNO, Pemuda UMNO, Puteri UMNO, ahli-ahli akademik dan wakil-wakil media.

Seminar itu membincangkan isu-isu berkaitan politik semasa terutama yang membabitkan orang Melayu.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara, Datuk Noh Omar dan timbalannya, Datuk Mohamad Rais Zainuddin.