Wednesday, April 25, 2007

Kurikulum Permata ikut keperluan kanak-kanak Malaysia

KEPALA BATAS 20 Mei – Kurikulum pusat pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak Pusat Anak Permata Negara (Permata) akan disesuaikan mengikut acuan dan keperluan kanak-kanak di negara ini walaupun konsep asalnya berpandukan amalan pusat asuhan di luar negara.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, konsep asal Permata yang berdasarkan amalan Pusat Kecemerlangan Kanak-Kanak Pen Green di Corby, London diubah suai dengan memberi penekanan kepada modul pendidikan yang sesuai dengan perkembangan minda kanak-kanak Malaysia.

Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan Penasihat Permata Negara berkata, Permata menekankan matlamat untuk membangunkan kanak-kanak atau remaja yang ada jati diri, berkeyakinan, kreatif dan mempunyai tahap intelektual yang tinggi.

‘‘Permata mengamalkan konsep penjagaan dan didikan yang bersepadu merangkumi aspek pemakanan, kesihatan, penglibatan ibu bapa dan komuniti,” kata Rosmah ketika berucap pada majlis perasmian Permata Kepala Batas di Kubang Menerong di sini hari ini yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin.

Permata di Kubang Menerong adalah antara lima projek perintis yang dilaksanakan di negara ini bagi menyahut seruan Perdana Menteri untuk membangunkan modal insan berminda kelas pertama dan berakhlak mulia.

Program itu yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dengan peruntukan sebanyak RM20 juta akan diperluaskan ke seluruh negara menjelang akhir tahun ini menerusi pembinaan 10 lagi Permata.

Pada majlis itu, sebanyak empat syarikat korporat menghulurkan sumbangan untuk Permata iaitu Bank Kerjasama Rakyat Malaysia sebanyak RM100,000, Kumpulan UEM (RM30,000), Gamuda Bhd. (RM- 30,000), TM Malaysia (RM20,000) dan Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia (RM15,000).

Projek rintis Pusat Anak Permata Negara dilaksana

KUALA LUMPUR 24 April – Projek perintis pusat pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak yang turut dikenali sebagai Pusat Anak Permata Negara (Permata) berjaya dilaksanakan dalam jangkamasa yang singkat, kata Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan Penasihat Permata Negara berkata, reaksi positif terhadap program itu diterima daripada dua pakar jagaan dan pendidikan awal kanak-kanak berpengalaman dari United Kingdom yang dijemput khas melawat dua pusat berkenaan di Putrajaya dan Subang Jaya baru-baru ini.

Pusat Anak Permata Negara adalah selaras dengan konsep pendidikan awal Pusat Kecemerlangan Kanak-kanak Pen Green di Corby, London.

“Berikutan lawatan itu mereka menyatakan bahawa mereka amat kagum dengan komitmen yang ditunjukkan semua pihak dalam projek ini. Mereka memberi pandangan yang sangat positif dan percaya bahawa projek ini akan mencapai kejayaan,” katanya pada majlis taklimat mengenai program itu kepada Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Turut hadir pada taklimat itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Pemangku Pengerusi BNBBC, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar serta anggota kelab penyokong berkenaan.

Rosmah berkata, kedua-dua pakar tersebut mengemukakan beberapa cadangan untuk memperbaiki mutu pembelajaran di pusat itu seperti memperbanyakkan bahan tempatan untuk digunakan sebagai alat pengajaran yang sesuai dan latihan berterusan kepada pendidiknya bagi meningkatkan kemahiran pembelajaran mereka.

“Mereka juga mencadangkan, pendidik Permata dilatih dengan lebih giat lagi untuk menggalakkan kanak-kanak belajar melalui rangsangan minda dan tidak hanya memberi tumpuan kepada mengajar,” katanya.

Tahun lalu Rosmah bersama rombongan Kumpulan Penasihat Permata Negara membuat lawatan sambil belajar ke Pusat Pen Green untuk melihat program pendidikan awal bagi kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah dijalankan dan meninjau bagaimana sistem di Pen Green itu dapat dimanfaatkan di Malaysia.

– Bernama

Thursday, April 5, 2007

Pakar UK puas hati operasi PAPN

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

SUBANG JAYA 4 April – Dua pakar pendidikan dari United Kingdom (UK) berpuas hati dengan perkhidmatan pengasuhan dan didikan awal kanak-kanak yang dijalankan di Pusat Anak Permata Negara (PAPN) walaupun masih di tahap perintis.

Pakar asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak dari Pen Green Centre for Children, Corby, Dr. Margy Whalley berkata, beliau dan rakannya, Heather Donoyou mendapati PAPN di negara ini bakal berjaya mencapai matlamat terutamanya merangsang minda kanak-kanak menjadi lebih positif dan berkembang baik.

“Saya kagum dengan pelbagai persediaan rapi dan peralatan yang disediakan serta tenaga pengajar walaupun kurang berpengalaman tetapi mereka menunjukkan dedikasi yang hebat,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas lawatan Pengerusi Pelaksana Permata, Datin Seri Rosmah Mansor hampir dua jam ke Kompleks PAPN yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini, hari ini.

Kompleks yang menelan belanja hampir RM400,000 dan beroperasi sejak 1 Mac lalu dengan 30 kanak-kanak sedang mengikuti program Permata di situ.

Di pusat itu, mereka mengguna pakai kaedah pembelajaran berasaskan modul Pen Green dari UK itu.

Margy berkata, beliau tertarik dengan perkembangan awal PAPN apabila melihat penglibatan ramai ibu bapa sepanjang anak-anak mereka berada di pusat itu.

“Ini yang membezakan PAPN dengan mana-mana pusat jagaan atau institusi pendidikan awal kanak-kanak, iaitu penyertaan ibu bapa untuk berada bersama-sama dengan anak mereka.

“Di pusat PAPN di Putrajaya saya lihat ramai kaum bapa turut hadir dan ini merupakan perkembangan yang sangat positif,” katanya.

Sementara itu Rosmah berkata, sehingga akhir tahun ini, 10 PAPN akan dibuka terutama bagi setiap negeri selain yang sedia ada iaitu di Subang Jaya, Putrajaya, Felda Mempaga, Pahang dan Kepala Batas di Pulau Pinang.

“PAPN benar-benar akan memberi peluang kepada ibu bapa yang kurang berkemampuan memastikan anak-anak mereka menikmati suasana pembelajaran yang kondusif, bersepadu dan komprehensif tanpa berbelanja lebih,” katanya.

Menurutnya, kanak-kanak yang dibesarkan secara gembira, riang dan dirangsang pertumbuhan minda dan fizikal secara sihat merupakan satu kelahiran modal-modal insan dan aset kepada negara.

“Sebagaimana yang ditegaskan sebelum ini, PAPN tidak menekankan kepada pendidikan formal sebaliknya berteraskan pembelajaran yang memberi keseronokan kepada kanak-kanak,” katanya.