Saturday, April 26, 2008

Dasar pendidikan awal digubal

Oleh HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA 25 April - Kerajaan akan menggubal dasar pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak yang komprehensif seperti mana dilaksanakan oleh program Pusat Permata Negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dasar itu membolehkan semua pusat asuhan kanak-kanak berusia bawah lima tahun yang dikendalikan beberapa kementerian diselaraskan dari segi kurikulum dan piawainya.

Sehubungan itu, kata beliau, satu kertas kerja dasar akan dikemukakan kepada Kabinet untuk diluluskan bagi membolehkan program Permata Negara diperluaskan ke seluruh negara.

''Pendidikan awal kanak-kanak adalah tunjang kepada usaha membentuk modal insan berkualiti dan mencegah masalah sosial, justeru tumpuan kepada pendidikan awal mereka merupakan strategi yang boleh memberikan impak besar bagi jangka pendek dan jangka panjang.

''Permata Negara juga telah memberikan kesan yang amat memberangsangkan di samping mendapat sambutan baik ibu bapa dan masyarakat," katanya.

Najib berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Penyelarasan Dasar Permata Negara di sini hari ini.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dasar Permata Negara.

Setakat ini, sebanyak 13 Pusat Permata Negara dilaksanakan secara projek perintis di seluruh negara membabitkan 331 anak yang diasuh menggunakan kaedah dan kurikulum Permata.

Program tersebut menekankan perkembangan individu yang berkeyakinan tinggi, kreatif, bijaksana, berakhlak mulia serta mempunyai minda cerdas yang seterusnya membantu dalam pembinaan modal insan berminda kelas pertama.

Kurikulum Permata Negara dihasilkan melalui kajian yang dilakukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menurut Najib, mesyuarat hari ini telah mendapat persetujuan Kementerian Pelajaran; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan dan Kesenian dan Warisan supaya program pengasuhan kanak-kanak diselaraskan.

''Dalam erti kata lain, mereka akan mengguna pakai kurikulum dan piawaian Permata Negara di taska-taska mereka manakala kelulusan guru-guru mereka akan ditingkatkan sehingga ke peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

''Mereka juga akan menggunakan kurikulum Permata Negara dan bangunan yang digunakan akan mengikut ketetapan garis panduan Permata Negara," katanya.

Menurut Najib, kementerian-kementerian berkenaan memberikan sokongan padu terhadap usaha mengembangkan program Permata Negara ke seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau menyatakan, satu kertas kerja dasar akan disediakan membabitkan kurikulum, latihan dan keperluan kewangan.

Mengenai jumlah Pusat Permata Negara yang akan diperluaskan di seluruh negara, beliau berkata, perkara itu akan diumumkan selepas kerajaan memberi kelulusan dasar pendidikan awal berkenaan.
''Kita akan kaji dari segi kewangan dan kita akan maklumkan selepas kerajaan memberikan kelulusan. Tetapi apa yang saya ingin tegaskan ialah program ini adalah bersifat untuk semua kaum dan kita akan memberikan tumpuan kepada semua kawasan," katanya.

Friday, April 25, 2008

Kerajaan cadang gubal dasar pendidikan awal yang komprehensif

PUTRAJAYA 25 April — Kerajaan bercadang mengubal satu dasar pengasuhan dan pendidikan awal yang komprehensif untuk kanak-kanak di bawah umur lima tahun, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hari ini.

Beliau berkata satu kertas kerja akan dikemukakan kepada Kabinet tidak lama lagi bagi membolehkan perkara itu dijadikan dasar kerajaan.

Kurikulum untuk dasar itu akan digubal oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Kebangsaan Malaysia”, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis penyelarasan Program Permata Negara (Permata) di pejabatnya di sini.

Beliau berkata dasar pengasuhan dan pendidikan awal itu akan mirip kepada program Permata yang telah dilaksanakan.

“Ini adalah kerana setelah kita melaksanakan projek perintis di seluruh negara didapati Permata memberi kesan yang amat memberangsangkan di samping mendapat sambutan hangat daripada masyarakat dan ibu bapa,” kata Najib.

Mesyuarat hari ini diadakan bagi membincangkan cadangan pelaksanaan program Permata secara meluas di seluruh negara. Ia dihadiri wakil agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak.

Setakat ini 13 Pusat Permata Negara dilaksanakan secara projek perintis di seluruh negara membabitkan 331 orang anak diasuh menggunakan kaedah dan kurikulam Permata, yang menekankan perkembangan anak-anak yang berkeyakinan diri, berfikiran kreatif, bijaksana, berakhlak mulia dan mempunyai minda cerdas yang seterusnya membantu dalam pembinaan modal insan berminda kelas pertama.

“Berdasarkan hakikat bahawa pendidikan awal kanak-kanak merupakan akar tunjang kepada usaha kita membentuk modal insan yang berkualiti dan usaha untuk mencegah masalah sosial berlaku maka tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak merupakan strategi negara yang boleh memberi impak besar bukan sahaja dalam jangka pendek tapi panjang,” kata Najib.

Oleh itu, katanya Program Permata Negara akan diperluaskan setelah mendapat kelulusan kerajaan.

Mesyuarat itu juga telah mendapat persetujuan daripada Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan supaya program itu diselaraskan.

“Dalam erti kata lain, mereka akan menggunakan kurikulam Permata di taska mereka dan dalam masa yang sama kelulusan guru-guru mereka akan ditingkatkan sehingga diploma dan ijazah pertama.

“Di samping itu mereka juga akan menggunakan kurikulam Permata dan bangunan yang akan digunakan juga akan mengikut ketetapan garis panduan Program Permata Negara,” kata Najib.

Timbalan Perdana Menteri berkata dengan sokongan padu kesemua kementerian tersebut, program Permata boleh dikembangkan ke seluruh negara.

“Dasar itu juga akan mengambil kira keperluan kewangan, latihan, kurikulam dan sebagainya. Perlu saya tegaskan di sini bahawa program ini akan bersifat pelbagai kaum dan kita akan beri tumpuan kepada semua kawasan,” katanya.

Beliau berkata setelah dasar itu digubal, kesemua pihak yang menjalankan kegiatan pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak di bawah umur lima tahun akan perlu menguna pakai dasar itu.

— BERNAMA