Tuesday, December 2, 2008

Dua konsep patut disemai ibu bapa - Najib

Oleh LUKMAN ISMAIL

MELAKA 11 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan dua konsep yang perlu disemai pada diri ibu bapa iaitu anak sebagai amanah dan pendidikan sebagai pelaburan masa depan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kedua-dua konsep tersebut perlu disemai di kalangan ibu bapa bagi melahirkan bangsa yang gemilang pada tahun 2057 nanti.

Menurut beliau, anak-anak yang dilahirkan bukan sekadar rezeki daripada Allah semata-mata tetapi juga merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada ibu bapa.

''Mendidik (anak-anak) dengan belaian kasih sayang dengan perhatian dari segi pembentukan otak, sahsiah, akhlak, perilaku dan segalanya merupakan satu amanah yang tidak boleh diabaikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Anak Permata Negara (Permata) Melaka di Bukit Peringgit di sini hari ini.

Turut hadir ialah isteri beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dasar Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan isteri, Datin Seri Asmah Abdul Rahman.

Sehingga kini sebanyak 15 buah pusat Permata telah diwujudkan di seluruh negara sejak ia diperkenalkan dua tahun lalu.

Najib berkata, jika mahu membina generasi Ulul Albab, maka segala pembentukan tersebut perlu dilaksanakan di peringkat awal melalui pendidikan kanak-kanak.

''Kalau nak pastikan anak-anak (bebas) daripada pelbagai onak yang berbisa dalam masyarakat seperti dadah, masalah sosial, salah laku, mat rempit dan sebagainya, tidak guna diberikan seminar dan kursus di peringkat belia," katanya yang merujuk kepada hasil kajian yang dilakukan di luar negara.

Mengenai pendidikan sebagai pelaburan pula, jelas Timbalan Perdana Menteri, pendidikan awal kanak-kanak khususnya mereka yang berusia lima tahun ke bawah merupakan satu pelaburan untuk masa depan.

''Pendidikan bukan konsep perbelanjaan wang hangus tetapi ia untuk masa depan keluarga, bangsa, agama dan negara kita.

''Jadi kalau kita melabur hari ini (dalam pendidikan anak-anak), hasilnya juga dapat dilihat pada masa depan," kata beliau.

Najib berkata, jika kedua-dua konsep tersebut dapat disematkan pada diri ibu bapa, negara ini diyakini dapat melahirkan generasi gemilang menjelang tahun 2057.