Saturday, January 5, 2008

Program ECEC diperluas

Oleh: AMIRAH AMALY SYAFAAT

PASIR MAS 4 Jan. – Program Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECEC), Pusat Permata Negara akan dikembangkan ke seluruh negara khususnya di luar bandar selepas mendapat kelulusan Kabinet.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, ini kerana sepanjang program perintis dibuat, ia berjaya memberi impak besar kepada pertumbuhan kanak-kanak apabila semua elemen nilai murni disatukan dalam bentuk pengajaran.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dasar Permata Negara berkata, kajian susulan termasuk yang dijalankan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), mendapati ia sangat memberangsangkan.

‘‘Ini kerana anak-anak Permata lebih mesra, tenang, yakin dan pandai mengurus diri; berkomunikasi dengan ayat betul; serta mempamerkan kemahiran prasains dan matematik yang ketara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas melawat Pusat Anak Permata Negara Pasir Mas, Kampung Kubang Panjang, di sini hari ini.

Menurutnya, kajian menyeluruh dilakukan termasuk penjagaan pengasuhan dan penggarapan elemen pendidikan, penekanan pada amalan sentuhan dan belaian, amalan berinteraksi dengan anak yang diasuh dan program eksklusif bagi kanak-kanak berkeperluan khas dan berisiko tinggi.

Pusat yang baru beroperasi sejak tiga minggu lalu itu menempatkan 35 kanak-kanak seawal usia satu hingga empat tahun.

Rosmah turut berpuas hati dengan perjalanan operasi di 10 lokasi projek jagaan dan pendidikan awal termasuk di Subang Jaya, Selangor; Putrajaya; dan Kepala Batas, Pulau Pinang.

Lokasi lain katanya, ialah di Bukit Peringgit, Batu Pahat, Rantau Abang, Tambun Tulang, Mempaga dan Chini yang masing-masing menempatkan 35 hingga 40 kanak-kanak.

Beliau memberitahu, faktor kejayaan ECEC adalah tenaga pendidik Permata yang segolongan besarnya berkelulusan ijazah atau diploma.

‘‘Penglibatan aktif ibu bapa dalam program ini juga menyumbang kepada kejayaannya apabila sentiasa memberi galakan dan mempelajari perisian kurikulum serta teknik pembelajaran yang diamalkan Permata.

‘‘Ia bagi memastikan supaya mereka dapat meneruskan kaedah mengasuh dan mendidik anak di rumah masing-masing dengan cara konsisten supaya kanak-kanak itu tidak keliru akibat asuhan dan didikan yang berlainan,” jelasnya.

Rosmah memberitahu, beliau akan terus memberi perhatian dalam aspek penjagaan 371 anak Permata termasuk 105 orang yang dijangka menyertai program tersebut apabila lima lagi pusat dibuka sehingga April ini.

Pusat berkenaan adalah di Chembong, Negeri Sembilan, Kota Samarahan (Sarawak), Tuaran (Sabah), Kuala Ketil (Kedah) dan Bercham (Perak).

Hadir sama pada lawatan itu Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman; Ketua Wanita UMNO Kelantan, Senator Datin Nik Azizah Nik Yahya; Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Pasir, Hanafi Mamat dan Pengerusi Penawar Kelantan, Datin Seri Rosniah Abdul Rahman.