Thursday, October 14, 2010

Pilih alat mainan kanak-kanak dengan teliti

KUCHING 13 Okt. - Penyediaan alat permainan dan bahan pengajaran di setiap pusat pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini perlu mengambil kira aspek keselamatan dan kesesuaian perkakasan itu mengikut peringkat pertumbuhan kanak-kanak.
Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah berkata, pemilihan peralatan serta bahan sesuai dan cara penggunaan yang berkesan dapat membantu anak-anak melalui pengalaman pembelajaran menyeronokkan sambil bermain.
Menurutnya, usaha membekalkan bahan-bahan permainan dan pendidikan untuk kanak-kanak merupakan langkah yang bersesuaian dengan penekanan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri terutama melibatkan penduduk kawasan luar bandar.
''Kesemua aspek tersebut perlu diberi perhatian serius dalam usaha untuk membantu perkembangan fizikal, minda dan emosi kanak-kanak," katanya di sini hari ini.
Beliau berucap merasmikan pejabat baru Children's World Educational Resouce Centre dan Penyerahan Sijil Malaysia Confirmity di sini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Pengarah Biro Pendidikan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Dr. Badiozaman Tuah.
Fatimah menjelaskan, selain membekalkan peralatan dan bahan-bahan pendidikan untuk dijual, pusat sumber juga perlu menyediakan latihan untuk menggunakan bahan-bahan permainan dan pendidikan kepada kanak-kanak.
''Ini penting supaya pembeli atau guru dapat mengendalikan bahan-bahan yang dibeli dengan betul bagi meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran di dalam atau di luar bilik darjah," ujarnya.
Sementara itu, Fatimah berkata, pendaftaran perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak penting bagi membolehkan perkhidmatan yang mengutamakan keselamatan dan kualiti dapat disediakan.

Tuesday, October 12, 2010

Pendidikan awal bentuk pemimpin bertanggungjawab - Rosmah

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Datin Seri Rosmah Mansor berkata, pendidikan khususnya pada usia muda merupakan alat paling penting untuk membentuk kanak-kanak menjadi pemimpin dan warga bertanggungjawab ke arah menjadikan dunia ini lebih baik.
Isteri Perdana Menteri berkata, pendidikan akan menyediakan kanak-kanak dengan kemampuan dan sistem nilai untuk menjadi pemimpin yang baik selain berkeupayaan untuk meningkatkan darjat mereka.
Dalam ucap utamanya pada Sidang Kemuncak Wanita Pertama di Palace of the Golden Horses dekat sini hari ini, Rosmah berkata, kanak-kanak perlu dididik bukan saja untuk mencapai kemajuan dalam bidang ekonomi dan teknologi tetapi juga untuk memupuk dan membentuk masyarakat harmoni yang mengambil kira kepentingan rakyat. - Bernama

Sunday, October 10, 2010

Demi generasi akan datang

MENUNGGU wawancara berlangsung, DATIN SERI ROSMAH MANSOR ramah berkongsi pengalaman tentang seni tata hias rumah. Ternyata beliau begitu teliti memilih perabot dan bijak menyesuaipadan susun atur rumah dengan langsir serta permaidani. Tampil anggun dengan sentuhan mekap serba sederhana, isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu bagaimanapun serius apabila soalan pertama berhubung idea penganjuran Sidang Kemuncak Wanita-Wanita Pertama yang akan berlangsung di Kuala Lumpur esok diajukan. Sebagai penaung kepada sidang kemuncak itu, komitmen serta kesungguhan Rosmah terserlah. Beliau mahu segala-galanya sempurna. Beliau juga ingin Malaysia dipandang hebat oleh kumpulan Wanita Pertama yang akan mengambil bahagian dalam sidang kemuncak itu.
Kepada wartawan Mingguan Malaysia, NORAINI ABD. RAZAK, ROHANI IBRAHIM dan jurugambar NORBAINI MASRI, beliau menyatakan keazaman mahu menyerahkan deklarasi sidang kemuncak itu kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Tabung Kebajikan PBB untuk Kanak-Kanak (Unicef).
Rosmah turut berkongsi pengalaman mendidik anak-anak serta cabaran yang dihadapi dalam menangani persepsi buruk serta fitnah yang dilemparkan terhadapnya. Anak tunggal kelahiran Negeri Sembilan itu menutup perbualan sambil tersenyum berkata: ‘‘Saya boleh lihat keikhlasan dan tidak ikhlas dalam wajah seseorang. Saya tahu membaca wajah seseorang.’’
MINGGUAN: Sidang Kemuncak Wanita Pertama membawa tema Anak Hari Ini, Pemimpin Hari Esok. Bagaimana Datin Seri melihat cabaran sebenar untuk menyediakan anak hari ini sebagai pemimpin akan datang?
ROSMAH MANSOR: Cabaran memanglah besar berbanding zaman saya kecil dulu tidak banyak sangat masalah. Sekarang banyak masalah dalam suratkhabar dan televisyen. Anak-anak kita terdedah kepada pelbagai sumber untuk dapatkan maklumat, ada yang baik dan tidak baik. Yang tidak baik inilah yang kita khuatir akan mempengaruhi pemikiran dan kelakuan kanak-kanak pada masa ini. Diburukkan lagi dengan laman chatting dan Facebook. Ibu bapa hari ini terlalu sibuk. Sebagai wanita kita juga ingin menjadi profesional yang berjaya. Kadang-kadang bila kita terlampau fokus kepada kerjaya kita terlupa kepada tanggungjawab di rumah untuk menjaga anak dan suami. Untuk mengimbangi peranan bukannya senang. Orang lelaki senang, dia pandai cakap saja. Kalau anak sakit, kitalah; anak tidak cukup makan kitalah; kalau anak bangun tengah malam hendak susu, kitalah. Jika ada Hari Ibu Bapa di sekolah pun biasanya ibu yang hadir. Itu merupakan cabaran kepada ibu dan anak itu sendiri. Kalau kita tidak tumpukan perhatian sepenuhnya bila anak jadi jahat jangan tuduh sekolah saja. Seharusnya kita yang memberi disiplin kepada anak-anak. Apa yang anak-anak dapat di sekolah adalah bonus atau ekstra.
Pelajaran rasmi di sekolah tapi pelajaran tidak rasmi di rumah dan ia adalah tanggungjawab ibu dan bapa. Jangan menuding jari pada orang lain. Kadang-kadang kita cepat tuduh orang tetapi kita tidak pernah menyalahkan diri sendiri. Orang di luar tidak bertanggungjawab membesarkan anak kita. Kita yang bertanggungjawab.
Satu deklarasi bersama akan dikeluarkan pada hari akhir persidangan. Apa antara tumpuan deklarasi tersebut?
ROSMAH MANSOR: Deklarasi bersama itu akan menggariskan apa yang diperlukan oleh kanak-kanak dan bagaimana golongan itu diperkasakan supaya mereka membesar sebagai kanak-kanak yang gembira, kreatif, inovatif mempunyai empati, simpati dan sentiasa mahu menyumbang kepada negara. Di Pakistan kanak-kanak menderita kerana hujan yang berlebihan. Kita perlu lakukan sesuatu untuk mengatasi masalah ini dan apabila kanak-kanak kita membesar dan menjadi pemimpin mereka akan sedar cabaran yang bakal dihadapi. Kita juga perlu gariskan penyelesaian kepada kanak-kanak hari ini mengenai cabaran yang bakal dihadapi pada masa depan. Jika boleh kita tidak mahu generasi akan datang mewarisi masalah kita hari ini terutamanya masalah sosial seperti peningkatan penyalahgunaan dadah, HIV, keganasan rumahtangga, kehamilan remaja, buang bayi dan pertelagahan pemimpin yang tidak pernah berakhir demi wang dan kuasa. Kita tidak mahu generasi akan datang menyumpah kita seperti mana sesetengah daripada kita yang menyalahkan generasi terdahulu.
Datin Seri kecewa negara maju tidak turut serta seperti Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS) Michelle Obama?
ROSMAH MANSOR: Ya, saya menghantar jemputan kepada semua orang, bagaimanapun saya kecewa. Saya pasti mereka ada urusan dan komitmen lain yang menghalang mereka dari menghadiri persidangan ini. Saya juga fikir sesetengah daripada mereka tidak pasti dan tidak tahu banyak mengenai Malaysia. Tidak banyak orang yang tahu banyak mengenai Malaysia. Mereka tahu Singapura, Thailand namun mereka tahu sedikit mengenai Malaysia. Mereka juga bimbangkan keselamatan dan kehidupan di Malaysia. Mungkin ada yang menyangka kita tidak bertamadun dan tinggal di atas pokok.
Saya juga kenal mereka yang pernah melawat Malaysia dan mereka mencintai negara kita dan penduduknya. Kita peramah, mesra dan mudah menegur orang lain. Kita tidak curiga dengan orang asing.
Berapa negara yang akan menyertai persidangan ini?
ROSMAH MANSOR: Sehingga kini kita ada 20 Wanita Pertama yang mengesahkan kehadiran. Chile terpaksa menarik diri kerana gempa bumi. Kita juga ada wakil peribadi Wanita Pertama dan lima menteri yang mewakili Wanita Pertama. Enam menteri datang melalui jemputan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Semua sekali lebih 30 negara menyertai persidangan ini.
Datin Seri menyifatkan persidangan ini sebagai persidangan terbesar?
ROSMAH MANSOR: Tidak ada siapa yang terlibat dengan persidangan ini yang mengeluh kerana penat dan beban tugas. Malah ada yang mengharapkan lebih ramai wanita pertama hadir pada persidangan ini. Saya fikir kita sudah biasa menganjurkan persidangan yang besar sebegini sebelum ini jadi sekretariat melihat penganjuran ini sebagai satu pengalaman menarik. Mereka tidak menganggap penganjuran ini sebagai satu beban. Dan kami semua berharap persidangan ini akan berjaya.
Apa akan Malaysia perolehi dari penganjuran ini?
ROSMAH MANSOR: Apa yang penting adalah Malaysia yang membangkitkan idea penganjuran persidangan ini kerana kami merasakan ia adalah penting demi generasi akan datang. Apa yang generasi akan datang perlu ada dan cabaran yang bakal dihadapi. Malaysia akan berpeluang mendengar pengalaman Wanita Pertama negara lain. Malaysia juga berharap jika negara lain melihat Malaysia lebih ke hadapan berbanding negara lain dalam pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak, bagaimana menjadikan pembelajaran lebih ceria dan bagaimana mengatasi penyakit.
Saya harap Malaysia boleh membantu negara lain dalam pelbagai cara jika mereka perlukan bantuan. Kita juga boleh memberikan bantuan jika mereka perlukan. Bagi saya, melalui persidangan ini Malaysia melakukan sesuatu yang bermanfaat kepada kanak-kanak di Malaysia dan di seluruh dunia. Terutamanya kanak-kanak di negara yang mengambil bahagian dalam persidangan ini.
Kepada siapa deklarasi itu akan dihantar?
ROSMAH MANSOR: Secara peribadi saya ingin menghantar deklarasi persidangan ini kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Tabung Kebajikan PBB untuk Kanak-Kanak (Unicef). Masalah tersebut benar-benar berlaku dan sesuatu perlu dilakukan untuk mengatasinya.
Saya tahu PBB begitu khuatir dengan masalah pemerdagangan manusia, penderaan kanak-kanak dan buruh kanak-kanak. Saya harap kita dapat menyampaikan masalah ini kepada PBB dan ia dapat diatasi satu demi satu.
Mungkinkah sidang kemuncak ini akan menjadi acara tahunan?
ROSMAH MANSOR: Itu adalah harapan saya tetapi saya juga ingin persidangan ini dianjurkan secara bergilir. Maknanya tidak semestinya Malaysia menjadi tuan rumah pada setiap tahun. Malaysia mulakan dan saya juga akan meminta negara lain untuk menjadi tuan rumah persidangan seumpama ini pada masa akan datang.
Mungkinkah dalam deklarasi ada jawatankuasa khas memantau deklarasi itu dilaksanakan dan bukan sekadar deklarasi semata-mata?
ROSMAH MANSOR: Saya harap kita akan mengadakan jawatankuasa untuk memantau deklarasi berkenaan. Tapi apa yang mustahak ialah untuk menggesa PBB berbincang dan mencari penyelesaian atau kekurangan yang menyebabkan masalah.
Saya juga tahu bahawa PBB menerima pelbagai deklarasi. Cherie Blair memberitahu saya bahawa dia juga berbincang dengan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon mengenai pembelajaran untuk wanita muda terutamanya mereka yang datang dari latar belakang serba kekurangan. Yang pandai tapi tidak boleh pergi ke universiti dan melanjutkan pelajaran mereka.

Apa isu yang akan dibangkitkan Malaysia?
ROSMAH MANSOR: Negara kita masalah tidak seteruk negara-negara lain. Ya, kita ada masalah tapi ia tidak seteruk negara lain. Kita akan bangkitkan isu keganasan rumahtangga, buang bayi, dadah dan HIV /AIDS. Masalah lain bukan datang dari rakyat kita tapi dari orang-orang yang datang ke sini seperti peningkatan jumlah pelacur. Ya itu masalah kita tapi bukan dilakukan oleh warga tempatan. Ini adalah orang luar yang membawa masalah tersebut ke sini.
Masyarakat sering kaitkan Wanita Pertama sebagai pengiring suami dan seorang yang mementingkan personaliti. Adakah sidang kemuncak ini membantu menggerakkan masyarakat?
ROSMAH MANSOR: Ini lagi satu persepsi yang salah. Bukan semua Wanita Pertama jaga personaliti. Wanita Pertama yang saya jumpa semuanya ada program sendiri di negara masing-masing. Sebagai Wanita Pertama mereka seharusnya jaga personaliti tapi bagaimanapun mereka sanggup turun ke bawah bincang dengan saya mengenai masalah kanak-kanak, sekolah, remaja politik. Ada Wanita Pertama yang hendak sangat datang ke Malaysia, saya tidak boleh cakap dari negara manalah. Saya sering berjumpa dengannya. Saya sering berusaha untuk mengenali dengan Wanita Pertama yang saya jumpa. Wanita Pertama ini tidak dapat hadir kerana suaminya akan menghadapi pilihan raya dan perlu turun ke bawah berkempen.
Bila saya bercerita dengan Wanita Pertama rupanya mereka menghadapi masalah seperti negara kita seperti serangan pihak pembangkang dan sebagainya. Kami berbincang dan cuba memahami suami masing-masing memilih jalan politik jadi kena beri sokongan kepada suami dan di antara satu sama lain.
Kita tidak boleh anggap seorang Wanita Pertama sombong, tidak ada perasaan dan pentingkan personaliti sendiri saja. Kalau kita berkenalan dan bercakap dengan mereka, mereka sangat mesra dan peramah. Saya tidak pernah kekok mengiringi Datuk Seri Najib Tun Razak.
Wanita Pertama senang didekati. Jika kita sombong mereka juga pasti akan sombong. Selalunya saya akan menegur dan berkata, “Helo saya dari Malaysia.” Dengan itu apabila berjumpa lagi kita mudah mesra biarpun tidak pernah berhubung. Wanita Pertama Jamaica, Lorna Golding walaupun ibunya baru meninggal, kerana kemesraan kami berdua dia sanggup datang ke Malaysia. Saya rasa itu adalah satu penghormatan kepada negara kita.
Michelle Obama dikatakan wanita paling berpengaruh di dunia. Jika masyarakat menyifatkan Datin Seri sebagai wanita paling berpengaruh di Malaysia, apa yang Datin Seri boleh katakan.
ROSMAH MANSOR: (Ketawa) Itu adalah sesuatu yang saya tidak sedar. Saya tidak fikir saya paling berpengaruh mungkin saya seorang yang kuat bekerja atau prihatin dengan masalah yang dihadapi masyarakat. Apa yang saya ingin lakukan perlu mendapat keizinan suami. Jadi saya tidak fikir saya berpengaruh. Jika suami katakan ya, bolehlah saya teruskan jika dia kata tidak saya tidak dapat teruskan. Jika saya rasa saya perlu lakukan dan ia satu perkara yang baik saya perlu memujuk suami. Jika dia masih tidak yakin dengan saya, saya terpaksa meminta bantuan para profesor. Itulah yang berlaku dalam program Permata. Saya bercakap mengenai pendidikan awal selama tiga bulan kepada suami. Setelah tiga bulan suami bertanya, “Kenapa bila bangun tidur, makan malam dan mandi saya hanya mendengar mengenai pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak?”
Bila suami masih lagi tidak yakin saya minta para profesor untuk memberikan taklimat kepada suami yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri. Jadi mereka berikan taklimat mengenai cadangan penubuhan Permata Negara dan suami saya bersetuju apa yang dibentangkan. Saya bertanya kepada suami kenapa selama tiga bulan saya bercakap beliau tidak pernah yakin, dan suami menjawab sebab saya adalah isterinya.
Sekarang saya tahu jika saya ingin lakukan sesuatu saya perlu meminta bantuan mereka yang mahir seperti golongan profesor. Jika saya yang beritahu suami tidak akan yakin. Mereka mahukan Hospital Pakar Kanak- Kanak dan saya beritahu suami beliau hanya berdiam diri. Maka saya beritahu Prof. Tan Sri Sharifah Hapsah jika mahukan sebuah hospital menjadi Pusat Penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berilah taklimat kepada suami. Jadi mereka berikan taklimat.
Selepas taklimat mereka berjaya mendapatkan Hospital Pakar Kanak-Kanak. Itu bukan untuk saya, untuk kanak-kanak. Saya tidak mendapat apa-apa darinya. Saya akan mencuba sedaya-upaya dan sebaik mungkin untuk kanak-kanak dan masyarakat Malaysia. Saya tidak kisah apa yang orang cakap. Bila orang cakap, kita perlu tahu bagaimana untuk menepisnya. Kalau kita tidak salah tidak perlu takut apa-apa.

Persidangan tinggal beberapa hari lagi. Apa perasaan Datin Seri?
ROSMAH MANSOR: Saya boleh mengawal emosi dan gementar walaupun jauh dalam hati saya ingin melihat persidangan berkenaan berjaya. Saya mahu Wanita Pertama yang lain memandang Malaysia sebagai negara sahabat yang sedang membangun dan boleh membantu.
Semua persiapan berjalan lancar?
ROSMAH MANSOR: Persiapan bermula dengan perbincangan lapan bulan yang lalu. Saya agak cerewet dan saya meninjau kerja-kerja di saat-saat akhir. Saya suka terlibat sejak dari awal lagi, jadi saya pengerusikan mesyuarat yang pertama. Selepas itu sekretariat diwujudkan dan mereka lakukan susulan dari apa yang mesyuarat yang awal wujudkan.
Michelle minta maaf tidak dapat hadir. Dia ucapkan semoga persidangan berjaya. Dia mempunyai dua anak perempuan yang masih kecil. Dia juga jarang menemani suaminya sendiri.
Apa yang Datin Seri akan bangkitkan dalam ucaptama?
ROSMAH MANSOR: Saya akan gariskan masalah yang dihadapi pada masa ini. Apa yang saya rasakan sebagai seorang ibu dan isteri Perdana Menteri. Sebagai seorang pemegang Ijazah Sarjana, saya ada pandangan tersendiri. Saya akan nyatakan harapan saya mengenai seorang pemimpin yang baik dan bagaimana saya mahukan generasi akan datang nanti.