Saturday, May 29, 2010

Lima lagi taska Permata beroperasi Jun ini

KUALA TERENGGANU 28 Mei - Lima taman asuhan kanak-kanak (taska) Permata yang masih belum dibuka kerana beberapa masalah pembinaan di negeri ini dijangka bakal beroperasi selewat-lewatnya Jun ini.
Taska-taska tersebut terletak di Jertih, Langkap, Ladang, Kemasik dan Chukai di Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Permata Negara, Datuk Siti Azizah Sheikh Abod berkata, kesemua taska tersebut seharusnya beroperasi Januari lalu namun disebabkan masalah pertukaran lokasi, kelewatan pembinaan dan masalah cuaca menyebabkan operasinya terpaksa ditangguhkan.

Katanya, bagaimanapun setakat ini beliau berpuas hati dengan pembinaan 32 buah Taska Permata di negeri ini yang hampir 90 peratus telah siap diguna pakai.

"Hampir kesemua taska yang dibina di sini mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan termasuk pembelajaran, aktiviti dan latihan yang diberikan mengikut modul Permata," katanya kepada Utusan Malaysia selepas lawatan kerja di Taska Permata Durian Burung di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Mohd. Shafaruddin Mustaffa.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak yang banyak membantu dalam melaksanakan program Taska Permata di kesemua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Ujarnya, dengan wujudnya Taska Permata ia memberi kemudahan selain peluang kepada kanak-kanak untuk mendapatkan pembelajaran serta proses tumbesaran secara sihat dan baik.

"Taska Permata memenuhi kehendak ibu bapa dalam membentuk serta memberi pembelajaran secara efektif kepada anak-anak serta di dalam persekitaran yang selamat.

"Jadi ibu bapa kini tidak lagi perlu bimbang untuk menghantar anak-anak mereka ke taska memandangkan kita menempatkan pengasuh yang berpengalaman dalam tugasan tersebut," jelasnya.

Monday, May 17, 2010

Konsert Rossa-Melodi Cinta tampil kanak-kanak Permata

05/04/2010 7:59pm

KUALA LUMPUR 5 April – Seramai 50 kanak-kanak daripada program Permata Negara akan membuat penampilan khas dalam konsert penyanyi terkenal Indonesia, Rossa yang bakal berlangsung pada 29 Mei depan di Bukit Jalil di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Projek Perintis Permata Negara, Datuk Siti Azizah Sheikh Abod berkata, kanak-kanak yang terpilih untuk beraksi bersama Rossa dalam ”Konsert Rossa-Melodi Cinta” terdiri daripada mereka yang cemerlang dan berbakat dalam akademik, seni koir dan muzik.

"Penampilan kanak-kanak ini adalah ekoran kekaguman Rossa terhadap usaha (isteri Perdana Menteri) Datin Seri Rosmah Mansor untuk menggilap bakat dan kecemerlangan kanak-kanak dalam bidang seni”, katanya pada sidang media Konsert Rossa-Melodi Cinta di sini hari ini.

Beliau berkata, Rosmah juga bersetuju menjadi penaung konsert itu selain menyaksikan penampilan khas kanak-kanak Permata pada konsert itu.

Selain itu, seramai 20 kanak-kanak dari kumpulan Tunas Budaya, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara turut terlibat bersama kanak-kanak daripada program Permata Negara dalam konsert berkenaan. – Bernama

Hasil program perintis Perkasa Remaja Negara menggalakkan


Rosmah Mansor menerima cenderamata ketika melawat Pusat Martha's Table di Washington, kelmarin. - BERNAMA


WASHINGTON 15 April - Program perintis Perkasa Remaja Negara yang bertujuan membangunkan remaja supaya lebih berkeyakinan dan berpandangan positif, menghasilkan keputusan menggalakkan, kata Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Rosmah yang juga Penaung Permata Negara berkata, seramai 30 remaja berumur antara 18 dan 25 tahun, yang pernah melanggar undang-undang negara, secara sukarela menyertai program kendalian Program Permata Negara bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilaporkan memperlihatkan perubahan sikap positif terhadap diri sendiri dan masyarakat.

"Program itu bertujuan menanamkan keyakinan diri dan tidak menganggap diri mereka sebagai manusia gagal adalah mustahak, kerana mereka juga berhak seperti remaja lain untuk mendapat pendidikan dan perhatian," katanya kepada wartawan Malaysia selepas melawat Martha's Table, sebuah badan bukan berasaskan keuntungan yang aktif dalam aktiviti kebajikan dan sukarelawan di sini semalam.

Badan yang ditubuhkan 30 tahun lalu itu bermatlamat membantu "individu kurang bernasib baik dalam masyarakat sekeliling untuk membangunkan kehidupan lebih baik menerusi program sukarelawan."
Rosmah yang juga Presiden Badan Kebajikan dan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), berkata, laporan penuh mengenai pencapaian program dua bulan, yang bermula 1 Mac lepas, akan diumumkannya setelah projek perintis itu berakhir.

Rosmah berkata, remaja perlu diberi kebebasan memilih bidang yang diminati dan usaha perlu diberikan untuk membolehkan mereka mengembangkan minat sehingga mencapai kejayaan.

Mengenai lawatannya ke Martha's Table, Rosmah berkata, pihaknya sedang memikirkan satu program yang membolehkan remaja melakukan kerja-kerja berfaedah dan mempelajari bidang yang mereka minati di satu tempat selepas waktu sekolah.

"Datang untuk belajar bidang yang mereka minati seperti muzik, menyanyi, drama dan sebagainya. Selain melakukan kerja-kerja sekolah dengan dibantu oleh guru-guru," katanya.

Rosmah berkata, mustahak bagi tempat-tempat ini mempunyai guru-guru yang sesuai dan berminat mengajar serta sukarelawan untuk membantu.

Terdahulu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Martha's Table Lindsey Buss dalam taklimatnya berkata sejak penubuhannya di kawasan komuniti yang terlibat gejala dadah pada 1980, banyak perubahan positif berlaku dan ia menjadi rumah kedua bagi kanak-kanak dan belia di kawasan itu.

Organisasi itu yang menerima hanya 18 peratus pendapatannya daripada geran kerajaan, mempunyai dua program iaitu program jangka pendek yang membabitkan program makanan dan pakaian bagi orang miskin dan satu lagi program jangka panjang melibatkan pendidikan dan perkhidmatan keluarga, katanya.
Buss berkata, Martha's Table mempunyai 10,000 sukarelawan setahun untuk membantu melaksanakan pelbagai aktiviti dan 70 guru berkelulusan ijazah pertama bagi mendidik 300 kanak-kanak dan belia berumur antara tiga bulan dan 18 tahun.

Para guru berkenaan, katanya, akan membantu mereka sebelum dan selepas sekolah, termasuk menolong mereka melakukan kerja sekolah dan mengadakan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan kemahiran seperti reka bentuk grafik dan penerbitan video.

Pusat itu mencatatkan kelulusan 100 peratus bagi pelajar sekolah tinggi dan membantu ramai daripada mereka melanjutkan pelajaran ke kolej dan universiti, kata beliau. -- BERNAMA

Sunday, May 2, 2010

Kunjungan Rosmah ke Amerika tingkatkan imej negara

KUALA LUMPUR 1 Mei - Kunjungan Datin Seri Rosmah Mansor ke Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini telah berjaya meningkatkan lagi imej negara di luar negara, khusus menerusi perkongsian pengalaman beliau berhubung program pembangunan kanak-kanak yang beliau laksanakan di Malaysia, usaha mempromosi pelbagai budaya negara dan kerja-kerja amal yang beliau lakukan semasa lawatan tersebut
.
Bukan sahaja beliau dapat memainkan peranan secara berkesan sebagai isteri Perdana Menteri Malaysia semasa berada di Washington dan New York, namun Rosmah turut dilihat dapat melengkapkan lagi lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak yang berhasrat membuka lembaran baru dalam peningkatan hubungan Malaysia-Amerika Syarikat dalam pelbagai bidang.

Sebagai permulaannya, apabila Rosmah diberi penghormatan mengambil bahagian dalam Forum Wanita Antarabangsa (WIF) yang berprestij First Ladies Speak di Dewan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ECOSOC) di New York, di mana beliau telah membangkitkan mengenai kepentingan untuk membuat pelaburan demi masa depan kanak-kanak yang merupakan modal insan akan datang.

Rosmah turut dianugerahi dengan Anugerah Keamanan dan Keharmonian Antarabangsa daripada Majlis Perniagaan bagi Persefahamanan Antarabangsa (BCIU) Amerika Syarikat, sebagai mengiktiraf pelbagai kerja-kerja amal yang telah beliau lakukan.

Anugerah tersebut juga sebagai meraikan hubungan penting yang semakin berkembang pesat antara Malaysia dengan kuasa besar dunia itu yang menjanjikan perolehan kepentingan bersama menerusi peningkatan perdagangan dan pelaburan kepada kedua-dua ekonomi untuk mula pulih dari krisis ekonomi global yang masih melanda.

Pada konvensyen khas WIF di mana Rosmah dan isteri Perdana Menteri Jamaica, Lorna Golding dijemput berucap, Rosmah telah menyentuh mengenai keperluan membantu kanak-kanak yang memerlukan bantuan, yang disifatkannya sebagai perjalanan yang perlu diteruskan oleh masyarakat antarabangsa bagi membantu golongan berkenaan.

Beliau mengajak masyarakat antarabangsa untuk memperkasakan golongan kanak-kanak.
Di forum itu, Rosmah turut berkongsi pengalamannya dalam melaksanakan program pembangunan kanak-kanak Permata Negara yang dimulakannya lebih tiga tahun lalu.

Para peserta konvensyen yang terdiri kebanyakannya daripada kalangan isteri para diplomat dan perwakilan ke PBB serta kalangan wanita profesional dari pelbagai latar belakang kerjaya begitu responsif terhadap isu yang beliau bangkitkan.

Sesetengahnya datang berjumpa sendiri dengan beliau kemudiannya untuk mendapat penjelasan lebih lanjut mengenai program pembangunan kanak-kanak yang dilaksanakan di Malaysia.
Beliau dan rombongan yang termasuk ahli-ahli Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (Bakti) serta Persatuan Isteri Menteri Besar dan Ketua Menteri turut melawat projek-projek komuniti yang dilaksanakan di Washington yang telah menambahkan lagi pengalaman mereka.

Misalnya mereka turut melawat pusat kegiatan seni Sitar Arts Center, yang telah dianugerahkan The Coming Up Taller oleh Wanita Pertama Amerika, Michelle Obama sebagai mengiktiraf peranan pusat itu selaku pusat kegiatan seni perdana selepas waktu persekolahan dan sebagai pertubuhan kemanusiaan untuk golongan remaja.

Lawatan turut meliputi Martha's Table, iaitu pusat bagi kanak-kanak selepas habis waktu persekolahan, yang terletak di kawasan yang pernah menjadi kawasan penagihan dadah.

Lawatan ke pusat-pusat sebegini yang dikendalikan oleh para sukarelawan, telah mendedahkan kepada ahli-ahli Bakti ke arah menubuhkan pusat yang serupa di Malaysia di mana kanak-kanak dan golongan remaja berpeluang menghabiskan masa mereka selepas menghadiri kelas, secara lebih produktif. - BERNAMA