Tuesday, September 21, 2010

KUALA LUMPUR 21 Sept. – Kira-kira 30 isteri Perdana Menteri dari seluruh dunia dijangka menyertai Sidang Kemuncak Wanita-Wanita Pertama di Kuala Lumpur dari 11 hingga 13 Oktober ini.
Penaung program tersebut, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, setakat ini 22 wanita pertama dan dua wakil wanita pertama mengesahkan akan hadir ke persidangan itu.
“Antara yang mengesahkan kehadiran itu termasuk isteri Perdana Menteri Afghanistan, Dr. Zeenat Quraishi Karzai, Albania (Teuta Topi), Chile (Cecilia Morel Montes), Congo (Marie Olive Kabila), Iran (Azam Al-Sadat Farahi) dan Sri Lanka (Shiranthi Rajapaksa),” katanya pada sidang akhbar di kediamannya di Jalan Langgak Duta di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Rosmah berkata, sidang kemuncak anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu bertemakan ‘Anak Hari ini, Pemimpin Hari Esok’.
Beliau berkata, tema itu selaras tujuan persidangan tersebut iaitu bagi mengetengahkan agenda penting dalam memperkasa kanak-kanak sebagai bakal pemimpin pada masa depan.
Katanya, sidang kemuncak itu juga akan menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran global kepada setiap negara bagi melabur dalam pembangunan, kebajikan, pendidikan dan kesejahteraan kanak-kanak.
“Di sini letaknya keupayaan wanita pertama untuk menggerakkan masyarakat setempat dalam melaksanakan program yang membolehkan kanak-kanak mendapat faedah daripada perancangan kerajaan,” katanya.
Rosmah berkata, sidang kemuncak itu nanti akan membentuk satu deklarasi untuk menyeru semua negara supaya melabur dan menyediakan prasarana asas bagi pendidikan awal kanak-kanak.
Tambahnya, langkah itu akan berupaya melahirkan pemimpin masa depan yang berkebolehan bagi meneruskan hidup dalam mengharungi cabaran dunia yang serba kompetitif.
Rosmah berkata, beliau juga akan menyampaikan ucaptama pada hari pertama persidangan iaitu 11 Oktober sebelum upacara perasmian dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, selain menyertai forum, para peserta juga akan menghadiri majlis minum petang bersama Raja Permaisuri Agong pada 12 Oktober dan melawat projek Permata di Putrajaya pada 13 Oktober.

Sunday, September 19, 2010

Pilih taska yang berdaftar untuk keselamatan anak



Sebahagian peserta menunjukkan sijil pada tamat Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak di Dewan Murni, Paroi, Rembau, baru-baru ini.


REMBAU 19 Sept. - Ibu bapa seharusnya bersikap lebih peka dalam soal memilih pusat asuhan kanak-kanak demi menjamin keselamatan anak masing-masing ketika mereka keluar bekerja.
Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Negeri Sembilan (PPBNS), Rozita Kamil berkata, ibu bapa seharusnya memilih taska atau pusat jagaan yang diiktiraf oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan asuhan dan pendidikan awal yang diberikan itu lebih berkualiti selain terjamin selamat.
"Ini kerana kebanyakan ibu bapa biasanya memilih sesebuah taska itu atas faktor bayaran yurannya yang murah serta lokasi berhampiran dengan rumah tanpa mengambil kira sama ada taska itu berdaftar dengan JKM atau tidak," katanya.
Rozita berkata demikian selepas menghadiri Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak yang dianjurkan PPBNS dengan kerjasama JKM negeri di Dewan Murni, Paroi di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, tugas pengasuh bukan sahaja memberi makan dan minum, malah perlu memberi asuhan, kasih sayang dan perhatian daripada semua aspek termasuk keselamatan dan kesihatan supaya anak-anak mendapat membesar serta mengalami perkembangan secara menyeluruh.
"Setiap pengusaha taska dan pengasuh perlu mengikuti kursus yang dianjurkan JKM sebelum memohon untuk didaftarkan. Bukan itu saja, mereka perlu mengikuti kursus dan menjalani ujian sebelum diberi hak menjadi pengasuh atau membuka taska," ujarnya.
Pada program tersebut, seramai 31 wanita mengikuti kursus bagi membolehkan mereka mendapat sijil kelayakan sekali gus berdaftar dengan JKM untuk menjadi pengusaha dan pengasuh taska.
Jelasnya, dalam program berkenaan peserta didedahkan dengan kaedah asuhan dan aktiviti yang bersesuaian dalam memberikan pendidikan awal kanak-kanak selain perlu menjalani ujian amali di taska terpilih sebelum mengikuti ujian bertulis.
Seorang peserta, Yee Siew Ken (gambar), 32, memberitahu, kursus tersebut banyak memberikan input yang lengkap berhubung soal mengendalikan kanak-kanak secara komprehensif.
"Saya mendapat pendedahan yang baik terhadap tugas sebagai seorang pengasuh atau pengusaha taska serta apa yang perlu dilakukan sepanjang tempoh mengasuh kanak-kanak," ujarnya.
Katanya, walaupun kursus tersebut memakan masa sehingga tempoh tiga minggu, namun dia tidak mempunyai masalah untuk menyertainya kerana ia amat membantu dirinya mempertingkatkan kemahiran untuk menjadi pengasuh yang berkualiti.
"Selepas mengikuti kursus selama tiga minggu, kami juga turut diberikan ujian bertulis dan amali. Jika lulus kesemuanya barulah layak mendapat sijil pengiktirafan.
"Kini barulah saya tahu bahawa proses penjagaan kanak-kanak di usia awal sangat penting untuk perkembangan pembesaran mereka. Sebagai pengasuh, kita tidak boleh memandang ringan perkara ini malah mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menjaga mereka," ujarnya.