Tuesday, November 30, 2010

Program jaga gigi di Permata

PUTRAJAYA 30 Nov. - Program penjagaan awal kesihatan pergigian kanak-kanak akan dilaksanakan di semua Pusat Permata Negara di seluruh negara mulai tahun depan.

Program yang akan dilaksanakan di 600 buah pusat membabitkan seramai 24,000 orang kanak-kanak itu bertujuan memastikan amalan kesihatan pergigian yang baik dipraktikkan di peringkat awal usia.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, program bertemakan 'Tidak Terlalu Awal' itu membabitkan usaha sama antara Kementerian Kesihatan dan Pusat Permata Negara.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Penyelarasan Program Permata Negara berkata, program tersebut dimasukkan dalam kurikulum kesihatan Pusat Permata Negara yang akan diserapkan dalam silibus Kursus Asas Pengasuh Kanak-Kanak Permata.

"Aspek penjagaan gigi berkait rapat dengan pendidikan awal untuk menerapkan tabiat baik serta membentuk sikap positif kepada penjagaan kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Penjagaan Awal Kesihatan Pergigian Kanak-Kanak Dalam Program Permata Negara, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Rosmah turut merasakan idea menyerapkan program itu ke dalam Permata amat bertepatan kerana ia merupakan satu program asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak yang holistik.

Kajian epidemiologi kesihatan pergigian pada 2005 mendapati seramai 76.2 peratus kanak-kanak berumur lima tahun mengalami masalah karies gigi atau gigi berlubang.

Kajian juga mendapati secara purata setiap seorang kanak-kanak mempunyai enam batang gigi berlubang.
Permasalahan itu, kata Rosmah, amat membimbangkan kerana ia mempunyai impak negatif seperti kesakitan yang turut mengganggu fungsi pemakanan dan menjejaskan pertumbuhan kanak-kanak secara keseluruhan.
Ketika ini program penjagaan kesihatan pergigian kanak-kanak telah dilaksanakan di dua taska kerajaan iaitu Tadika Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Tadika Perpaduan.

Sementara itu, Tiong Lai dalam ucapannya berkata, melalui program tersebut, kaedah pencegahan dan mengenal pasti penyakit gigi di peringkat awal dapat dilakukan.

"Para guru dan pengasuh taska merupakan golongan yang memainkan peranan penting dalam perkara ini, justeru penglibatan dan perkongsian tanggungjawab antara pengasuh dan pasukan pergigian memberi faedah besar kepada kanak-kanak," katanya.

Saturday, November 20, 2010

Jennifer Garner gesa kanak-kanak miskin diberi pendidikan

WASHINGTON 20 Nov. - Pelakon Jennifer Garner menggesa kerajaan Amerika Syarikat (AS) menyediakan kehidupan berkualiti dan pendidikan untuk kanak-kanak miskin di negara ini, selain melaksanakan program aktiviti fizikal dan pemakanan.

Garner yang merupakan duta badan amal Save The Children yang membuat gesaan itu kepada Jawatankuasa Kecil Senat AS berkata, persekitaran yang berkualiti dan pendidikan untuk kanak-kanak adalah sama penting dengan memberikan mereka makanan.

"Bagi saya, membacakan mereka buku, menyanyikan mereka lagu dan bermain dengan mereka sangat penting.
"Bagaimanapun, jika anda adalah seorang daripada berjuta-juta keluarga AS yang bergelut dengan krisis kemelesetan dan kemiskinan, anda hanya memikirkan untuk memberikan mereka makanan dan pakaian," kata Garner.

Pelakon berusia 38 tahun itu berkata demikian ketika menghadiri Persidangan Jawatankuasa Kecil Senat berhubung Kanak-kanak dan Keluarga di Bangunan Pejabat Senat Dirksen di Washington, semalam.
Menurut badan amal itu, Garner dan Superitendan Mason County, Suzanne Dickens turut menyertai sidang media di Ashton, hari ini.

Save The Children menawarkan pendidikan awal, mengenal huruf, aktiviti fizikal dan program pemakanan kepada kanak-kanak.

Menurut badan amal itu, program-program yang mereka jalankan pada tahun ini melibatkan lebih 70,000 kanak-kanak di negara ini. - AGENSI

Tuesday, November 16, 2010

4 Pusat Anak Permata Negara di Pahang

MARAN 15 Nov. - Empat Pusat Anak Permata Negara (PAPN) akan dibina di negeri ini bagi memberi pendidikan awal kanak-kanak dalam melahirkan generasi pintar pada masa akan datang.
Ketua Penolong Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Mohd. Zamri Mat Isa berkata, pihaknya telah mengenal pasti tiga daerah bakal didirikan pusat itu dengan peruntukan RM2 juta sebuah.
Setakat ini, menurut beliau, dua PAPN telah beroperasi iaitu di Felda Chini, Pekan dan Felda Mempaga, Bentong yang menjadi model kepada keberkesanan program pendidikan pintar itu.
"Pusat itu yang merupakan cetusan idea isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor semakin mendapat sambutan ibu bapa kerana anak-anak mereka akan diasuh oleh tenaga profesional.
"Justeru, peruntukan yang diberikan pada Bajet 2011 akan membolehkan lebih banyak pusat itu dibina di seluruh negara dengan sasaran satu Parlimen satu PAPN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan PAPN Parlimen Maran di sini hari ini.
Mohd. Zamri berkata, program Permata menawarkan satu alternatif dalam asuhan dan didikan awal kanak-kanak di bawah umur lima tahun kepada rakyat apabila pendekatan itu berjaya dilaksanakan di negara maju.
Tambahnya, program itu berupaya merangsang perkembangan intelek, kognitif dan komunikasi kanak-kanak serta meningkatkan kestabilan emosi mereka.
"Di samping itu, program Permata dapat merangsang minda untuk meneroka sesuatu yang baru dan mencuba serta menyelami melalui permainan disediakan pengasuh bertaraf profesional," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Muttalib berkata, usaha tersebut sangat baik dan perlu disokong kerana cara pendekatan itu mampu mendidik generasi baru mengenai nilai-nilai murni, bersyukur dan menjadi aset dalam meneruskan kecemerlangan negara.

Wednesday, November 10, 2010

Pendidikan awal pelaburan terbaik negara

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Pembangunan dalam aspek pendidikan awal kanak-kanak berusia bawah lima tahun merupakan kaedah paling efektif untuk mengurangkan jurang kemiskinan rakyat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, pendidikan pada usia muda merupakan asas untuk membentuk kualiti dan karismatik seseorang apabila meningkat ke usia dewasa kelak.
Menurut beliau, ini kerana sejak dari kecil kanak-kanak akan didedahkan dengan cabaran semasa dan akan datang menerusi sistem pembelajaran yang berkesan.
"Laporan Bank Dunia pada 2006 mengenai pembangunan aspek pendidikan kanak-kanak merumuskan bahawa sejak lahir sehingga usia enam tahun merupakan masa yang terbaik untuk pembinaan modal insan.
"Kanak-kanak yang dididik sedari awal pastinya bukan sekadar mampu meghadapi cabaran yang berlaku pada masa sekarang tetapi juga pada masa hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan kit panduan Bagaimana Untuk Menyediakan Pusat Penjagaan Kanak-kanak di Tempat Kerja, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Azmi Ariffin dan Wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (UNICEF) ke Malaysia dan Wakil Khas ke Brunei Darussalam, Hans Olsen.
Kit panduan itu merupakan dokumen yang akan melengkapkan Pekeliling Amalan Perniagaan Terbaik (BBPC) 1/2010 berkaitan pengekalan dan kebajikan kanak-kanak dalam persekitaran korporat yang dilancarkan pada 28 Januari lalu.
Pekeliling dan kit panduan itu menyentuh tentang garis panduan dan syarat-syarat penubuhan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja oleh majikan swasta.
Menurut Rosmah, dalam proses penyediaan pusat penjagaan kanak-kanak di pejabat, setiap majikan perlu menitikberatkan aspek keselamatan dan keperluan menyediakan tenaga pengajar yang berkualiti supaya dapat membentuk tahap potensi maksimum dalam diri kanak-kanak.
"Untuk mencapai tahap terbaik dalam mencungkil potensi kanak-kanak, setiap aktiviti dan kurikulum yang disediakan perlu mengajar mereka menggunakan kesemua deria untuk meneroka pengalaman baru dalam proses pembelajaran," ujarnya.

Wednesday, November 3, 2010

Rosmah cadang RISDA tubuh pusat Permata

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mencadangkan supaya RISDA menubuhkan pusat asuhan kanak-kanak berasaskan sukatan Program Asuhan dan Didikan Kanak-kanak (Permata Negara) di setiap kawasan tanah rancangannya di seluruh negara.
Menurut beliau, ia bagi membolehkan anak-anak pekebun kecil di luar bandar mendapat peluang yang sama dengan anak-anak di bandar dan tidak terpinggir daripada mengecapi pendidikan awal secara holistik.
"Saya berpendapat adalah menjadi tanggungjawab para ibu menyediakan asas pendidikan yang sempurna kepada anak-anak sejak mereka dari kecil lagi sebagai saham masa depan mereka, keluarga dan negara.
"Pihak Permata sanggup bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin menyediakan pusat asuhan di tempat kerja mereka mengikut silibus Permata serta turut mendapat peruntukan daripada kerajaan," katanya.
Beliau berucap pada majlis Perasmian Perhimpunan Wanita Pekebun Kecil Kebangsaan di sini hari ini.
Pada majlis itu, Rosmah menerima Anugerah Wira Wanita 1Malaysia daripada RISDA sebagai menghargai sumbangannya dalam pelbagai pertubuhan serta membangunkan masyarakat wanita, orang kurang upaya (OKU) dan Program Anak Permata Negara dan Sidang Kemuncak Wanita Pertama bulan lalu.
Anugerah disampaikan oleh isteri Pengerusi RISDA, Tan Sri Rahim Tamby Chik, Puan Sri Zabedah Abdullah yang menyarungkan selempang Wira Wanita Satu Malaysia kepadanya.
Rosmah yang juga Penaung Program Permata Negara berkata, sejak dua tahun lalu, lebih 400 pusat asuhan kanak-kanak milik Jabatan Pembangunan Komuniti, Jabatan Perpaduan Negara serta pusat asuhan kanak-kanak di pejabat yang baru dibina telah dinaik taraf sebagai pusat Permata Negara.
"Apa yang menarik ialah ramai kanak-kanak dari pusat asuhan Permata Negara menyatakan mereka ingin terus menginap di pusat itu kerana dekorasi yang cantik sehingga tidak mahu pulang ke rumah masing-masing," katanya.