Sunday, February 20, 2011

Rosmah penerima pertama anugerah dari Bandaraya Ankara

ANKARA 20 Feb. - Duta Besar Malaysia ke Turki, Datuk Saipul Anuar Abdul Muin berkata, Anugerah Tanggungjawab Sosial dari Bandaraya Ankara kepada Datin Seri Rosmah Mansor merupakan anugerah pertama diberikan kepada seorang kenamaan asing.


Beliau berkata, anugerah sulung itu diberikan sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa di Ankara, yang akan disampaikan kepada isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu Selasa ini, merupakan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha Rosmah yang berterusan dan tidak mengenal penat bagi membantu golongan muda dan mereka yang memerlukan.

"Usaha beliau dilihat bukan sahaja bagi memperkasakan wanita Malaysia, tetapi juga di atas perhatiannya termasuk dalam pembangunan modal insan dan pendidikan awal kanak-kanak di bawah pelbagai program yang dilaksanakan di bawah program Permata Negara, termasuk program Permata Insan yang bermatlamat ke arah melahirkan inteletual Islam yang cemerlang," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Saipul Anuar berkata, kedutaannya berasa tersentuh dengan keputusan yang dibuat oleh Greater Ankara Municipality bagi memberikan anugerah itu kepada Rosmah.

Di Kuala Lumpur, Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) bangga dengan Rosmah yang merupakan penerima anugerah Tun Fatimah dari pertubuhan itu pada 2007 diberikan pengiktirafan antarabangsa.

Dalam satu kenyataannya, Presiden NCWO, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shabuddin berkata, anugerah itu mencerminkan kekaguman atas usaha beliau yang tidak mengenal penat dalam menangani isu-isu sosial dan menggalakkan pembangunan optimum berhubung potensi kanak-kanak dan belia". - BERNAMA

Wednesday, February 16, 2011

Bukan Melayu digalak mohon tenaga pengajar Pusat Anak Permata Negara

IPOH 16 Feb. - Masyarakat Cina dan India yang berminat dengan pendidikan awal kanak-kanak digalakkan memohon menjadi tenaga pengajar Pusat Anak Permata Negara (PAPN) bagi memenuhi keperluan operasi pusat berkenaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan komunikasi, integrasi budaya serta toleransi di kalangan masyarakat majmuk memandangkan penyertaan bukan Melayu kurang daripada 10 peratus ketika ini.

"Misalnya di kawasan Felda yang banyak didiami orang Melayu, kita berharap dapat menghantar guru daripada kaum lain supaya anak kita dapat didedahkan dengan budaya berbeza.

"Lagipun, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kita berharap melalui peranan pendidik pelbagai bangsa, nilai hidup masyarakat majmuk dapat diterapkan sejak pendidikan awal kanak-kanak lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan Badan Amal dan Usaha Isteri-Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional Perak (Baiduri) ke PAPN Bercham di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Baiduri, Datin Seri Saripah Zulkifli yang juga isteri kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Pada majlis tersebut, Baiduri menyampaikan sumbangan buah limau dan angpau kepada 31 kanak-kanak pelbagai bangsa di PAPN tersebut.

Dalam pada itu, Seai Kie berkata, pengambilan tenaga pengajar PAPN terbuka kepada mereka yang mempunyai ijazah sarjana muda, diploma mahupun tamat pengajian tingkatan enam.

Menurut beliau, bagi tujuan latihan, pihak Permata telah melantik Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai agensi penyedia latihan mulai tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Saripah berkata, terdapat lima PAPN yang beroperasi di negeri ini iaitu di Bercham, Felda Besout, Pulau Pangkor, Teluk Intan dan Parit Buntar.

Beliau berkata, melalui inisiatif kerajaan negeri, 10 taska di tempat kerja mengguna pakai modul Permata akan ditubuhkan di pejabat-pejabat tanah dan daerah termasuk di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

"Terdapat juga 23 buah Taska Permata Kemas di sekitar negeri Perak termasuk sebuah Taska Perpaduan di Taiping mengikuti modul Permata terutamanya bagi anak-anak golongan ibu tunggal dan berpendapatan rendah," katanya.

Selain itu, beliau turut memuji usaha PAPN Bercham yang disifatkannya menepati konsep 1Malaysia kerana menawarkan kelas bahasa Mandarin kepada anak-anak Melayu bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan rakan-rakan bukan Melayu.

Monday, February 14, 2011

Belia perlu kikis sikap lewa - Rosmah


ROSMAH Mansor beramah mesra dengan sebahagian 29 orang peserta pada majlis penutup Program Kem Perkasa Remaja Siri 2 (Felda) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, semalam. Turut sama Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin (kiri) dan Dzulkifli Abd. Wahab (tiga dari kiri).


KUALA LUMPUR 14 Feb. - Para belia perlu mengikis sikap sambil lewa dan acuh tak acuh untuk memastikan kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi mereka.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sehubungan itu, menasihatkan golongan muda supaya menguasai kemahiran tertentu agar dapat mengenal potensi untuk bersaing dalam arus pembangunan yang semakin mencabar.

"Belia perlu mengikis sikap acuh tidak acuh dan tidak bersungguh-sungguh kerana jika sesuatu perkara dilaksanakan dengan tekun serta disusuli komitmen tinggi, maka mereka akan menjadi semakin mahir dengan bidang tersebut.

"Hasil yang diperoleh pula, pasti akan mempunyai nilai dan kualiti yang tinggi serta dihargai oleh masyarakat,'' katanya ketika berucap menutup Kem Perkasa Remaja Siri Kedua di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dekat sini hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin dan Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab.

Kem itu disertai seramai 29 remaja Felda dari Kedah, Johor dan Kelantan, yang berjaya menamatkan kursus bermula 28 Oktober hingga 31 Disember tahun lalu.

Sepanjang tempoh pelaksanaannya, peserta terbabit yang kebanyakannya tidak bersekolah dan terdedah kepada gejala sosial diberikan peluang untuk mengikuti modul Pusat Pemerkasaan Remaja UKM.

Rosmah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dasar Permata Negara turut mengingatkan golongan belia bahawa negara memerlukan sumbangan mereka untuk meneruskan kegemilangan.

"Setiap kejayaan perlukan perjuangan dan hanya keberanian dan semangat waja yang dapat menangkis cabaran mendatang," katanya.

Saturday, February 12, 2011

Pengasuh perlu mahir lakukan bantuan kecemasan


ROSMAH Mansor beramah-mesra dengan sebahagian penonton program Apa Kata Wanita terbitan RTM1 di Wisma Angkasapuri, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 12 Feb. - Pengasuh di pusat penjagaan kanak-kanak perlu memahirkan diri dengan aspek bantuan kecemasan agar mampu menjaga keselamatan golongan yang dijaga dan mengelak berlakunya kecelakaan.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, antara aspek yang perlu diberi perhatian adalah bantuan pemulihan pernafasan dan jantung (CPR) kerana ia mampu menyelamatkan nyawa seseorang.

"Baru-baru ini saya terbaca di akhbar mengenai kejadian kanak-kanak meninggal dunia akibat tercekik susu. Kita tidak mahu ia berlaku lagi," katanya ketika ditemubual dalam program Apa Kata Wanita terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Angkasapuri hari ini.

Katanya, selain pengasuh di pusat jagaan, ibu bapa dan guru juga perlu melengkapkan diri dengan kemahiran berkenaan untuk keselamatan orang di sekeliling mereka.

Sementara itu beliau berkata, kanak-kanak yang berusia empat tahun ke bawah perlu diberi perhatian yang sewajarnya kerana peringkat umur tersebut penting dalam membentuk minda anak-anak.

"Perkara ini harus dipandang serius kerana kita bukan sahaja mahu menumpukan kepada pembangunan negara malah kepada pembangunan modal insan.

Menurut Rosmah, ibu bapa perlu memberi perhatian yang sewajarnya kepada anak-anak supaya nasib mereka tidak terabai.

"Terdapat kes di luar negara di mana kanak-kanak mengalami tekanan perasaan dan membunuh diri kerana ibu bapa terlalu mengejar kebendaan sehingga lupa kepada anak-anak. Kita perlu pandang serius isu ini kerana tidak mahu ia berlaku di negara ini," katanya.

Sementara itu, Rosmah yang merupakan Penaung Program Permata Negara memberitahu, sebanyak 600 pusat Permata ditubuhkan di negara ini yang diharap dapat membantu ibu bapa berpendapatan rendah mendapatkan pendidikan yang sempurna buat anak-anak mereka.

"Objektif utama ditubuhkan pusat ini adalah untuk memberi pendidikan secara menyeluruh kepada kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah dan ia mendapat reaksi positif daripada ibu bapa.

"Di pusat tersebut, kanak-kanak dapat belajar mengenai Sains dan Matematik dalam persekitaran yang kondusif serta sesuai untuk pembelajaran mereka," jelasnya.

Tuesday, February 8, 2011

Beri anak-anak pendidikan awal

MIRI 8 Feb. - Ibu bapa perlu memberi penekanan terhadap kepentingan peranan pendidikan awal anak-anak dalam usaha menyediakan mereka untuk memasuki pendidikan formal kelak.


Menteri di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Datin Fatimah Abdullah berkata, kanak-kanak berusia antara empat hingga lima tahun mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi dan mahu menerokai perkara baru.

''Kanak-kanak pada tahap ini sentiasa mahu tahu dan teruja dengan perkara baru malah mereka juga mudah menerima dan meniru apa yang dilakukan orang dewasa.

''Justeru kita perlu membimbing dan mendidik mereka dengan sewajarnya kerana proses pembelajaran perlu dimulakan ketika ini," katanya sewaktu melawat kelas Tabika Perpaduan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Bandar Baru Permyjaya, di sini semalam.

Sehubungan itu, Fatimah yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (MPPAK) berkata, ibu bapa harus menyediakan persekitaran kondusif bagi membolehkan anak-anak mereka melalui proses pembelajaran yang sempurna.

Dalam erti kata lain katanya, segala apa yang dilihat dan didengari oleh seorang kanak-kanak dari persekitarannya merupakan satu pendidikan bagi mereka.

''Justeru kanak-kanak perlu dibentuk dan dididik sejak dari awal lagi dan di sinilah ibu bapa dan guru-guru tadika memainkan peranan dalam mencorak masa depan mereka," ujarnya.

Sementara itu, Tabika RPR Bandar Baru Permyjaya terletak di salah sebuah skim perumahan yang terbesar di Sarawak dengan menempatkan kira-kira 360 kanak-kanak.

Tabika tersebut mengendalikan 11 bilik kelas yang beroperasi dengan sepuluh daripadanya beroperasi pada sebelah pagi manakala satu lagi pada sebelah petang.