Wednesday, March 23, 2011

Rosmah bimbang trend remaja bermasalah


ROSMAH Mansor menerima Anugerah Doktor Kehormat Inovasi Pembangunan Modal Insan yang disampaikan oleh Naib Canselor Universiti LimKokWing, Sultanah Kalsom Abdullah di universiti itu di Cyberjaya, semalam.


CYBERJAYA 22 Mac - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melahirkan kebimbangannya terhadap trend peningkatan golongan remaja bermasalah yang mungkin tersisih daripada pembangunan negara.

Menurutnya, pembabitan golongan itu dalam aktiviti tidak bermoral hanya akan menyebabkan mereka terpaksa melalui kehidupan yang sukar kerana ketinggalan.

Beliau berkata, sebagai aset negara, golongan terbabit seharusnya dilengkapkan dengan ilmu pelajaran, kemahiran bakat dalam bidang tertentu dan sikap yang baik untuk meneruskan kehidupan.

''Apabila mereka terlibat dalam dadah atau perbuatan jenayah, saya khuatir mereka akan terus ketinggalan daripada arus pembangunan, menjadi nakal dan tidak mempunyai masa depan,'' ujarnya.
Rosmah berkata demikian ketika berucap selepas dianugerahkan Doktor Kehormat Inovasi bagi Pembangunan Kapasiti Insan daripada Universiti LimKokWing oleh Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom yang juga Naib Canselor universiti tersebut di sini hari ini.

Menurutnya, mereka yang terbabit dengan gejala sosial, dengan mudah boleh dipengaruhi dan asyik dengan aktiviti berisiko serta berlumba secara haram atau digelar mat rempit.

Hadir sama ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Presiden Universiti LimKokWing, Tan Sri Lim Kok Wing.

Dalam pada itu Rosmah berkata, Permata Negara dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menganjurkan kem selama dua bulan untuk membantu golongan remaja memperkasakan diri, lebih berkemahiran, bertanggungjawab serta memupuk kesedaran diri.

Thursday, March 10, 2011

Yayasan Permata dilancar dengan dana permulaan RM4.4j

10/03/2011 4:04pm

BANGI 10 Mac - Program Permata, yang memberi fokus kepada pembangunan dan pendidikan kanak-kanak, hari ini melangkah setapak lagi ke hadapan dengan penubuhan Yayasan Permata dengan modal permulaan sebanyak RM4.4 juta.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Penaung Permata berkata, dengan penubuhan yayasan itu, semua program-program Permata yang dimulakan sejak 2007 iaitu Permata Negara, Permata Pintar, Permata Seni dan Permata Insan diharap dapat dilaksana dengan lebih terancang dan tersusun di bawah naungan satu yayasan, tanpa bergantung sepenuhnya kepada pembiayaan kerajaan.

Beliau berkata, dana itu juga mungkin akan disalurkan dalam bentuk biasiswa pendidikan kepada pelajar Permata Pintar yang terpilih.

"Saya percaya masih banyak lagi perkara yang boleh kita lakukan untuk kepentingan kanak-kanak di negara kita, dan dengan adanya dana yang mencukupi, bolehlah kita merancang program-program yang baik untuk kanak-kanak,” katanya semasa majlis pelancaran Yayasan Permata di Kompleks Permata Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini. - Bernama