Sunday, April 11, 2010

Tidak hanya bagus akademik




MINGGUAN: Apa sebenarnya falsafah di sebalik Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) pendidikan?

MUHYIDDIN YASSIN: NKRA Pendidikan sebenarnya adalah selaras dengan dasar pendidikan negara untuk melahirkan modal insan kamil daripada sistem pendidikan kita iaitu menerusi pembelajaran dan pengajaran. Yang kita telah laksanakan selama ini pun berdasarkan falsafah yang sama. Cuma yang ditekankan dalam NKRA adalah usaha untuk melonjakkan pencapaian kita dalam beberapa bidang kecil yang belum tercapai pencapaiannya. Sedangkan bidang-bidang ini dianggap penting yang boleh membantu meningkatkan pencapaian kita dalam soal pelajaran.

Umpamanya sistem pra sekolah yang telah dilaksanakan tetapi kita tidak anggap ia sebagai komponen penting dalam sistem pendidikan. Sebab itu dalam NKRA kita bawa masuk bidang prasekolah sebagai salah satu bidang yang utama. Ia dimasukkan dalam sub NKRA sebagai satu usaha untuk meningkatkan prestasi pelajaran anak-anak kita walaupun mereka belum ke sekolah.

Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk memberikan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti sebagai asas untuk memastikan peningkatan minat dan kesinambungan kepada pendidikan di peringkat yang lebih tinggi.

Sebab itu pendidikan prasekolah dijadikan sub pertama NKRA kerana ia kita anggap penting sebagai asas untuk membentuk sahsiah dari segi emosi dan persiapan mental untuk kanak-kanak pergi ke sekolah biasa dan menerima ilmu dalam sistem formal. Langkah ini juga selaras dengan dapatan kajian iaitu sekiranya kanak-kanak yang mempunyai kemahiran tinggi dari peringkat awal pendidikan maka peluang untuk berjaya akan semakin meningkat.

Adakah ini bermakna NKRA membawa nafas baru kepada Dasar Pelajaran Negara? 

MUHYIDDIN YASSIN: Ia selari dengan pelan transformasi kerajaan, maknanya kita telah iktiraf ini adalah bahagian komponen pendidikan yang kita tidak boleh abaikan supaya kita boleh tingkatkan prestasi anak-anak kita. Setiap sub NKRA yang menyentuh tentang sekolah, literasi dan numerasi, guru-guru mempunyai matlamat yang amat jelas. Kita mahu anak-anak di Malaysia yang belajar ke sekolah sampai peringkat tiga tahun seharusnya sudah menguasai 3M.

Dalam keadaan sekarang ini kita sedang kenal pasti kelemahan-kelemahan kerana ada berlaku pelajar-pelajar yang telah sampai ke tingkatan satu masih tidak boleh membaca dan menulis.

Malah pada 2008 masih terdapat kira-kira 13 peratus (54,000) murid Tahun 1 tidak menguasai 2M iaitu membaca dan menulis. Perkara ini kita anggap serius kerana apabila melangkah ke tahap seterusnya mereka tidak dapat menguasai 3M. Ia akan menyumbang kepada peningkatan kadar keciciran di sekolah selain meningkatkan masalah disiplin. Kemudian melarat kepada kegagalan akademik secara kumulatif dan perkara ini amat sukar diperbaiki apabila mereka masuk ke peringkat lebih tinggi.

Jadi kita mengambil langkah awalan dengan memperkenalkan sub NKRA LINUS (literasi dan numerasi) supaya hal sebegitu tidak berlaku lagi. Kita telah mulakan supaya akhirnya kesan jangka panjang peratusan literasi setanding dengan negara maju di dunia. Tidak ada peratusan orang yang tidak boleh membaca mengira dan menulis tidak kira peringkat umur mana. Itu matlamat kita.

Seterusnya, keupayaan anak-anak kita menguasai bidang ilmu kerana mereka sudah pakar dan ada asas yang kukuh.

Bagaimana pula dengan program Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang dilihat hanya melonjakkan sekolah-sekolah yang sedia bagus?

MUHYIDDIN YASSIN: Dalam soal sekolah berprestasi tinggi, ia bukan soal mengenal pasti sekolah sahaja. Kita mahu menunjukkan di Malaysia sudah ada sekolah yang mencapai tahap kecemerlangan setanding dengan sekolah-sekolah di negara-negara maju. Ini kerana penanda aras yang tinggi dan ketat serta kriteria yang dikenalpasti juga bukan mudah. Hasil tinjauan kita sudah ada sekolah begitu walaupun jumlahnya kecil iaitu 20 sekolah. Tetapi kita harap dalam masa tiga tahun 100 sekolah atau lebih dalam kategori ini.
Tetapi di bawah program yang sama kita juga mahu menaikkan taraf sekolah-sekolah lain sebab itu kita perkenalkan school improvement programme . Adalah tidak benar jika ada tanggapan bahawa kerajaan hanya menumpukan kepada membangunkan sekolah-sekolah elit dengan memberikan layanan istimewa kepada mereka. Sekolah ini terbangun bukan kerana kita usahakan secara spesifik tetapi hasil daripada kepimpinan sekolah, kebijaksanaan guru, ibu bapa, pelajar, pelbagai program tambahan yang mereka laksanakan untuk menambah baik mutu program pembelajaran di sekolah.

Di pihak kerajaan kita sememangnya mahu meningkatkan martabat sekolah-sekolah di seluruh negara termasuk di paras yang rendah pun kita nak naikkan.

Kesemua ini ada kaitan dengan sub NKRA seterusnya iaitu tawaran baru kepada pengetua.

Ini kerana kita iktiraf sebahagian besar peningkatan di sekolah bergantung kepada kepimpinan guru di sekolah selain dokongan pihak-pihak yang lain seperti ibu bapa pelajar.
Di situ peranannya adalah pengetua dan guru-guru. Telah terbukti dalam SBT kenapa boleh sampai ke situ kerana ada keupayaan baru kepimpinan di kalangan pengetua dan guru besar sehingga sekolah itu boleh melonjak lebih tinggi dari sekolah lain. Sebab itu dalam bai'ah baru tawaran baru kita nak bagi satu skim tawaran istimewa berupa insentif, kalau meningkat kita boleh iktiraf pengetua dan guru dan kita beri insentif berbentuk wang dan sebagainya.

Apa sebenarnya keperluan mendesak yang membawa kepada pelaksanaan NKRA?

MUHYIDDIN YASSIN: Sebenarnya ia ada kaitan dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Januari lalu. Ini kerana biar pun Malaysia telah menunjukkan kemajuan bagi mencapai Wawasan 2020 tetapi kadar pertumbuhan negara khususnya dalam bidang ekonomi dan sosial agak lambat dan membimbangkan.

Pengenalan NKRA pendidikan adalah usaha penambahbaikan yang mesti dilakukan secara berterusan. Memang pun sebelum ada NKRA sasaran kita adalah untuk meningkatkan prestasi sekolah dan pencapaian pelajar. Tetapi inisiatif ini adalah sebagai inisiatif baru untuk menunjukkan komitmen serta kesungguhan kerajaan meningkatkan pencapaian kita dalam bidang pendidikan. Selain daripada perkara biasa yang kita lakukan secara berterusan, penambahbaikan kali ini dibuat dalam bentuk NKRA, bukan dari segi pembangunan dasar sebab dasar memang telah sedia ada. NKRA mementingkan tahap pencapaian. Misalnya untuk prasekolah daripada 67 peratus ditingkatkan kepada 87 peratus. Kita tak kata nak sediakan banyak sekolah saja tetapi kita meletakkan sasaran menerusi KPI yang kita guna pakai. Jadi NKRA adalah salah satu kerangka di mana setiap satu yang hendak kita buat kita tetapkan sasaran dari segi jumlah program dan hasil daripada program yang boleh meningkatkan pencapaian. Itu berbeza daripada dahulu, misalnya sekolah mesti ada jumlahnya. Kita di peringkat kementerian dan saya sebagai menteri peneraju bertanggungjawab hendak pastikan peratusan yang kita sebut kita nak capai mesti tercapai. Bermakna ini adalah pendekatan baru dan komitmen baru pimpinan dan kerajaan untuk meningkatkan tahap pencapaian kita dalam bidang pelajaran.

Kita bercakap soal kualiti, ramai pelajar cemerlang berjaya dilahirkan tetapi sistem pendidikan kita tidak mengajar murid-murid menjadi kreatif?

MUHYIDIN YASSIN: Kita berusaha perbaiki, kita buat transformasi kurikulum di semua peringkat di sekolah. Kita ada bahagian kurikulum khas di kementerian yang meneliti apakah kekurangan. Dan satu yang diakui oleh kita adalah tentang daya kreativiti anak-anak kita masih kurang berbanding di sekolah negara maju. Mereka lebih berani bersemuka dengan guru, pembelajaran secara interaktif, berani memberikan pandangan dan pendapat. Ini mungkin disebabkan cara pembelajaran, pengajaran, kita pula lebih menjurus kepada buku teks, silibus dan guru melihat kalau itu sudah dibuat maka cukuplah. Jadi ini tidak memberangsangkan pemikiran kreatif. Sebab itu kita kena teliti semula bagaimana kurikulum kita walaupun sudah baik boleh beri ruang kepada pelajar untuk menunjukkan kepintaran mereka dari segi kreativiti. Kalau belajar sesuatu matapelajaran itu bukan ikut buku teks sahaja, mereka boleh dapat ilmu lain apa lagi dengan sumbersumber baru dari Internet yang boleh menokok tambah lagi kreativiti mereka. Ruang ini semestinya ada di sekolah untuk membolehkan kreativiti berkembang, Jika tidak mereka akan setakat belajar dan mengajar itu sahaja, ini tidak membantu menjana pemikiran yang kreatif dan inovatif.

Adakah sistem pendidikan di Malaysia terlalu berorientasikan peperiksaan? Dan mungkin NKRA Pendidikan mampu mengubah pelaksanaan sistem seumpama itu?

MUHYIDDIN YASSIN: Tanggapannya begitu. Mungkin kerana sejak sekian lama baik daripada kerajaan mahupun masyarakat mereka menilai prestasi berdasarkan pencapaian akademik, straight A's, nak A semua, lebih banyak A lebih bagus. Saya tidak bersetuju dengan pendekatan sebegitu. Walaupun kita nak tekankan pencapaian akademik yang cemerlang tetapi jangan sampai itu yang lebih diutamakan. Ini kerana pembentukan sahsiah juga sama penting. Penting ada kreativiti, inovasi, bidang yang boleh menokok tambah kemahiran, berkaitan kokurikulum, soal kepemimpinan di sekolah, ruang untuk kreatif, interaksi. Banyak aspek dari segi pembelajaran yang tak tertumpu kepada bilik darjah, ini semua mesti diberi kredit. Sebab itu saya minta sukan dibawa semula ke sekolah. Di negara maju sukan jadi komponen penting tak pernah berubah. Sudah beratus tahun di Britain, Amerika sukan jadi komponen penting. Di Malaysia sudah agak merosot, jadi kita nak bawa balik nilai kesukanan kerana dalam kesukanan ada esprit de corp lebih lagi di Malaysia kerana kita mahu wujud kesefahaman antara kaum dan agama. Sukan boleh tembusi tembok-tembok sebegini, jadi inilah yang kita mahu, supaya dalam sistem pendidikan kita tidak hanya dinilai pencapaian akademik kerana akhirnya nanti mereka akan menjadi anggota dalam masyarakat. Tentunya kita tidak mahu melihat orang yang hanya faham matapelajaran di sekolah tetapi soal nak menghadapi dunia lebih mencabar, nak berfikir secara matang, menjurus soal-soal lain mereka tidak ada keupayaan. Jadi sebab itu kita nak lihat sistem pembelajaran tidak tertumpu kepada soal peperiksaan. Ini bermakna kurikulum kita kena nilai balik di mana ruang yang boleh. Lebih penting lagi latihan guru. Kepemimpinan guru untuk membimbing bukan hanya soal ada buku teks atau silibus tetapi lebih daripada itu. Soal latihan perguruan kita berikan perhatian dan tumpuan juga.

Setakat ini bagaimana pencapaian NKRA selepas dilancarkan awal tahun ini? 

MUHYIDDIN YASSIN: Daripada 1,353 prasekolah yang dirancang untuk beroperasi pada tahun ini, sebanyak 987 telah beroperasi. Masalah utama Kemajuan Masyarakat (Kemas) kerana pada masa ini guru-guru untuk prasekolah sedang mengikuti latihan. Bagaimanapun masalah tersebut akan diselesaikan pada Jun ini.

Selain itu sebanyak empat kelas prasekolah tambahan akan dibina di rumah panjang Sarawak dan empat lagi akan di Sabah.

Untuk LINUS, saringan awal telah dijalankan di seluruh negara dan didapati kira-kira 89 peratus sekolah rendah telah mengisi maklumat pencapaian saringan awal LINUS. Didapati 37 peratus murid Tahun 1 melepasi tahap literasi yang ditetapkan dan 46 peratus Tahun 1 melepasi tahap numerasi.

Monday, April 5, 2010

Pusat Permata di Hulu Selangor jika BN menang



Rosmah Manssor bersama Shahrizat Abdul Jalil beramah mesra dengan penduduk Kampung Sungai Buaya, Hulu Selangor, semalam. – UTUSAN/RASHID MAHFOF



HULU SELANGOR 4 April – Sebuah Pusat Permata Negara akan dibina di kawasan Hulu Selangor jika Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang memberi jaminan itu berkata, penubuhan pusat tersebut kelak akan mampu melonjakkan pencapaian generasi muda di kawasan Parlimen ini.

“BN ingin melihat anak-anak penduduk di luar bandar mendapat pendidikan terbaik bermula dengan Pusat Permata Negara,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Malam Mesra Bersama Rakyat Dengan Isteri Perdana Menteri di Kampung Sungai Buaya di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Rosmah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dasar Permata Negara berkata, sebelum ini kerajaan BN memang mempunyai hasrat untuk menubuhkan pusat tersebut di dalam kawasan Parlimen ini tetapi mengalami masalah dari segi mendapatkan tanah.

Sehubungan itu, kata Rosmah, pihaknya telah berbincang dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Felda bagi tujuan tersebut.

Dalam majlis tersebut, Rosmah juga mahu penduduk di dalam Parlimen Hulu Selangor memilih BN kerana terbukti tidak adalah parti yang mampu memberikan keselesaan dan pembangunan kepada rakyat.

“Saya yakin BN mampu memberikan yang terbaik berbanding apa yang diberikan oleh pembangkang sejak dua tahun yang lalu,” katanya.

Friday, March 26, 2010

Pendidikan prasekolah penting

KUCHING 25 Mac - Pendidikan prasekolah sangat penting untuk memupuk dan meningkatkan keyakinan diri anak-anak bagi mencapai kecemerlangan pada masa depan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman berkata, pendidikan awal itu juga dilihat sebagai landasan terbaik bagi meningkatkan kemahiran sosial, fizikal dan emosi dalam menentukan hala tuju seseorang.

Menurutnya, kesemua aspek itu harus diberi perhatian sebelum mereka memasuki alam persekolahan formal.
"Adalah penting untuk menghantar anak-anak mendapatkan pendidikan awal kerana ia juga mampu memupuk perpaduan sejajar dengan gagasan 1Malaysia.

"Pendidikan awal kanak-kanak merupakan asas kepada mereka untuk meneruskan pendidikan dan ibu bapa tidak boleh leka sebaliknya harus melengkapkan anak-anak dengan pendidikan sejak di peringkat awal,'' katanya.

Beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata demikian ketika berucap sempena lawatannya ke Tadika Sinaran Jalan Astana di sini semalam.

Dalam pada itu, Daud memberitahu, pihak pengurusan sesebuah tadika perlu menyediakan pendidikan yang berkualiti agar anak-anak tidak menghadapi kesukaran apabila memasuki alam persekolahan sebenar.
Katanya, memang tidak dinafikan bahawa tadika-tadika yang ada di negeri ini menyediakan pendidikan yang bertaraf tinggi dan berkualiti, namun mereka perlu mempersiapkan malah mengukuhkan ketahanan fizikal serta mental anak-anak ini.

"Usaha tadika seumpama itu perlu diteruskan agar anak-anak tidak menghadapi sebarang kesulitan untuk meneruskan pelajaran pada peringkat lebih tinggi," ujarnya.

Friday, March 12, 2010

Program Permata Insan dilancar


Rosmah Mansor melihat adik Soraya Hamitaf, 8, membuat ujian Pintar Agama ketika Majlis Pelancaran Permata Insan di USIM Nilai, semalam. Turut kelihatan isteri Menteri Besar, Salbiah Tengku Nujumuddin (tiga dari kanan).


SEREMBAN 12 Mac – Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini melancarkan program Permata Insan bermatlamat melahirkan ilmuwan dan golongan teknokrat Islam pada masa depan.

Kata beliau, generasi pendukung negara masa depan hendaklah bukan hanya menghafal al-Quran tetapi lebih utama, mampu melihat kitab suci itu sebagai sumber ilmu yang agung dalam pelbagai bidang termasuk sains, biologi, fizik, matematik dan sains kemanusiaan.

“Ini antara nilai terpenting yang akan diterapkan dalam program Permata Insan yang kita lancarkan hari ini,” kata beliau di sini hari ini.

Rosmah berkata demikian sewaktu melancarkan program Permata Insan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai dekat sini hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Jamil Khir Baharom; isteri Menteri Besar, Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin; Naib Canselor USIM, Datuk Muhammad Muda dan Penasihat Menteri Pengajian Tinggi Arab Saudi, Prof. Dr. Auda Al Johani yang juga ahli Pertubuhan Cerdas Pintar King Abdul Aziz.

Rosmah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Dasar Permata Negara menjelaskan, program Permata Insan adalah kesinambungan Permata Pintar yang telah pun terbukti kejayaannya ketika ini.

“Kita telah dapat merealisasikan sebuah program yang buat pertama kalinya, akan memperkenalkan satu ujian kecerdasan khusus bagi mengenal pasti pelajar seawal usia lapan tahun yang mempunyai kecenderungan tinggi dalam pengajian agama,” jelas beliau.

Kata Rosmah, pelaksanaan program itu mengambil inspirasi daripada teknokrat Islam seperti Ibnu Sina, Al-Farabi, Al-Khawarizmi, A-Biruni, Ibnu Khaldun dan ramai lagi.

“Anggaplah usaha ini sebagai langkah permulaan bagi Malaysia untuk melahirkan kanak-kanak generasi al-Quran dan bakal menjadi tokoh ilmuwan Islam yang mampu membangunkan metodologi baru mentafsir al-Quran dan sunah,” tambah beliau.

Mengenai kandungan silibus dalam Permata Insan, Rosmah memberitahu, USIM yang dipertanggungjawabkan bagi pelaksanaan program berkenaan telah mengadakan kerjasama dengan Universiti King Abdul Aziz (KAZ) di Riyadh, Arab Saudi.

“Kandungan silibus ini telah digubal bagi membolehkan pelajar memahami tentang ilmu dan tamadun menerusi pendekatan mengenali al-Quran secara mendalam dan integratif.

“Ia akan dipersembahkan dengan menggunakan metodologi dan pendekatan semasa bagi menyuburkan kreativiti agar pengajian Islam ini tidak terpinggir dalam arus perubahan masa kini.

“Mereka (Universiti KAZ) sudah pun mempunyai program seumpama ini bagi kanak-kanak pintar seluruh Arab Saudi dan bersetuju untuk membantu memperhalusi komponen al-Quran dan kokurikulum Permata Insan ini,” jelas Rosmah.

Justeru pemilihan pelajar untuk mengikuti kem Permata Insan akan dibuat menerusi proses saringan Ujian Kecerdasan-UKM 1 yang berlangsung sepanjang Mac hingga Mei ini.
“Selepas itu mereka akan disaring pula melalui Ujian USIM 1 untuk melihat kecenderungan mereka dalam pengajian Islam.
“Pemilihan ini terbuka kepada seluruh pelajar pintar di sekolah agama negeri, sekolah agama rakyat dan swasta serta individu yang berminat,” kata Rosmah.

Beliau juga berharap dapat menghantar pelajar pintar negara ke kem percutian di Arab Saudi kelak sebagaimana dilakukan terhadap lima pelajar Permata Pintar yang akan mengikuti Perkhemahan Musim Panas 2010 di Universiti John Hopkins, Amerika Syarikat, Jun ini.

Beliau juga berharap dapat mengenal pasti 50 pelajar yang pintar agama ini dari seluruh negara untuk mengikuti Kem Permata Insan di USIM pada Disember depan.

Saturday, March 6, 2010

Lima pelajar pintar sertai program di AS

SEREMBAN 5 Mac - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mengumumkan nama lima pelajar pintar cerdas negara yang akan mengikuti program Perkhemahan Musim Panas 2010 di Universiti Johns Hopkins - Pusat Belia Berbakat di Amerika Syarikat (AS) Jun ini.

Mereka ialah Rabiatul Adawiyah Ishak, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang, Kuching, Sarawak; Kalithashinee Sivabalan, 14, dari SMK Dato' Onn, Butterworth, Pulau Pinang dan Ahmad Asyraf Burhani, 15, dari SMA Al-Maarif Bukit Goh, Kuantan, Pahang.

Dua lagi pelajar yang terpilih itu ialah Philip Chin Zhen Yew, 16, dari SMJK (C) Chung Ling, Butterworth, Pulau Pinang dan Muhammad Akmal Hasbullah, 16, dari Maktab Rendah Sains Mara, Pengkalan Chepa, Kelantan.

Rosmah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Dasar Permata Negara memberitahu, mereka akan mengikuti program berkenaan selama sebulan di negara itu bermula 16 Jun ini hingga pertengahan Julai depan.
"Mereka yang terpilih ini merupakan duta PERMATApintar dan diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman berada bersama-sama kanak-kanak pintar cerdas dari luar negara di Universiti Johns Hopkins itu," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Tahun Ke-2 Ujian Saringan Pertama PERMATAPintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 1 di Kolej Tunku Kurshiah di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom serta Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Shahabudin.

Menurut beliau, di AS nanti pelajar ini diberi pendedahan meluas mengenai mata pelajaran yang didedahkan seperti kriptologi, pengenalan kepada robotik, reka cipta, penaakulan mantik, menjadi saintis selain penulisan kreatif.

"Mereka akan memperoleh pengalaman secara terus serta bergaul dengan kanak-kanak pintar dari negara lain.

"Di samping itu, mereka dapat bertukar pandangan serta idea dan memahami kebudayaan, agama dan cara hidup antara satu negara dengan negara yang lain," katanya.

Rosmah menjelaskan, apa yang lebih penting, lima duta PERMATApintar yang dihantar ke universiti itu akan menerangkan juga kepada kanak-kanak luar negara mengenai Malaysia.

"Inilah salah satu cara kita meletakkan Malaysia di peta dunia melalui projek PERMATApintar dan kita tidak mahu ketinggalan dalam menyatakan kepada dunia bahawa Malaysia juga mempunyai ramai kanak-kanak pintar," jelas beliau.

Rosmah berkata, menjadi harapan negara pada masa hadapan, lima duta PERMATApintar ini akan menjadi penceramah sekembali mereka daripada menjalani program di universiti tersebut.

"Ini akan dapat meningkatkan semangat kanak-kanak pintar Malaysia untuk mencontohi mereka," kata beliau.
Sehubungan itu juga, katanya, dalam program Perkhemahan Cuti Sekolah 2010 pada bulan Disember ini, sekretariat PERMATApintar Negara akan menjemput 10 kanak-kanak dari luar negara untuk turut serta dalam program ini.

"Ia sebagai galakan kepada kanak-kanak Malaysia berkongsi pengalaman dengan mereka," tambah beliau.
Terdahulu dalam ucapannya, Rosmah memberitahu, projek PERMATApintar sedang menyediakan program pembelajaran yang lebih formal melalui sebuah sekolah yang akan dikenali sebagai Akademi PERMATApintar Negara.

Katanya, akademi berasrama penuh itu sedang dibina dan dijangka siap akhir tahun ini.
Jelas Rosmah lagi, pada Januari 2011, seramai 150 pelajar berbilang kaum di tingkatan 4 akan diambil melalui pemilihan secara ujian.

"Mereka akan mengikuti pembelajaran arus perdana dan diberi peluang mengambil peperiksaan antarabangsa seperti SAT, Advance Placement atau O dan A Level.

"Ini akan memberikan mereka satu jaringan keselamatan yang lebih luas untuk meneruskan pengajian mereka di universiti terkemuka dunia," jelas Rosmah.

Wednesday, March 3, 2010

PERMATA Jeli Mulakan Operasi

BANDAR JELI, 3 MAC 2010 – Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) parlimen Jeli, semalam mula beroperasi dan Jeli adalah antara 457 pusat jagaan di seluruh negara yang diperkenalkan serta dibangunkan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi 1(PRE).

Ketua Penyelarasnya, Norazniza mohd Nawi berkata, sejumlah 40 kanak-kanak di bawah lima tahun hari ini memasuki pusat jagaan ini.

Menurutnya, pusat jagaan yang memulakan operasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang ini merupakan peluang kepada penduduk luar bandar dan berpendapatan rendah memupuk dan membina minda kreatif, bijak serta berkeyakinan diri di kalangan anak-anak Jeli.

“Insyaallah,  wujudnya Permata Negara idea isteri Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansor di parlimen ini maka pembinaan generasi kepimpinan negara akan lebih bermutu dan berkualiti,”katanya.

Sementara itu, seorang bapa, Anuzi Mat Nordin berkata, dia cukup bangga dan berterima kasih kepada kerajaan atas usaha isteri Ahli Parlimen Jeli, Datin Sri Khamazran Ahmed Meah mewujdukan Pusat Anak PERMATA ini.

Katanya, bangunan dianggarkan berjumlah RM700,000 ini diharapkan akan memberikan nilai tambah terbaik membentuk generasi Jeli cemerlang.

“Suasana persekitaran pusat jagaan ini juga diharapkan akan membantu menjana minda anak-anak Jeli sejajar dengan kewujudan zon ilmu di parlimen Jeli hasil idea Ahli Parlimen Jeli, Dato’ Sri Mustapa Mohamed,”katanya.

Tuesday, February 9, 2010

Keluarga luar bandar dibantu



Noraini Ahmad (kiri) bermesra dengan kanak-kanak sewaktu melawat Pusat Anak Permata Negara di Parit Guntong, Semerah, Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.



BATU PAHAT 20 Jan. – Bagi ibu bapa berpendapatan rendah di kawasan Parlimen Parit Sulong tentunya penjagaan anak yang masih kecil menjadi masalah utama ketika mahu keluar bekerja.

Bagaimanapun, dengan adanya Pusat Anak Permata Negara (PAPN) yang dibuka sejak tiga bulan lalu di Kampung Parit Guntong, Semerah dekat sini mampu meleraikan masalah itu.

Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad berkata, dengan adanya PAPN di kawasan tersebut, ia secara tidak langsung memberi peluang kepada kanak-kanak mendapat pendidikan awal yang lebih baik.

Beliau berkata, program Permata Negara memberi fokus kepada pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak berusia antara satu hingga lima tahun yang menetap di pinggir atau luar bandar.
Pusat berkenaan menerima kanak-kanak tanpa mengira kaum terutamanya daripada keluarga berpendapatan rendah.

Noraini memberitahu, dalam masa tiga bulan PAPN dibuka, sambutan amat menggalakkan, malah bukan sahaja ibu bapa dari kawasan Parlimen Parit Sulong yang menghantar anak-anak mereka ke situ, tetapi juga dari kawasan sekitar kerana ia terletak di tengah-tengah perjalanan antara Batu Pahat dan Muar.

“Ternyata kanak-kanak di sini begitu aktif dan sudah pandai berdikari serta mudah menerima apa yang diperkatakan oleh pengajar mereka,” katanya yang melawat PAPN tersebut baru-baru ini.

Katanya, hanya dengan membayar RM10 kepada tabung Persatuan Ibu Bapa dan Pendidik (PIBP), anak-anak yang terpilih memasuki PAPN akan mendapat pendidikan awal yang terbaik sebelum mereka memasuki alam pra sekolah.

Justeru, kerjasama daripada semua pihak diperlukan agar matlamat serta objektif penubuhan PAPN dapat dicapai agar negara akan mempunyai kanak-kanak yang celik minda dan kreatif serta berdikari pada masa akan datang, katanya.