Wednesday, January 18, 2006

Kaji pendidikan kanak-kanak bawah enam tahun

TANJUNG MALIM 17 Jan. - Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, penyelidikan khusus bagi meningkatkan kualiti pendidikan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah perlu dijalankan supaya dasar pendidikan awal golongan itu dapat dibentuk.

Beliau berkata, penyelidikan harus merangkumi beberapa aspek seperti pembentukan sahsiah untuk melahirkan warga yang bersifat penyayang, taat kepada negara serta beradab.

Katanya, perkembangan bahasa dan komunikasi kanak-kanak juga penting agar mereka menghormati satu sama lain, memiliki sifat yakin diri dan berani bersaing apabila dewasa.

``Kita perlu memikul tanggungjawab memastikan generasi akan datang dapat dibimbing, dididik dan diasuh menjadi rakyat yang berhemah tinggi dan mulia,'' katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.

Hadir sama isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Kamariah Mokhri; Presiden Persatuan Penjagaan dan Penyaraan Kanak-Kanak Malaysia, Raja Datuk Seri Eleena Sultan Azlan Shah; Pro Canselor UPSI, Tan Sri Dr. Yahaya Ibrahim dan Naib Canselor UPSI, Datuk Dr. Muhammad Rais Abdul Karim.

Rosmah yang juga Penaung Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia mengetuai rombongan 22 ahli Kumpulan Penasihat Permata Negara mengunjungi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Kanak-Kanak UPSI bagi melihat program pendidikan awal kanak-kanak di situ.

Menurutnya lagi, UPSI telah menubuhkan satu pasukan pemikir terdiri daripada pakar-pakar pendidikan diketuai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Prof. Dr. Aminah Ayob bagi menasihati kerajaan dalam hal-hal berkaitan penjagaan dan pendidikan kanak-kanak.

``Pasukan pemikir ini diberi tempoh selama tiga bulan oleh Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia untuk menyiapkan kertas kerja berhubung perkara ini sebelum ia diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tindakan lanjut,'' katanya.

Jelas beliau lagi, UPSI bakal dijadikan pusat rujukan olah pelbagai pihak termasuk ibu bapa yang berminat untuk mendapatkan maklumat berhubung isu pendidikan kanak-kanak.

Beliau turut mengajak sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan universiti berganding bahu menerokai penyelidikan untuk meningkatkan taraf pendidikan dan penjagaan kanak-kanak.

Rosmah menambah, kanak-kanak di luar bandar mempunyai potensi perkembangan sama seperti kanak-kanak di bandar dan mereka juga perlu dibantu untuk program intervensi yang lebih tersusun dan bermakna.

Terdahulu ketika berucap pada majlis tersebut Rosmah berkata, 59 peratus daripada 89 peratus ibu-ibu yang bekerja di negara ini meninggalkan anak mereka di pusat asuhan kanak-kanak atau jiran-jiran, 30 peratus menggaji pembantu rumah sementara 11 peratus lagi menjaga sendiri anak mereka.

``Dianggarkan 1.3 juta kanak-kanak yang berusia enam tahun ke bawah yang dihantar ke pusat asuhan di seluruh negara tanpa sebarang pengawalan dari segi kualiti pendidikan dan pengasuhan yang bersesuaian,'' katanya.

Sementara itu, Dr. Muhammad Rais berkata, pada masa ini terdapat 591 penuntut sedang mengikuti program sarjana muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak di UPSI dan bilangan itu akan ditambah dari semasa ke semasa.