Sunday, October 25, 2009

Rosmah Gembira Dengan Peruntukan Bajet 2010 Untuk Program Permata

Oleh Muin Abdul Majid

DUBAI, 25 Okt (Bernama) -- Datin Seri Rosmah Mansor menyifatkan peruntukan RM100 juta untuk program Permata dalam Bajet 2010 merupakan satu pengiktirafan terhadap kepentingan pendidikan dan penjagaan kanak-kanak di peringkat awal di Malaysia.

Isteri perdana menteri berkata ini akan membolehkan projek-projek yang sudah dirancang di bawah inisiatif Permata dapat dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai rakan kongsi termasuk kementerian dan institusi pengajian tinggi.

"Saya gembira dengan perkembangan ini kerana ini bermakna lebih ramai kanak-kanak, termasuk di kawasan luar bandar, akan dapat belajar di taman didikan kanak-kanak yang baik menggunakan sukatan pelajaran terkini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri dan Deepavali dengan rakyat Malaysia yang tinggal di Emeriyah Arab Bersatu (UAE) di sini pada Ahad.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM100 juta itu semasa membentangkan Bajet 2010 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Program Permata termasuk usaha untuk menubuhkan pusat-pusat Permata Negara bagi kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

Program itu setakat ini telah diperkenalkan di 457 pusat jagaan kanak-kanak dan berjaya mendidik 17,565 kanak-kanak.

Pelajar yang memiliki kepintaran luar biasa dijangka mencapai kecemerlangan menerusi program Permata Pintar yang akan dilaksanakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama University of Johns Hopkins, Amerika Syarikat.

Mengulas lanjut, Rosmah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Dasar Permata Negara, berkata Malaysia memerlukan program khusus untuk membimbing kanak-kanak yang mempunyai kepintaran luar biasa supaya ibu bapa mereka tidak perlu menghantar mereka ke negara lain untuk pendidikan.

"Jika kita tidak mengusahakan sesuatu pada masa sekarang, kanak-kanak pintar ini mungkin akan bekerja di luar negara apabila mereka dewasa kelak," katanya dan menurutnya keadaan itu akan merugikan Malaysia.

Perkhemahan musim panas pertama bagi kanak-kanak berkenaan akan diadakan pada Disember, kata Rosmah yang melahirkan harapan yang aktiviti itu akan dijadikan aktiviti tahunan yang bukan sahaja disertai oleh kanak-kanak Malaysia tetapi juga dari rantau Asean dan rantau lain.

Katanya, jika dibiarkan tanpa bimbingan sesuai, kanak-kanak berbakat berkenaan mungkin disalah tafsir sebagai nakal dan bermasalah.

"Sebab itu kenapa kita memerlukan program khas untuk membimbing mereka supaya bakat mereka tidak disia-siakan," katanya.

Satu lagi inisiatif Permata ialah Permata Seni yang berobjektif melatih pelajar pintar dan berbakat dalam seni persembahan. Ini akan dilaksanakan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Skim Permata Insan pula mensasarkan untuk mendidik pelajar untuk mempelajari, memahami dan mendalami Al-Quran. Program itu bagi pelajar berumur sembilan hingga 12 tahun akan ditabdir oleh Universiti Sains Islam Malaysia.

Rosmah berada di Dubai untuk menghadiri Forum Kepimpinan Wanita yang akan dirasmikan pada Ahad.

-- BERNAMA

Usaha wujud tenaga kerja terlatih diteruskan

KERAJAAN akan terus melaksanakan program bagi mewujudkan tenaga kerja terlatih dan berdaya saing.

Untuk itu, kerajaan menyediakan sejumlah RM50 juta bagi menggalakkan rakyat Malaysia melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah lanjutan di universiti tempatan.

Sehingga pertengahan 2009, sebanyak 7,187 pelajar ijazah sarjana dan 452 pelajar kedoktoran falsafah (PhD) mendapat manfaat daripada program tersebut.

Bilangan graduan menganggur yang tinggi turut diberi perhatian dengan memperkenalkan Graduate Employability Management Scheme (GEMS) dengan usaha sama syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC).

Di bawah skim itu, graduan akan menjalani latihan kemahiran selama dua bulan setengah, diikuti latihan di tempat kerja selama enam bulam.

GEMS dijangka melatih seramai 12,000 graduan dalam tempoh dua tahun dan sehingga pertengahan September 2009, sebanyak RM48.4 juta telah dibelanjakan, yang mana seramai 3,367 graduan dilatih dan 1,119 graduan ditempatkan di 273 syarikat dan agensi.

Kerajaan juga memperkenalkan Program Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Permata) pada 2006 dengan memberi tumpuan kepada pembangunan holistik kanak-kanak serta penglibatan ibu bapa dan masyarakat.

Program yang melaksanakan kurikulum Permata diberi peruntukan sebanyak RM150 juta bagi menaik taraf 478 pusat aktiviti meliputi 18,000 kanak-kanak dengan sokongan 1,200 guru

Saturday, October 24, 2009

RM100 juta untuk program Permata

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Ekoran kejayaan Permata dalam mendidik 17,565 kanak-kanak, kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta bagi memperkasakan lagi program yang memberi penekanan terhadap kaedah pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak secara bersepadu dan terancang itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib semasa membentangkan Bajet 2010 di Dewan Rakyat hari ini berkata peruntukan itu adalah bagi tujuan perlaksanaan programnya seperti berikut:

*Permata Negara melibatkan program asuhan dan didikan awal kanak-kanak sebelum mencapai umur 5 tahun. Satu garis panduan akan disediakan untuk menyelaras kurikulum, latihan dan kelayakan tenaga pendidik di semua taman asuhan kanak-kanak.

*Permata Seni melibatkan latihan pelajar yang pintar dan berbakat dalam bidang seni. Program ini akan dilaksanakan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

*Permata Pintar bertujuan membimbing pelajar yang mempunyai tahap kepintaran yang luar biasa untuk menjadi lebih cemerlang. Program ini akan dilaksanakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama University of Johns Hopkins, Amerika. Pengambilan kumpulan pertama akan dibuat pada 2011.

Permata Insan bertujuan melatih pelajar supaya memahami, mendalami dan mengaplikasi ilmu yang berteraskan al-Quran. Program ini dikendalikan oleh Universiti Sains Islam Malaysia bagi pelajar yang berumur 9 hingga 12 tahun.

Selain itu, Permata akan turut melaksanakan program Perkasa Remaja untuk melatih dan membimbing remaja berumur 18 hingga 25 tahun bagi mengelakkan mereka terlibat dalam gejala sosial. Program yang dikendalikan oleh UKM ini akan membolehkan belia dibentuk menjadi lebih bertanggungjawab serta berguna kepada masyarakat dan negara.

Program Permata diperkenalkan di 457 pusat latihan sehingga ini. – BERNAMA

Thursday, October 8, 2009

Rosmah tinjau Sekolah Pintar Leonard De Vinci

PARIS 7 Okt. - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor semalam meluangkan masa meninjau kelengkapan dan kepakaran yang disediakan di Sekolah Pintar Leonard De Vinci di Herblay dekat sini - 25 kilometer ke utara Paris.

Pada awal penubuhannya pada 2002 oleh Persekutuan Untuk Kanak-Kanak Pintar (AEP), ia bermatlamat menjalankan kajian dan penyelidikan mengenai perkembangan minda kanak-kanak serta menawarkan bantuan kepada keluarga yang memiliki anak pintar.

AEP pada masa sama turut menganjurkan persidangan antaranya melibatkan aktiviti kurikulum untuk pelajar terbabit.

Empat tahun kemudian, AEP mula membuka lapan kelas pada September 2006 sebelum menempatkan sebanyak 100 pelajar pintar di situ.

Pada 2007, sekolah pintar berkenaan mendapat pengiktirafan Kementerian Pendidikan Perancis setelah berjaya mengeluarkan 125 pelajar pintar dari peringkat pra sekolah (tadika) hingga menengah.

Tahun lalu, Sekolah Pintar Leonard De Vinci menjadi sebahagian daripada Projek Rangkaian Persekutuan Sekolah-Sekolah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Difahamkan, lawatan Rosmah ke sekolah berkenaan mempunyai kaitan dengan program Pusat Anak Permata Negara (Permata) yang bermatlamat meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak.

Ketika ini sebanyak 18,000 kanak-kanak di Malaysia mendapat manfaat daripada perluasan program Permata yang diketuai Rosmah selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dasar Permata - dengan penubuhan 478 pusat asuhan dan didikan awal itu sepanjang tahun ini. - UTUSAN