KUALA LUMPUR 21 Sept. – Kira-kira 30 isteri Perdana Menteri dari seluruh dunia dijangka menyertai Sidang Kemuncak Wanita-Wanita Pertama di Kuala Lumpur dari 11 hingga 13 Oktober ini.
Penaung program tersebut, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, setakat ini 22 wanita pertama dan dua wakil wanita pertama mengesahkan akan hadir ke persidangan itu.
“Antara yang mengesahkan kehadiran itu termasuk isteri Perdana Menteri Afghanistan, Dr. Zeenat Quraishi Karzai, Albania (Teuta Topi), Chile (Cecilia Morel Montes), Congo (Marie Olive Kabila), Iran (Azam Al-Sadat Farahi) dan Sri Lanka (Shiranthi Rajapaksa),” katanya pada sidang akhbar di kediamannya di Jalan Langgak Duta di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Rosmah berkata, sidang kemuncak anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu bertemakan ‘Anak Hari ini, Pemimpin Hari Esok’.
Beliau berkata, tema itu selaras tujuan persidangan tersebut iaitu bagi mengetengahkan agenda penting dalam memperkasa kanak-kanak sebagai bakal pemimpin pada masa depan.
Katanya, sidang kemuncak itu juga akan menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran global kepada setiap negara bagi melabur dalam pembangunan, kebajikan, pendidikan dan kesejahteraan kanak-kanak.
“Di sini letaknya keupayaan wanita pertama untuk menggerakkan masyarakat setempat dalam melaksanakan program yang membolehkan kanak-kanak mendapat faedah daripada perancangan kerajaan,” katanya.
Rosmah berkata, sidang kemuncak itu nanti akan membentuk satu deklarasi untuk menyeru semua negara supaya melabur dan menyediakan prasarana asas bagi pendidikan awal kanak-kanak.
Tambahnya, langkah itu akan berupaya melahirkan pemimpin masa depan yang berkebolehan bagi meneruskan hidup dalam mengharungi cabaran dunia yang serba kompetitif.
Rosmah berkata, beliau juga akan menyampaikan ucaptama pada hari pertama persidangan iaitu 11 Oktober sebelum upacara perasmian dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, selain menyertai forum, para peserta juga akan menghadiri majlis minum petang bersama Raja Permaisuri Agong pada 12 Oktober dan melawat projek Permata di Putrajaya pada 13 Oktober.