Wednesday, April 13, 2011

Minat belajar dipupuk pada usia awal kanak-kanak

PETALING JAYA 12 April - Mewujudkan asas kukuh untuk kanak-kanak belajar dan membina kemampuan meneruskan pembelajaran sepanjang hayat amat penting bagi menentukan mereka terus menjadi aset kepada negara.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, semua pihak perlu memulakannya dengan membina asas yang betul untuk menjadikan generasi akan datang mempunyai minat mendalam untuk belajar.

Menurut beliau, kewajipan membina asas pembelajaran sepanjang hayat tidak hanya dipikul oleh kerajaan malah dikongsi bersama pihak sekolah, keluarga, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.

Sehubungan itu, Rosmah memetik kata-kata Mahatma Gandhi, "Hidup seolah-olah kamu akan mati esok dan belajar seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya".

"Saya percaya itu adalah falsafah yang betul untuk membina negara yang bersifat intelektual, berbudaya dan bertamadun spiritual," katanya pada Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia 2011 Ke-15 anjuran Institut Kajian Strategi dan Kepimpinan (Asli) di sini hari ini.

Rosmah ketika menyampaikan ucaptama 'Memupuk Fikiran Kanak-kanak - Membina Asas Untuk Pembelajaran Sepanjang Hayat' berkata, asas penting untuk pembelajaran sepanjang hayat ialah berkemampuan untuk belajar, meninggalkan tabiat lama, belajar semula serta mempunyai motivasi bagi mendapatkan pengetahuan dan kemahiran baru.

Beliau berkata, ia hanya akan tercapai dengan kebolehan membaca, mengira, mempunyai kemahiran dalam teknologi maklumat, mencari maklumat, memberi alasan, menyelesaikan masalah, menguasai bahasa asing, bersemangat keusahawanan dan berminat untuk belajar.

Kesemua kemahiran ini ujarnya, mesti dipupuk pada usia awal kanak-kanak.

"Kanak-kanak perlu diberi peluang untuk berinteraksi dengan alam sekitar, dibenarkan mencari pengetahuan baru dan nilai-nilai berdasarkan pengalaman konkrit supaya mereka dapat membina kemahiran berfikir," ujarnya.

Pembelajaran sepanjang hayat kata Rosmah, amat diperlukan hari ini bagi membolehkan kita mengikuti perkembangan dan perubahan teknologi yang berlaku dengan pantas.

Beliau menambah, pembelajaran sepanjang hayat turut menjadi komponen penting dalam mengatasi dan menyelesaikan isu-isu utama global seperti masalah buta huruf, kesihatan, mengurangkan kemiskinan, masalah sosial, mengekalkan pembangunan dan memartabatkan kuasa wanita.