Saturday, February 10, 2007

Fasa kedua Permata di 10 negeri

PUTRAJAYA 9 Feb. – Fasa kedua projek jagaan dan pendidikan awal kanak-kanak, Permata, akan dimulakan di sepuluh lagi negeri mulai Ogos, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini berikutan hasrat kerajaan Kelantan, Negeri Sembilan, Terengganu, Johor, Melaka, Perlis, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak untuk memulakan projek perintis di peringkat negeri masing-masing.

‘‘Jawatankuasa Permata Negara telah ambil maklum hasrat semua kerajaan negeri itu.

‘‘Sebelum ini kita telah menubuhkan lima projek perintis di Subang Jaya, Putrajaya, Mempaga dan Kepala Batas yang akan bermula bulan depan sementara di Chini pula akan dimulakan April ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Permata Negara di sini hari ini.

Turut serta ialah penaung Permata, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga isteri Timbalan Perdana Menteri.

Menurut Najib, Jawatankuasa Permata Negara meluluskan dasar yang merupakan pernyataan Dasar Permata Negara mencakupi matlamat dan strategi pendidikan awal bagi kanak-kanak bawah umur enam tahun.

Ini bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk memupuk pembangunan modal insan berminda kelas pertama dengan nilai murni.

Beliau berkata, jawatankuasa itu juga menekankan betapa penting kerjasama ibu bapa dan untuk tujuan ini mereka diminta menandatangani akujanji bagi memperlihatkan kesungguhannya.

Akujanji itu katanya, adalah pra syarat kepada ibu bapa untuk dibenarkan menyertai projek perintis awal kanak-kanak dan kerajaan juga bersetuju supaya bayaran dikecualikan di dalam projek perintis ini sebagai galakan bagi mereka menyertai program ini.

‘‘Ini akan menghuraikan peranan ibu bapa secara spesifik dan tetap kerana sokongan ibu bapa lebih menyerlah memandangkan kanak-kanak bawah lima tahun amat memerlukan panduan dan tunjuk ajar,” katanya.

Mengenai Permata, beliau berkata, ia adalah untuk ibu bapa yang berpendapatan rendah dan dibuka untuk semua kaum dengan guru-guru yang dipilih akan mengikuti kursus di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Penilaian terhadap Permata, katanya, akan diadakan pada akhir tahun ini dan cadangan akan dikemukakan kepada kerajaan pada akhir tahun depan bagi memastikan sama ada konsep itu wajar diperluaskan atau sebaliknya.

Mengulas mengenai peruntukan kepada Permata, beliau menjelaskan kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk pembangunannya.

‘‘Setakat ini sebanyak RM2 juta telah dibelanjakan untuk peralatan dan pengubahsuaian lima pusat Permata,” katanya.

Sementara itu, Rosmah berkata, beliau gembira dengan kemajuan Permata setakat ini dan pasukan yang menjayakannya telah bekerja kuat untuk memastikan setiap langkah yang diambil dalam Permata akan diselia dan dipantau.

‘‘Kita akan bekerja dengan kuat dan menjelang hujung tahun ini kita akan lihat kemajuannya,” kata beliau.

29. Pusat Anak Permata Negara diperluas seluruh Malaysia – Najib

Pusat Anak Permata Negara diperluas seluruh Malaysia – Najib. KUALA LUMPUR 18 Mac – Pusat pengasuhan dan pendidikan awal kanak- kanak (ECEC) yang turut dikenali sebagai Pusat Anak Permata Negara akan diperluaskan ke seluruh negara menjelang akhir tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

19/03/2007 - size 2519 bytes Pusat Anak Permata Negara diperluas seluruh Malaysia – Najib

KUALA LUMPUR 18 Mac – Pusat pengasuhan dan pendidikan awal kanak- kanak (ECEC) yang turut dikenali sebagai Pusat Anak Permata Negara akan diperluaskan ke seluruh negara menjelang akhir tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, selain menjayakan dasar ECEC, keputusan itu dibuat bagi memenuhi harapan pucuk pimpinan di negeri-negeri yang sangat berminat dengan konsep pelaksanaan pusat asuhan berkenaan yang menekankan soal pendidikan awal kanak-kanak sejak bayi sehingga mereka berusia enam tahun.

‘‘Apabila kita memberi taklimat mengenai projek ini kepada Menteri-Menteri Besar, mereka meminta supaya projek ini turut dilaksanakan di negeri masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Setiap Anak Permata Negara di Studio 1, Angkasapuri di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin.

Najib berkata, projek perintis program berkenaan telah bermula awal bulan ini di empat lokasi terpilih iaitu Subang Jaya, Kepala Batas, Putrajaya dan Felda Mempaga di Pahang.

Katanya, Pusat Anak Permata Negara terbuka kepada semua kaum dengan tumpuan kepada golongan yang berpendapatan rendah terutama di kawasan luar bandar.

Beliau berharap ibu bapa akan menyertai dan turut memberi sumbangan kepada kecemerlangan pusat itu yang menyediakan pendidikan secara percuma.

Terdahulu ketika ditemu bual dalam rancangan terbitan RTM itu, Najib berkata, pelaksanaan projek itu penting sebagai asas dalam pembangunan modal insan dan menjadi teras untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai minda kelas pertama seperti mana yang ditekankan negara.

Antara tujuan utama projek itu ialah pengukuhan dalaman rakyat melalui pendidikan awal dan melahirkan potensi insan yang dapat direalisasikan secara optimum melalui perkembangan bakat, minda dan kreativiti di peringkat awal.

Najib berkata, Pusat Anak Permata Negara tidak menekankan kepada pendidikan formal sebaliknya berteraskan pembelajaran yang memberi keseronokan kepada kanak-kanak.