Thursday, April 5, 2007

Pakar UK puas hati operasi PAPN

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

SUBANG JAYA 4 April – Dua pakar pendidikan dari United Kingdom (UK) berpuas hati dengan perkhidmatan pengasuhan dan didikan awal kanak-kanak yang dijalankan di Pusat Anak Permata Negara (PAPN) walaupun masih di tahap perintis.

Pakar asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak dari Pen Green Centre for Children, Corby, Dr. Margy Whalley berkata, beliau dan rakannya, Heather Donoyou mendapati PAPN di negara ini bakal berjaya mencapai matlamat terutamanya merangsang minda kanak-kanak menjadi lebih positif dan berkembang baik.

“Saya kagum dengan pelbagai persediaan rapi dan peralatan yang disediakan serta tenaga pengajar walaupun kurang berpengalaman tetapi mereka menunjukkan dedikasi yang hebat,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas lawatan Pengerusi Pelaksana Permata, Datin Seri Rosmah Mansor hampir dua jam ke Kompleks PAPN yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini, hari ini.

Kompleks yang menelan belanja hampir RM400,000 dan beroperasi sejak 1 Mac lalu dengan 30 kanak-kanak sedang mengikuti program Permata di situ.

Di pusat itu, mereka mengguna pakai kaedah pembelajaran berasaskan modul Pen Green dari UK itu.

Margy berkata, beliau tertarik dengan perkembangan awal PAPN apabila melihat penglibatan ramai ibu bapa sepanjang anak-anak mereka berada di pusat itu.

“Ini yang membezakan PAPN dengan mana-mana pusat jagaan atau institusi pendidikan awal kanak-kanak, iaitu penyertaan ibu bapa untuk berada bersama-sama dengan anak mereka.

“Di pusat PAPN di Putrajaya saya lihat ramai kaum bapa turut hadir dan ini merupakan perkembangan yang sangat positif,” katanya.

Sementara itu Rosmah berkata, sehingga akhir tahun ini, 10 PAPN akan dibuka terutama bagi setiap negeri selain yang sedia ada iaitu di Subang Jaya, Putrajaya, Felda Mempaga, Pahang dan Kepala Batas di Pulau Pinang.

“PAPN benar-benar akan memberi peluang kepada ibu bapa yang kurang berkemampuan memastikan anak-anak mereka menikmati suasana pembelajaran yang kondusif, bersepadu dan komprehensif tanpa berbelanja lebih,” katanya.

Menurutnya, kanak-kanak yang dibesarkan secara gembira, riang dan dirangsang pertumbuhan minda dan fizikal secara sihat merupakan satu kelahiran modal-modal insan dan aset kepada negara.

“Sebagaimana yang ditegaskan sebelum ini, PAPN tidak menekankan kepada pendidikan formal sebaliknya berteraskan pembelajaran yang memberi keseronokan kepada kanak-kanak,” katanya.