Tuesday, February 12, 2008

Kajian awal keberkesanan Permata Negara selesai

MELAKA 11 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hasil kajian keberkesanan pelaksanaan Permata Negara iaitu program pendidikan awal kanak-kanak dijangka diketahui pertengahan tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kajian peringkat awal telah selesai dan kini kajian lanjutan sedang dilakukan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

''Hasil kajian ini akan dijadikan input untuk membentuk dasar yang akan menentukan hala tuju pendidikan awal kanak-kanak peringkat kebangsaan.

''Apabila dasar sudah ditentukan kelak, program Permata Negara boleh dijadikan roll-out peringkat nasional," katanya kepada para pemberita selepas merasmikan Pusat Anak Permata Negara negeri Melaka di Bukit Peringgit di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tempoh tersebut adalah paling sesuai memandangkan kajian semula Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) turut dilakukan pada pertengahan tahun ini.

Bagaimanapun, sebelum ia dijadikan dasar, katanya, beberapa isu akan diperbincangkan terlebih dahulu seperti aspek pembiayaan, keperluan kewangan, peranan ibu bapa dan kurikulum.

Katanya, ia penting bagi memastikan pelaksanaannya berjalan dengan lancar.

Najib berkata, hasil kajian awal secara keseluruhannya amat menggalakkan baik dari segi perkembangan anak-anak Permata mahupun maklum balas ibu bapa.

''Kajian mendapati anak-anak Permata berkembang lebih positif daripada aspek perilaku dan personaliti berbanding anak-anak yang mengikuti tadika lain," kata beliau.

Sementara itu, Rosmah dalam ucapannya berkata, kini terdapat 15 pusat Anak Permata Negara diwujudkan di seluruh negara termasuk di Bukit Peringgit di sini.

Katanya, daripada jumlah itu, 10 buah telah beroperasi melibatkan seramai 266 kanak-kanak berusia satu hingga lima tahun.

Manakala tiga lagi akan dibuka iaitu di Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah pada awal Mac ini sementara dua lagi masing-masing di Kedah dan Perak akan beroperasi Mei ini.