Tuesday, February 19, 2008

Permata bangunkan modal insan

IPOH 18 Feb. - Pusat Anak Permata Negara (Permata) yang menekankan kaedah pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak secara terancang serta bersepadu, bakal menjadi penyumbang utama kepada pembangunan modal insan negara.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, kanak-kanak di bawah usia lima tahun yang memasuki Permata, merupakan satu pelaburan penting bagi meningkatkan tahap pembangunan negara dalam tempoh dua dekad dari sekarang.

''Memandangkan program Permata mengambil masa untuk mendapatkan kesannya, maka sokongan padu daripada pelbagai agensi amat diperlukan untuk memastikan kejayaannya," katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah Permata Bercham di sini hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Kamariah Mokri dan Penyelaras Permata Perak, Senator Heng Seai Kie.

Rosmah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dasar Permata berkata, sehingga kini, sebanyak 13 Permata telah beroperasi di 12 negeri dan Wilayah Persekutuan dengan bilangan kanak-kanak seramai 326 orang.

Jelas beliau, selain Permata di Chini, Pahang, kesemua pusat lain menggunakan bangunan sedia ada yang telah diubah suai.

''Perak bagaimanapun cukup bertuah apabila Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali bersetuju untuk membina sebuah bangunan baru di kawasan Bercham," katanya.

Rosmah berkata, Permata pertama dibina di Perak ini, menelan kos sebanyak RM500,000 iaitu hasil sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM300,000 disumbang manakala RM200,000 lagi oleh kerajaan pusat.

Katanya, Permata Bercham yang kini sudah 20 peratus siap pembinaannya dijangka boleh mula beroperasi selewat-lewatnya Mei tahun ini.

Perak juga merupakan satu-satunya negeri yang bakal mempunyai dua Permata apabila sebuah lagi pusat asuhan serupa dirancang dibina di Felda Trolak, Sungkai dekat sini.

Rosmah memberitahu, Bercham dipilih sebagai lokasi Permata kerana walaupun majoriti penduduknya terdiri dari kaum Cina yang berpendapatan rendah dan sederhana tetapi ia juga mempunyai sebuah perkampungan Melayu.

''Saya berharap dengan penyertaan anak-anak dari pelbagai keturunan, proses integrasi antara kaum akan berlaku di peringkat umur yang lebih awal dan ia memberi kesan positif kepada kanak-kanak ini apabila dewasa kelak," katanya.