Friday, April 25, 2008

Kerajaan cadang gubal dasar pendidikan awal yang komprehensif

PUTRAJAYA 25 April — Kerajaan bercadang mengubal satu dasar pengasuhan dan pendidikan awal yang komprehensif untuk kanak-kanak di bawah umur lima tahun, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hari ini.

Beliau berkata satu kertas kerja akan dikemukakan kepada Kabinet tidak lama lagi bagi membolehkan perkara itu dijadikan dasar kerajaan.

Kurikulum untuk dasar itu akan digubal oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Kebangsaan Malaysia”, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis penyelarasan Program Permata Negara (Permata) di pejabatnya di sini.

Beliau berkata dasar pengasuhan dan pendidikan awal itu akan mirip kepada program Permata yang telah dilaksanakan.

“Ini adalah kerana setelah kita melaksanakan projek perintis di seluruh negara didapati Permata memberi kesan yang amat memberangsangkan di samping mendapat sambutan hangat daripada masyarakat dan ibu bapa,” kata Najib.

Mesyuarat hari ini diadakan bagi membincangkan cadangan pelaksanaan program Permata secara meluas di seluruh negara. Ia dihadiri wakil agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak.

Setakat ini 13 Pusat Permata Negara dilaksanakan secara projek perintis di seluruh negara membabitkan 331 orang anak diasuh menggunakan kaedah dan kurikulam Permata, yang menekankan perkembangan anak-anak yang berkeyakinan diri, berfikiran kreatif, bijaksana, berakhlak mulia dan mempunyai minda cerdas yang seterusnya membantu dalam pembinaan modal insan berminda kelas pertama.

“Berdasarkan hakikat bahawa pendidikan awal kanak-kanak merupakan akar tunjang kepada usaha kita membentuk modal insan yang berkualiti dan usaha untuk mencegah masalah sosial berlaku maka tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak merupakan strategi negara yang boleh memberi impak besar bukan sahaja dalam jangka pendek tapi panjang,” kata Najib.

Oleh itu, katanya Program Permata Negara akan diperluaskan setelah mendapat kelulusan kerajaan.

Mesyuarat itu juga telah mendapat persetujuan daripada Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan supaya program itu diselaraskan.

“Dalam erti kata lain, mereka akan menggunakan kurikulam Permata di taska mereka dan dalam masa yang sama kelulusan guru-guru mereka akan ditingkatkan sehingga diploma dan ijazah pertama.

“Di samping itu mereka juga akan menggunakan kurikulam Permata dan bangunan yang akan digunakan juga akan mengikut ketetapan garis panduan Program Permata Negara,” kata Najib.

Timbalan Perdana Menteri berkata dengan sokongan padu kesemua kementerian tersebut, program Permata boleh dikembangkan ke seluruh negara.

“Dasar itu juga akan mengambil kira keperluan kewangan, latihan, kurikulam dan sebagainya. Perlu saya tegaskan di sini bahawa program ini akan bersifat pelbagai kaum dan kita akan beri tumpuan kepada semua kawasan,” katanya.

Beliau berkata setelah dasar itu digubal, kesemua pihak yang menjalankan kegiatan pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak di bawah umur lima tahun akan perlu menguna pakai dasar itu.

— BERNAMA