Saturday, October 24, 2009

RM100 juta untuk program Permata

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Ekoran kejayaan Permata dalam mendidik 17,565 kanak-kanak, kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta bagi memperkasakan lagi program yang memberi penekanan terhadap kaedah pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak secara bersepadu dan terancang itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib semasa membentangkan Bajet 2010 di Dewan Rakyat hari ini berkata peruntukan itu adalah bagi tujuan perlaksanaan programnya seperti berikut:

*Permata Negara melibatkan program asuhan dan didikan awal kanak-kanak sebelum mencapai umur 5 tahun. Satu garis panduan akan disediakan untuk menyelaras kurikulum, latihan dan kelayakan tenaga pendidik di semua taman asuhan kanak-kanak.

*Permata Seni melibatkan latihan pelajar yang pintar dan berbakat dalam bidang seni. Program ini akan dilaksanakan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

*Permata Pintar bertujuan membimbing pelajar yang mempunyai tahap kepintaran yang luar biasa untuk menjadi lebih cemerlang. Program ini akan dilaksanakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama University of Johns Hopkins, Amerika. Pengambilan kumpulan pertama akan dibuat pada 2011.

Permata Insan bertujuan melatih pelajar supaya memahami, mendalami dan mengaplikasi ilmu yang berteraskan al-Quran. Program ini dikendalikan oleh Universiti Sains Islam Malaysia bagi pelajar yang berumur 9 hingga 12 tahun.

Selain itu, Permata akan turut melaksanakan program Perkasa Remaja untuk melatih dan membimbing remaja berumur 18 hingga 25 tahun bagi mengelakkan mereka terlibat dalam gejala sosial. Program yang dikendalikan oleh UKM ini akan membolehkan belia dibentuk menjadi lebih bertanggungjawab serta berguna kepada masyarakat dan negara.

Program Permata diperkenalkan di 457 pusat latihan sehingga ini. – BERNAMA