Sunday, October 25, 2009

Usaha wujud tenaga kerja terlatih diteruskan

KERAJAAN akan terus melaksanakan program bagi mewujudkan tenaga kerja terlatih dan berdaya saing.

Untuk itu, kerajaan menyediakan sejumlah RM50 juta bagi menggalakkan rakyat Malaysia melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah lanjutan di universiti tempatan.

Sehingga pertengahan 2009, sebanyak 7,187 pelajar ijazah sarjana dan 452 pelajar kedoktoran falsafah (PhD) mendapat manfaat daripada program tersebut.

Bilangan graduan menganggur yang tinggi turut diberi perhatian dengan memperkenalkan Graduate Employability Management Scheme (GEMS) dengan usaha sama syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC).

Di bawah skim itu, graduan akan menjalani latihan kemahiran selama dua bulan setengah, diikuti latihan di tempat kerja selama enam bulam.

GEMS dijangka melatih seramai 12,000 graduan dalam tempoh dua tahun dan sehingga pertengahan September 2009, sebanyak RM48.4 juta telah dibelanjakan, yang mana seramai 3,367 graduan dilatih dan 1,119 graduan ditempatkan di 273 syarikat dan agensi.

Kerajaan juga memperkenalkan Program Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Permata) pada 2006 dengan memberi tumpuan kepada pembangunan holistik kanak-kanak serta penglibatan ibu bapa dan masyarakat.

Program yang melaksanakan kurikulum Permata diberi peruntukan sebanyak RM150 juta bagi menaik taraf 478 pusat aktiviti meliputi 18,000 kanak-kanak dengan sokongan 1,200 guru