Friday, May 5, 2006

Permata perkenal pendidikan awal kanak-kanak 5 tahun

Oleh: ROZAMAN ISMAIL

PUTRAJAYA 4 Mei - Sekumpulan wanita yang bergabung di bawah Permata dan diketuai oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan memperkenalkan konsep pendidikan awal bagi kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah yang memberi penekanan bahawa `setiap anak adalah permata negara'.

Menurut Rosmah, menerusi konsep pendidikan sedemikian, satu pendekatan bersepadu yang melibatkan pelbagai pihak seperti masyarakat setempat, pihak berkuasa tempatan, ahli politik serta ketua kampung dapat dimanfaatkan bagi menjadikan kanak-kanak setempat lebih berjaya.

Beliau berkata, konsep yang antara lain menekankan keseronokan sewaktu belajar dan belajar tanpa tekanan akan dimulakan di lapan buah kawasan sebagai projek perintis tidak lama lagi.

Katanya, antara kawasan yang dikenal pasti itu ialah Kepala Batas, Shah Alam, Pangkalan Pasir, Mempaga, Chini, Putrajaya dan dua lagi di kampung baru dan estet yang akan ditentukan kemudian.

``Projek perintis ini akan dijalankan dengan kerjasama kementerian-kementerian lain seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pelajaran serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah,'' katanya pada majlis ramah mesra bersama media dan pertubuhan bukan kerajaan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Akreditasi Nasional (LAN), Prof. Datuk Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan.

Menurut Rosmah, projek perintis itu akan dijalankan di taman didikan kanak-kanak atau taman asuhan kanak-kanak Islam yang dipilih dengan memberi nilai tambah kepada program sedia ada seperti kaunseling remaja, latihan serta pendidikan untuk golongan dewasa di satu-satu kawasan.

Dengan cara ini kata beliau, program sedemikian bukan sahaja dapat memberi faedah kepada kanak-kanak tetapi juga masyarakat di kawasan yang terlibat.

Menurut Rosmah, idea untuk mewujudkan konsep pendidikan awal sedemikian dihasilkan oleh sekumpulan 25 orang wanita yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang tertentu seperti pakar kanak-kanak, ahli akademik serta aktivis sosial.

``Ia dibuat setelah melihat perkemba-ngan masalah sosial yang membimbangkan seperti keciciran, sumbang mahram, rogol, kecurian, pembunuhan dan salah akidah,'' katanya.

Menurut beliau, dalam era globalisasi ini setiap kanak-kanak merupakan sumber tenaga dan modal insan masa depan yang harus digemblengkan ke tahap optimum menerusi perlindungan dari peringkat awal hingga dewasa.

``Atas kesedaran inilah Permata terpanggil untuk membuat sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat dan kebaikan demi masa depan generasi akan datang,'' katanya lagi.

Menurut Rosmah, Pusat Perkembangan Penyelidikan Awal Kanak-Kanak di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan bertindak sebagai pusat yang akan menjalankan kajian, mengumpul maklumat, menyediakan input serta menilai keberkesanan projek perintis bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan awal kanak-kanak yang dijalankan itu di negara ini.