Monday, May 29, 2006

Kanak-kanak berhak dapat pendidikan awal berkualiti

Oleh NORLIZAH ABAS

SUBANG JAYA 28 Mei - Kanak-kanak berumur bawah enam tahun berhak menerima pendidikan awal yang sempurna bagi memastikan mereka membangun sebagai insan berguna.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, pendidikan awal berkualiti mampu mencorakkan masa depan kanak-kanak melalui pemikiran bernas, kematangan dan nilai-nilai keagamaan yang murni.

Menurutnya, kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah merupakan peringkat umur paling mudah menerima tunjuk ajar dan mengadaptasi perubahan persekitaran.

Sehubungan itu, Rosmah menasihatkan ibu bapa dan guru-guru prasekolah meningkatkan keupayaan masing-masing dengan menyertai kursus dan program pendidikan.

``Pendidikan awal kanak-kanak tidak sepatutnya menyebabkan mereka tertekan, sebaliknya proses pembelajaran perlu disertai dengan keriangan,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau menutup Persidangan Antarabangsa Pendidikan Awal Kanak-Kanak 2006 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Persidangan julung kali diadakan itu anjuran bersama Kolej Sri dan Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd. yang turut dihadiri peserta luar negara seperti Australia, New Zealand, India dan Filipina.

Sementara itu, dalam ucapannya, Rosmah berkata, kepentingan pendidikan awal kanak-kanak turut diiktiraf Bank Dunia menyebabkan ia disifatkan sebagai fasa paling kritikal dalam perkembangan manusia.

Menurut beliau, kesedaran itu menyebabkan bank berkenaan membiayai pelbagai projek pembangunan kanak-kanak di Kenya, India dan Filipina.

Sehubungan itu beliau berharap, persidangan seperti itu menjadi medan perbincangan berguna kepada pakar kanak-kanak dalam merangka strategi dan program lebih bermakna.