Tuesday, June 22, 2010

Program Permata diambil alih 2012

 

Rosmah Mansor sewaktu mengadakan sidang akhbarnya di Taman Duta, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 22 Jun - Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan hanya mengambil alih Program Permata Negara pada 2012.

Penaung program itu, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, pengambilalihan itu hanya akan dibuat selepas dua akta berkaitan dipinda di Dewan Rakyat.
"Dua akta tersebut adalah Akta Pelajaran 1996 dan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984," katanya pada sidang akhbar di kediamannya di Taman Duta di sini hari ini.

Rosmah berkata, mengikut perancangan awal pengambilalihan itu sepatutnya dilaksanakan Mac tahun depan tetapi pindaan kedua-dua akta itu memerlukan masa untuk diperhalusi.

Menurutnya, Kementerian Pelajaran akan mengambil alih program melibatkan pendidikan dan penjagaan kanak-kanak manakala Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengambil alih taman asuhan kanak-kanak (taska).

Jelasnya, pelaksanaan program Permata Negara oleh kedua-dua kementerian itu nanti akan diawasi oleh Majlis Pelaksanaan Program Permata Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah, katanya, Jawatankuasa Kerja Dasar Program Permata Negara yang dipengerusikan oleh beliau sendiri turut akan mengawasi program itu supaya ia berjalan dengan lancar.

Menurutnya, sehingga Jun ini 26 Pusat Anak Permata Negara (PAPN) di seluruh Malaysia telah dinaik taraf.
"Kita juga sedang mengenal pasti tapak yang sesuai untuk pembinaan PAPN di kawasan Parlimen Hulu Selangor seperti yang telah dijanjikan," katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 220 buah taska akan mendapat manfaat daripada penambahbaikan program itu di seluruh negara.

Tambahnya, kira-kira 1,200 tenaga pengajar akan menjalani Kursus Pendidik Permata Negara sehingga akhir tahun ini.