Saturday, May 29, 2010

Lima lagi taska Permata beroperasi Jun ini

KUALA TERENGGANU 28 Mei - Lima taman asuhan kanak-kanak (taska) Permata yang masih belum dibuka kerana beberapa masalah pembinaan di negeri ini dijangka bakal beroperasi selewat-lewatnya Jun ini.
Taska-taska tersebut terletak di Jertih, Langkap, Ladang, Kemasik dan Chukai di Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Permata Negara, Datuk Siti Azizah Sheikh Abod berkata, kesemua taska tersebut seharusnya beroperasi Januari lalu namun disebabkan masalah pertukaran lokasi, kelewatan pembinaan dan masalah cuaca menyebabkan operasinya terpaksa ditangguhkan.

Katanya, bagaimanapun setakat ini beliau berpuas hati dengan pembinaan 32 buah Taska Permata di negeri ini yang hampir 90 peratus telah siap diguna pakai.

"Hampir kesemua taska yang dibina di sini mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan termasuk pembelajaran, aktiviti dan latihan yang diberikan mengikut modul Permata," katanya kepada Utusan Malaysia selepas lawatan kerja di Taska Permata Durian Burung di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Mohd. Shafaruddin Mustaffa.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak yang banyak membantu dalam melaksanakan program Taska Permata di kesemua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Ujarnya, dengan wujudnya Taska Permata ia memberi kemudahan selain peluang kepada kanak-kanak untuk mendapatkan pembelajaran serta proses tumbesaran secara sihat dan baik.

"Taska Permata memenuhi kehendak ibu bapa dalam membentuk serta memberi pembelajaran secara efektif kepada anak-anak serta di dalam persekitaran yang selamat.

"Jadi ibu bapa kini tidak lagi perlu bimbang untuk menghantar anak-anak mereka ke taska memandangkan kita menempatkan pengasuh yang berpengalaman dalam tugasan tersebut," jelasnya.