Rosmah (Belakang, tiga kanan), tertarik dengan kemahiran kanak-kanak mencampurkan bahan warna. FotoBERNAMA: Tajul Safuan Abu HassanIPOH, 24 Julai (Bernama) -- Program Asuhan dan Didikan Kanak-Kanak (Permata) telah mendokumenkan garis panduan untuk kurikulum Permata bagi menyeragamkan aktiviti dan kualiti pembelajaran yang disediakan kepada kanak-kanak di bawah program itu.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Program Permata Datin Seri Rosmah Mansor garis panduan itu ialah Garis Panduan Peralatan Luar, Panduan Pelaksanaan Aktiviti Anak Permata dan beberapa dokumen lain yang akan menjadi prosedur operasi standard (SOP) Permata.
"Inisiatif ini diambil bagi tujuan meningkatkan standard dan kualiti asuhan dan didikan, kami telah mengambil inisiatif mendokumenkan beberapa garis panduan bagi membantu rakan-rakan pelaksana yang berminat untuk mengguna pakai kurikulum Permata.
"Walaubagaimanapun, oleh kerana program ini adalah program baru, terdapat juga beberapa interpretasi yang diberikan kepada garis panduan yang telah disediakan," katanya ketika berucap merasmikan Permata Bercham di sini pada Sabtu.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Penyelaras Pusat Anak Permata Perak Senator Heng Seai Kie, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, isteri Menteri Besar Datin Seri Saripah Zulkifli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.
Rosmah berkata selain memberikan penekanan kepada pendidikan berkualiti, garis panduan itu juga menitikberatkan strategi yang sesuai dan berkesan untuk memupuk perpaduan.
Katanya, bagi memastikan kurikulum yang diguna pakai bukan sahaja boleh memberikan asuhan dan didikan yang baik, kurikulum Permata telah ditambah nilai dengan memasukkan elemen kepelbagaian budaya dan pemikiran kreatif.
Selain itu katanya, bagi memastikan teknik pembelajaran mengikut kurikulum Permata dapat disampaikan dengan lebih berkesan, Permata juga telah menyediakan peluang kepada pendidik untuk mengikuti Kursus Asas Permata selama enam minggu.
Pelaksanaan Taska Permata ini dianggap sebagai usaha agresif kerajaan dalam melahirkan modal insan terbaik yang bermula dari pendidikan awal," katanya.
Justeru itu, katanya, Permata sentiasa memastikan kurikulumnya dapat membentuk sahsiah, keperibadian dan jati diri yang diingini bagi memupuk perpaduan berorientasikan suasana Malaysia.
Rosmah berkata kerajaan pusat telah memperuntukkan sebanyak RM3.64 juta kepada semua kerajaan negeri untuk memperluaskan pelaksanaan program Permata tahun ini.
Katanya dengan peruntukan tersebut, bilangan Taska Permata di seluruh negara dijangka meningkat kepada 647 buah dalam tempoh dua tahun sejak penubuhannya pada 2008.
"Tahun lalu sahaja, program Permata telah menunjukkan perkembangan pesat dengan penubuhan 427 Taska Permata di seluruh negara dengan penyertaan 17,000 kanak-kanak berusia antara satu hingga 4 tahun.
"Dengan sambutan yang menggalakkan ini, Permata mampu diperluaskan lagi bagi memberi peluang kepada kanak-kanak dalam usia tersebut menerima pendidikan awal menerusi Taska Permata," tambahnya.
-- BERNAMA