IPOH 24 Julai - Program Asuhan dan Didikan Kanak-Kanak (Permata) telah mengambil inisiatif untuk mendokumenkan beberapa garis panduan kurikulumnya bagi meningkatkan standard dan kualiti asuhan serta didikan kanak-kanak.
Isteri Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dasar Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, garis panduan tersebut penting bagi memastikan terdapat keseragaman terhadap pelaksanaan aktiviti serta kualiti pada peralatan pembelajaran luar atau dalam yang disediakan.
"Permata telah mengambil langkah untuk mendokumenkan beberapa garis panduan bagi membantu rakan-rakan pelaksana yang berminat mengguna pakai kurikulum Permata.
"Antaranya adalah garis panduan peralatan luar, prosedur operasi standard, panduan pelaksanaan aktiviti anak Permata dan beberapa dokumen lagi," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Anak Permata Negara (PAPN) di sini hari ini.
Bagi memastikan teknik pembelajaran dapat disampaikan dengan lebih berkesan katanya, Permata juga telah menyediakan peluang kepada pendidik mengikuti Kursus Asas Permata selama enam minggu.
"Pelaksanaan taska Permata ini dianggap sebagai usaha agresif kerajaan dalam melahirkan modal insan terbaik yang bermula dari pendidikan awal.
"Justeru Permata sentiasa memastikan kurikulumnya dapat membentuk sahsiah, keperibadian dan jati diri yang diingini bagi memupuk perpaduan berorientasikan suasana Malaysia," katanya.
Sementara itu berucap merasmikan Sambutan Hari Semai Bakti anjuran Badan Amal dan Usaha Isteri-Isteri Wakil Rakyat (Baiduri) Barisan Nasional (BN) Perak, Rosmah menyeru sektor korporat dan swasta mengikut langkah kerajaan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang berkelayakan dan berkebolehan tanpa mengambil kira kekurangan fizikal mereka.