Thursday, October 14, 2010

Pilih alat mainan kanak-kanak dengan teliti

KUCHING 13 Okt. - Penyediaan alat permainan dan bahan pengajaran di setiap pusat pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini perlu mengambil kira aspek keselamatan dan kesesuaian perkakasan itu mengikut peringkat pertumbuhan kanak-kanak.
Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah berkata, pemilihan peralatan serta bahan sesuai dan cara penggunaan yang berkesan dapat membantu anak-anak melalui pengalaman pembelajaran menyeronokkan sambil bermain.
Menurutnya, usaha membekalkan bahan-bahan permainan dan pendidikan untuk kanak-kanak merupakan langkah yang bersesuaian dengan penekanan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri terutama melibatkan penduduk kawasan luar bandar.
''Kesemua aspek tersebut perlu diberi perhatian serius dalam usaha untuk membantu perkembangan fizikal, minda dan emosi kanak-kanak," katanya di sini hari ini.
Beliau berucap merasmikan pejabat baru Children's World Educational Resouce Centre dan Penyerahan Sijil Malaysia Confirmity di sini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Pengarah Biro Pendidikan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Dr. Badiozaman Tuah.
Fatimah menjelaskan, selain membekalkan peralatan dan bahan-bahan pendidikan untuk dijual, pusat sumber juga perlu menyediakan latihan untuk menggunakan bahan-bahan permainan dan pendidikan kepada kanak-kanak.
''Ini penting supaya pembeli atau guru dapat mengendalikan bahan-bahan yang dibeli dengan betul bagi meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran di dalam atau di luar bilik darjah," ujarnya.
Sementara itu, Fatimah berkata, pendaftaran perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak penting bagi membolehkan perkhidmatan yang mengutamakan keselamatan dan kualiti dapat disediakan.