Wednesday, November 3, 2010

Rosmah cadang RISDA tubuh pusat Permata

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mencadangkan supaya RISDA menubuhkan pusat asuhan kanak-kanak berasaskan sukatan Program Asuhan dan Didikan Kanak-kanak (Permata Negara) di setiap kawasan tanah rancangannya di seluruh negara.
Menurut beliau, ia bagi membolehkan anak-anak pekebun kecil di luar bandar mendapat peluang yang sama dengan anak-anak di bandar dan tidak terpinggir daripada mengecapi pendidikan awal secara holistik.
"Saya berpendapat adalah menjadi tanggungjawab para ibu menyediakan asas pendidikan yang sempurna kepada anak-anak sejak mereka dari kecil lagi sebagai saham masa depan mereka, keluarga dan negara.
"Pihak Permata sanggup bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin menyediakan pusat asuhan di tempat kerja mereka mengikut silibus Permata serta turut mendapat peruntukan daripada kerajaan," katanya.
Beliau berucap pada majlis Perasmian Perhimpunan Wanita Pekebun Kecil Kebangsaan di sini hari ini.
Pada majlis itu, Rosmah menerima Anugerah Wira Wanita 1Malaysia daripada RISDA sebagai menghargai sumbangannya dalam pelbagai pertubuhan serta membangunkan masyarakat wanita, orang kurang upaya (OKU) dan Program Anak Permata Negara dan Sidang Kemuncak Wanita Pertama bulan lalu.
Anugerah disampaikan oleh isteri Pengerusi RISDA, Tan Sri Rahim Tamby Chik, Puan Sri Zabedah Abdullah yang menyarungkan selempang Wira Wanita Satu Malaysia kepadanya.
Rosmah yang juga Penaung Program Permata Negara berkata, sejak dua tahun lalu, lebih 400 pusat asuhan kanak-kanak milik Jabatan Pembangunan Komuniti, Jabatan Perpaduan Negara serta pusat asuhan kanak-kanak di pejabat yang baru dibina telah dinaik taraf sebagai pusat Permata Negara.
"Apa yang menarik ialah ramai kanak-kanak dari pusat asuhan Permata Negara menyatakan mereka ingin terus menginap di pusat itu kerana dekorasi yang cantik sehingga tidak mahu pulang ke rumah masing-masing," katanya.