KUALA LUMPUR 4 Jan. - Seramai 139 pelajar pintar tingkatan empat menjadi kumpulan pertama terpilih menyertai Program Pendidikan Menengah Tinggi Permata Pintar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bermula 17 Januari ini.
Penaung Program Permata Pintar Negara, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, daripada jumlah itu seramai 115 telah bersetuju mengikuti program itu yang terdiri daripada 71 pelajar lelaki dan 44 pelajar perempuan.
Menurutnya, 23 pelajar lagi belum memberi jawapan dipercayai kerana ibu bapa ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai yuran bagi memasuki sekolah itu.
Jelasnya, pelajar berkenaan dipilih menerusi tiga ujian saringan iaitu Ujian Permata Pintar UKM1, Ujian Permata Pintar UKM2 dan Ujian UKM3 (Ujian Kompetensi Matematik dan Sains).
"Insya-Allah apabila pelajar ini diberi tempat dan surat tawaran, jangan risau mengenai pembayaran yuran," katanya selepas melawat tapak sekolah itu di UKM, Bangi hari ini.
Menurutnya, beliau akan berikhtiar dan berunding dengan pihak tertentu terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berminat dengan pelaksanaan sekolah itu.
"Kita akan mendapat jawapan dan cara bagi mengatasi kanak-kanak atau keluarga yang tidak mampu menghantar anak-anak pintar ke sini," katanya.
Jelasnya, untuk peringkat awal, para pelajar akan ditempatkan di Kolej Zaaba sehingga kolej kediaman Pusat Permata Pintar Negara UKM siap sepenuhnya kelak.
Rosmah turut memberitahu, para guru yang bakal mengikuti program Permata Pintar Negara mula menjalani latihan sejak pertengahan November lalu yang dikendalikan oleh Universiti of New South Wales, Australia.
Rosmah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Dasar Permata Negara berkata, walaupun program tersebut berbentuk sekolah asrama penuh dengan bantuan kerajaan, tetapi ia mempunyai autonomi sendiri dalam prinsip pelaksanaannya.
Menurutnya, jadual pembelajaran bagi fasa pertama itu tetap sama dengan sekolah biasa iaitu dari pukul 8 pagi hingga 4.30 petang.
Jelasnya, terdapat enam komponen yang ditampilkan dalam program Permata Pintar iaitu akademik, bahasa komunikasi antarabangsa, projek saintifik, portfolio penilaian, kokurikulum dan pembinaan jati diri.