Tuesday, November 30, 2010

Program jaga gigi di Permata

PUTRAJAYA 30 Nov. - Program penjagaan awal kesihatan pergigian kanak-kanak akan dilaksanakan di semua Pusat Permata Negara di seluruh negara mulai tahun depan.

Program yang akan dilaksanakan di 600 buah pusat membabitkan seramai 24,000 orang kanak-kanak itu bertujuan memastikan amalan kesihatan pergigian yang baik dipraktikkan di peringkat awal usia.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, program bertemakan 'Tidak Terlalu Awal' itu membabitkan usaha sama antara Kementerian Kesihatan dan Pusat Permata Negara.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Penyelarasan Program Permata Negara berkata, program tersebut dimasukkan dalam kurikulum kesihatan Pusat Permata Negara yang akan diserapkan dalam silibus Kursus Asas Pengasuh Kanak-Kanak Permata.

"Aspek penjagaan gigi berkait rapat dengan pendidikan awal untuk menerapkan tabiat baik serta membentuk sikap positif kepada penjagaan kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Penjagaan Awal Kesihatan Pergigian Kanak-Kanak Dalam Program Permata Negara, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Rosmah turut merasakan idea menyerapkan program itu ke dalam Permata amat bertepatan kerana ia merupakan satu program asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak yang holistik.

Kajian epidemiologi kesihatan pergigian pada 2005 mendapati seramai 76.2 peratus kanak-kanak berumur lima tahun mengalami masalah karies gigi atau gigi berlubang.

Kajian juga mendapati secara purata setiap seorang kanak-kanak mempunyai enam batang gigi berlubang.
Permasalahan itu, kata Rosmah, amat membimbangkan kerana ia mempunyai impak negatif seperti kesakitan yang turut mengganggu fungsi pemakanan dan menjejaskan pertumbuhan kanak-kanak secara keseluruhan.
Ketika ini program penjagaan kesihatan pergigian kanak-kanak telah dilaksanakan di dua taska kerajaan iaitu Tadika Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Tadika Perpaduan.

Sementara itu, Tiong Lai dalam ucapannya berkata, melalui program tersebut, kaedah pencegahan dan mengenal pasti penyakit gigi di peringkat awal dapat dilakukan.

"Para guru dan pengasuh taska merupakan golongan yang memainkan peranan penting dalam perkara ini, justeru penglibatan dan perkongsian tanggungjawab antara pengasuh dan pasukan pergigian memberi faedah besar kepada kanak-kanak," katanya.