Sunday, May 15, 2011

Rosmah tawar pelajar Qatar sertai Program Permata Seni

DOHA 15 Mei - Qatar diundang menyertai Festival Seni Antarabangsa Kanak-Kanak yang julung kali diadakan di Malaysia di bawah program Permata Seni pada Disember ini.
Undangan itu disampaikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kepada Menteri Pelajaran dan Pendidikan Tinggi Qatar Saad Ibrahim Al-Mahmoud pada satu majlis di sini.
"Kanak-Kanak Qatar boleh mempersembahkan bakat mereka dalam bidang seni tari, muzik dan koir," katanya kepada pemberita Malaysia hari ini.

Rosmah, yang juga penaung Program Permata Negara, berkata pihaknya menawarkan dua tempat kepada pelajar Qatar bagi menyertai kem Permata Pintar di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
Beliau yang mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatan rasmi dua hari ke Qatar, mempunyai acara berasingan hari ini dan melawat pameran "The 3rd National Research Fair Programme" dengan diiringi Saad.

Pameran itu bertujuan mencungkil bakat kanak-kanak berusia lingkungan tujuh hingga 18 tahun dalam bidang penyelidikan.

Pada majlis itu, Rosmah turut diberi taklimat mengenai sistem pembangunan dan pendidikan kanak-kanak di Qatar oleh Pengarah Institut Pelajaran, Majlis Tertinggi Pelajaran Qatar Sabah Al-Haidoos. — BERNAMA