Sunday, May 8, 2011

Taska Permata Keluarga YPKT ke-32 dirasmi



Ahmad Said beramah mesra dengan kanak-kanak semasa merasmikan Taska Permata Keluarga Teluk Ketapang di Seberang Takir Kuala Terenganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 8 Mei - Taska Permata Keluarga Teluk Ketapang di sini yang pembinaannya dibiayai oleh Golden Pharos Berhad (GPB) dirasmikan pembukaannya oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said hari ini.
Ia merupakan Taska Permata Keluarga ke-32 daripada keseluruhan 66 buah taska kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) beroperasi dalam usaha membantu menyempurnakan proses perkembangan awal kanak-kanak.

Pengerusi GPB, Datuk Zubir Embong berkata, ia sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat anak syarikat kerajaan negeri sebagai sokongan kepada inisiatif pendidikan prasekolah kelolaan YPKT.

Menurut beliau, sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk pembinaan taska itu dan ia mula dibuka kepada orang ramai pada 1 Mac 2009.

"Keunikan taska ini ialah dari segi reka bentuknya kerana ia menggabungkan ciri-ciri kesenian Terengganu termasuk pada panel kaca seni binaan, pintu kayu dan kekuda kayu," katanya pada majlis perasmian taska berkenaan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman; ADUN Kuala Nerus, Datuk Nasir Ibrahim Fikri serta Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa.

Pada majlis itu, Ahmad turut menyampaikan cek berjumlah RM21,400 kepada 2,114 penerima dari Dewan Undangan Negeri Seberang Takir sebagai bantuan untuk membeli pakaian sekolah.
Sementara itu, Ahmad ketika berucap pada majlis tersebut berkata, Taska Permata Keluarga mempunyai beberapa keistimewaan berbanding taska lain termasuk program hafazan dan program-program melibatkan ibu bapa.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang YPKT berkata, taska itu juga menggunakan kaedah pembelajaran secara interaktif yang dibangunkan dengan kerjasama Top IT Industries Sdn. Bhd.