Monday, May 29, 2006

Kanak-kanak berhak dapat pendidikan awal berkualiti

Oleh NORLIZAH ABAS

SUBANG JAYA 28 Mei - Kanak-kanak berumur bawah enam tahun berhak menerima pendidikan awal yang sempurna bagi memastikan mereka membangun sebagai insan berguna.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, pendidikan awal berkualiti mampu mencorakkan masa depan kanak-kanak melalui pemikiran bernas, kematangan dan nilai-nilai keagamaan yang murni.

Menurutnya, kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah merupakan peringkat umur paling mudah menerima tunjuk ajar dan mengadaptasi perubahan persekitaran.

Sehubungan itu, Rosmah menasihatkan ibu bapa dan guru-guru prasekolah meningkatkan keupayaan masing-masing dengan menyertai kursus dan program pendidikan.

``Pendidikan awal kanak-kanak tidak sepatutnya menyebabkan mereka tertekan, sebaliknya proses pembelajaran perlu disertai dengan keriangan,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau menutup Persidangan Antarabangsa Pendidikan Awal Kanak-Kanak 2006 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Persidangan julung kali diadakan itu anjuran bersama Kolej Sri dan Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd. yang turut dihadiri peserta luar negara seperti Australia, New Zealand, India dan Filipina.

Sementara itu, dalam ucapannya, Rosmah berkata, kepentingan pendidikan awal kanak-kanak turut diiktiraf Bank Dunia menyebabkan ia disifatkan sebagai fasa paling kritikal dalam perkembangan manusia.

Menurut beliau, kesedaran itu menyebabkan bank berkenaan membiayai pelbagai projek pembangunan kanak-kanak di Kenya, India dan Filipina.

Sehubungan itu beliau berharap, persidangan seperti itu menjadi medan perbincangan berguna kepada pakar kanak-kanak dalam merangka strategi dan program lebih bermakna.

Sunday, May 7, 2006

Permata anggap kanak-kanak modal insan masa depan

Oleh: ROZAMAN ISMAIL

KESEDARAN terhadap betapa pentingnya pendidikan awal bagi kanak-kanak dalam lingkungan usia 0 hingga enam tahun, mendorong sekumpulan 25 wanita yang diketuai oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor merintis satu usaha bagi menyediakan konsep pendidikan awal yang sempurna.

Kumpulan yang bergabung di bawah nama Permata ini memilih tagline ‘Setiap Anak Adalah Permata’ bagi menggambarkan kesungguhan mereka untuk membantu kerajaan dan agensi-agensi pelaksana dalam menyediakan satu dasar berhubung pendidikan awal kanak-kanak yang lebih fokus dan menyeluruh.

Kumpulan ini terdiri daripada mereka yang mempunyai kepelbagaian kepakaran, latar belakang, pendidikan dan pengalaman antaranya pakar kanak- kanak, ahli akademik, aktivis wanita dan aktivis masyarakat memulakan usaha ini dengan mengadakan kajian dan penyelidikan secara sukarela dan dapatannya akan dijadikan input bagi pembangunan konsep pendidikan sedemikian.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Akreditasi Negara (LAN) Profesor Datuk Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan, salah seorang yang terlibat secara langsung dalam projek ini berkata, Permata melihat kumpulan umur 0 - enam tahun sebagai satu kumpulan yang amat penting dan mereka mesti melalui satu proses perkembangan yang teratur.

Sebagai modal insan yang sangat bermakna kepada masa depan negara kata beliau, perlu ada satu program atau perancangan yang teratur, fokus dan bersepadu daripada mereka mula lahir hingga memasuki alam persekolahan.

“Dengan kata lain, ia perlu dirancang sebagai satu strategi nasional dan banyak negara lain di dunia ini sudah menjadikan pendidikan awal kanak-kanak sebagai satu pelan nasional yang bersepadu,” katanya.

Menurut beliau, United Kingdom (UK) misalnya berjaya menggabungkan satu sistem yang berpecah-pecah kepada yang lebih bersepadu di bawah satu komitmen politik demi kebajikan kanak-kanak, keluarga, para pekerja serta masyarakat keseluruhannya iaitu menerusi Jabatan Pendidikan dan Pekerjaan; Khidmat Sosial; Kesihatan, Perdagangan dan Industri serta Perbendaharaan.

Negara itu juga merangka strategi penjagaan kanak- kanak kebangsaan melibatkan usia 0 hingga 14 tahun dan sehingga 16 tahun bagi kanak-kanak istimewa, memasukkan keperluan pendidikan kanak-kanak berusia tiga hingga lima tahun ke dalam dasar pendidikan di samping menyediakan pelbagai insentif seperti skim baucer taman asuhan.

Di Sweden pula, semua kanak-kanak layak mendapat tempat di peringkat prasekolah sebagai sebahagian daripada projek kebajikan negara itu manakala tanggungjawab berkaitan dengan penjagaan kanak-kanak dipindahkan dari Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Sosial kepada Kementerian Pendidikan dan Sains selain memperkukuhkan hubungan pedagogi antara pendidikan awal dengan peringkat sekolah.

Di Malaysia kata beliau, walaupun ada tetapi ia terletak di bawah dua akta dan dua kementerian yang berbeza dengan masing-masing menjalankan program tersendiri.

Sebagai contoh, taska yang didaftarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah di bawah Akta Pusat Penjagaan Kanak-Kanak 1984 bagi kanak-kanak berusia 0 hingga empat tahun manakala tadika untuk kanak- kanak berusia empat hingga enam tahun pula di bawah Akta Pendidikan 1996.

Justeru kata beliau, Permata berharap dapat menjadi jambatan dalam mewujudkan satu mekanisme yang berupaya meningkat dan memperkukuhkan lagi program-program yang dijalankan oleh agensi-agensi pelaksana pada masa ini.

Menurut Sharifah Hapsah, bukti-bukti kajian dan penyelidikan menunjukkan kanak-kanak yang memperoleh pendidikan awal yang sempurna amat jarang ditempatkan dalam kelas mengulang atau kelas khas, terlibat dalam aktiviti jenayah, gagal dalam persekolahan, menjadi ibu atau bapa pada usia muda serta menghidap penyakit berkaitan tekanan perasaan.

Sebaliknya kata beliau, kebanyakan mereka mempunyai keupayaan membaca dan mengira lebih cepat, dapat menamatkan persekolahan hingga peringkat menengah, memperolehi pekerjaan sepenuh masa dan sentiasa bersedia untuk merancang masa depan sekiranya gagal dalam pelajaran.

Bagi tujuan itu Permata telah mengadakan lawatan ke Pen Green Centre, Corby di England bagi mempelajari bagaimana pusat pendidikan awal kanak-kanak di situ menjadi antara pusat terbaik di negara berkenaan.

Para penduduk di wilayah Corby pernah dikategorikan sebagai wilayah paling ‘sengsara’ di England akibat bencana ekonomi yang melandanya berikutan penutupan industri besi dan keluli secara besar-besaran suatu waktu dahulu.

Kesannya, masyarakat di wilayah itu menjadi masyarakat yang patah semangat dan berputus asa untuk hidup kerana pelbagai masalah khususnya berkaitan dengan pengangguran dan kemiskinan.

Bagaimanapun salah seorang ketua majlis tempatan di situ, James G. Kane melihat pelaburan dalam pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak dapat menjanjikan masa depan yang lebih cerah lalu untuk generasi muda wilayah itu, lantas mereka menubuhkan Pen Green Centre.

Hari ini masyarakat di Corby muncul sebagai salah satu komuniti paling berjaya dalam sejarah pendidikan awal kanak-kanak di England.

Bagi tujuan yang sama kata Sharifah Hapsah, Permata bekerjasama dengan Pusat Perkembangan Penyelidikan Awal Kanak-Kanak di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang akan bertindak sebagai pusat yang akan menjalankan kajian, mengumpul maklumat, menyediakan input serta menilai keberkesanan projek-projek perintis bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan awal kanak- kanak yang dijalankan itu di negara ini.

Sebagai permulaan katanya, lapan kawasan telah dikenal pasti untuk pelaksanaan projek perintis itu iaitu Kepala Batas, Shah Alam, Pangkalan Pasir, Mempaga, Chini, Putrajaya dan dua lagi di kampung-kampung baru dan estet yang akan ditentukan kemudian.

Menurut beliau, kawasan-kawasan berkenaan dipilih kerana ia mewakili pelbagai latar belakang sosiobudaya yang berbeza seperti kawasan mundur, kemiskinan luar bandar, setinggan dan kemiskinan dalam bandar, kawasan penduduk Orang Asli dan kawasan majoriti satu-satu kaum.

Projek perintis ini akan dijalankan dengan kerjasama kementerian-kementerian lain seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pelajaran serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

“Dapatan daripada projek perintis ini akan dapat dijadikan input kepada kerajaan atau agensi-agensi pelaksana yang lain untuk meningkatkan lagi konsep pendidikan awal sedia ada sekaligus melahirkan generasi ‘permata’ yang berbudi bahasa, berakhlak mulia, pandai bergaul, saling hormat menghormati dan memahami budaya kaum dan masyarakat lain,” katanya.

Katanya, bagi menjayakan konsep pendidikan sedemikian, ia memerlukan satu pendekatan bersepadu yang melibatkan pelbagai pihak seperti masyarakat setempat, pihak berkuasa tempatan, ahli-ahli politik serta ketua-ketua kampung dapat dimanfaatkan bagi menjadikan kanakkanak setempat yang agak mundur kepada yang lebih berjaya dan membanggakan.

Pada masa yang sama ia bukan sahaja dapat memberi faedah kepada kanak-kanak tetapi juga masyarakat setempat menerusi pendekatan memberi nilai tambah kepada program sedia ada seperti kaunseling remaja, latihan serta pendidikan untuk golongan dewasa.

Seperti kata isteri Timbalan Perdana Menteri, konsep pendidikan awal sedemikian sangat perlu setelah melihat perkembangan masalah sosial yang membimbangkan seperti keciciran, sumbang mahram, rogol, kecurian, pembunuhan, salah akidah serta pelbagai lagi.

Dalam era globalisasi ini kata Rosmah, setiap kanak-kanak merupakan sumber tenaga dan modal insan masa depan yang harus digemblengkan ke tahap optimum menerusi perlindungan dari peringkat awal hingga dewasa.

“Atas kesedaran inilah Permata terpanggil untuk membuat sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat dan kebaikan demi masa depan generasi akan datang.

“Permata bukan mahu campur tangan atau ambil alih tugas mana-mana kementerian atau agensi pelaksana. Barangkali juga usaha ini bukanlah dapat menyelesaikan seratus peratus masalah yang ada tetapi sekurang-kurangnya ia menjadi titik tolak kepada usaha untuk melahirkan modal insan yang syumul,” katanya.

Friday, May 5, 2006

Permata perkenal pendidikan awal kanak-kanak 5 tahun

Oleh: ROZAMAN ISMAIL

PUTRAJAYA 4 Mei - Sekumpulan wanita yang bergabung di bawah Permata dan diketuai oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan memperkenalkan konsep pendidikan awal bagi kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah yang memberi penekanan bahawa `setiap anak adalah permata negara'.

Menurut Rosmah, menerusi konsep pendidikan sedemikian, satu pendekatan bersepadu yang melibatkan pelbagai pihak seperti masyarakat setempat, pihak berkuasa tempatan, ahli politik serta ketua kampung dapat dimanfaatkan bagi menjadikan kanak-kanak setempat lebih berjaya.

Beliau berkata, konsep yang antara lain menekankan keseronokan sewaktu belajar dan belajar tanpa tekanan akan dimulakan di lapan buah kawasan sebagai projek perintis tidak lama lagi.

Katanya, antara kawasan yang dikenal pasti itu ialah Kepala Batas, Shah Alam, Pangkalan Pasir, Mempaga, Chini, Putrajaya dan dua lagi di kampung baru dan estet yang akan ditentukan kemudian.

``Projek perintis ini akan dijalankan dengan kerjasama kementerian-kementerian lain seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pelajaran serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah,'' katanya pada majlis ramah mesra bersama media dan pertubuhan bukan kerajaan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Akreditasi Nasional (LAN), Prof. Datuk Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan.

Menurut Rosmah, projek perintis itu akan dijalankan di taman didikan kanak-kanak atau taman asuhan kanak-kanak Islam yang dipilih dengan memberi nilai tambah kepada program sedia ada seperti kaunseling remaja, latihan serta pendidikan untuk golongan dewasa di satu-satu kawasan.

Dengan cara ini kata beliau, program sedemikian bukan sahaja dapat memberi faedah kepada kanak-kanak tetapi juga masyarakat di kawasan yang terlibat.

Menurut Rosmah, idea untuk mewujudkan konsep pendidikan awal sedemikian dihasilkan oleh sekumpulan 25 orang wanita yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang tertentu seperti pakar kanak-kanak, ahli akademik serta aktivis sosial.

``Ia dibuat setelah melihat perkemba-ngan masalah sosial yang membimbangkan seperti keciciran, sumbang mahram, rogol, kecurian, pembunuhan dan salah akidah,'' katanya.

Menurut beliau, dalam era globalisasi ini setiap kanak-kanak merupakan sumber tenaga dan modal insan masa depan yang harus digemblengkan ke tahap optimum menerusi perlindungan dari peringkat awal hingga dewasa.

``Atas kesedaran inilah Permata terpanggil untuk membuat sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat dan kebaikan demi masa depan generasi akan datang,'' katanya lagi.

Menurut Rosmah, Pusat Perkembangan Penyelidikan Awal Kanak-Kanak di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan bertindak sebagai pusat yang akan menjalankan kajian, mengumpul maklumat, menyediakan input serta menilai keberkesanan projek perintis bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan awal kanak-kanak yang dijalankan itu di negara ini.