KUALA LUMPUR 1 Julai - Kerajaan sedang mengkaji sistem pendidikan baru yang akan melibatkan kanak-kanak berusia seawal dua setengah tahun, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, jika kajian itu berjaya, sistem pendidikan awal kanak-kanak itu akan dilaksanakan ke atas kanak-kanak di Malaysia.
"Sekiranya pendidikan awal kanak-kanak ini sangat bermanfaat, ia akan diperluaskan dan sebuah kementerian akan ditugaskan untuk melaksanakan konsep pendidikan ini," katanya kepada pemberita selepas bermain golf dalam kejohanan Piala Perdana Menteri, Golf Amal Malaysia 2006 di sini hari ini.
Pertandingan itu dianjurkan oleh Pertubuhan Alumni Kelab-kelab UMNO Luar Negara bertujuan mengutip derma bagi Persatuan Pengasih Malaysia dan Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia.
Menurut Najib, kajian itu sedang dibuat oleh Pejabat Timbalan Perdana Menteri.
"Pendidikan awal kanak-kanak adalah berdasarkan kepada pendapat saintifik di mana pembentukan otak manusia mula berkembang fungsinya daripada umur dua setengah tahun," katanya.
Katanya, sistem ini menyediakan kemampuan psikologi dan emosi anak-anak untuk menjadi pelajar yang lebih berwibawa dan berkebolehan ketika memasuki sekolah rendah dan seterusnya menengah.
Pejabat Timbalan Perdana Menteri sedang mencari formula yang sesuai untuk membentuk sistem itu dan tugas ini terpikul kepada beberapa orang pemikir yang telah dilantik, katanya.
Beliau berkata, projek perintis sistem pendidikan itu diharap dapat dimulakan menjelang akhir tahun ini.
Setelah diputuskan oleh Kabinet, latihan khas akan diberi kepada guru-guru yang berkenaan dan kurikulumnya akan digubal, katanya.
Najib berkata, buat masa ini, beliau belum dapat menjangkakan sama ada tadika Kemas akan terlibat atau kementerian mana yang akan dipertanggungjawabkan dengan sistem pendidikan itu.
Beliau juga tidak menafikan mungkin akan wujud rangkaian tadika baru dan peruntukan untuk program itu tidak besar.
"Ibu bapa tidak wajib menghantar anak-anak mereka, ia dibuat secara sukarela," katanya.
Sementara itu, beliau turut ditanya sama ada sistem pendidikan moden Malaysia mempunyai masalah kerana seringkali pelajar terlibat dalam kes gaduh dan buli sehingga ke tahap rakaman gambar perbuatan itu disiarkan dalam Internet seperti di Sabah dan Kelantan minggu lepas.
Katanya, sistem pendidikan Malaysia memang baik dan telah teruji kemampuannya sehingga berjaya melahirkan ramai pelajar yang layak untuk ke universiti.
"Jadi kalau ada masalah disiplin ini soal pemantauan dan tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil oleh pihak berkuasa," katanya.
Masalah disiplin adalah sesuatu yang kompleks yang juga turut dialami oleh negara-negara maju, tetapi dalam kes di Malaysia, jumlahnya sangat kecil, kata Najib.
"Kalau ada kes kita akan tangani secara kes demi kes dan tak boleh dianggap sebagai satu kelemahan pada sistem pendidikan," tambah beliau. - Bernama