Oleh HABIBAH OMAR
PUTRAJAYA 1 Nov. – Kementerian Pelajaran yakin pelaksanaan projek jagaan dan pendidikan awal kanak-kanak (Permata) yang akan dilaksanakan tahun depan mampu mengatasi masalah ketidaksediaan pelajar ketika memasuki kelas prasekolah.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pelaksanaannya yang akan dimulakan di kawasan luar bandar, pinggir bandar dan estet, dapat membantu anak- anak miskin mendapat manfaat melalui pendidikan awal disediakan.
‘‘Secara langsung usaha ini dapat merapatkan jurang pendidikan yang sedia wujud antara golongan mampu dan tidak mampu sejak di peringkat awal lagi.
‘‘Kita sememangnya mengalu-alukan usaha seperti ini yang mampu menyediakan kanak-kanak dengan nilai-nilai murni, ilmu dan kemahiran tertentu sebelum melangkah ke alam prasekolah di bawah kelolaan kementerian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Permata yang menonjolkan konsep ‘keseronokan pembelajaran’ akan mula dilaksanakan tahun depan dengan pembinaan pusat khas tersebut di setiap negeri.
Menurut Najib, konsep pendidikan bukan formal yang bertujuan mencetuskan daya kreativiti, imaginasi dan minat kanak-kanak dalam bidang tertentu itu diluluskan oleh Kabinet dengan peruntukan RM20 juta.
Hishammuddin berkata, pelaksanaan Permata merupakan langkah tepat dalam usaha merealisasikan hasrat misi nasional bagi membangunkan modal insan berkualiti untuk masa akan datang.
Permata juga, katanya, adalah persediaan berterusan untuk melangkah ke era negara maju menjelang 2020 dengan menjadikan pendidikan sebagai penggerak utama.
‘‘Telah terbukti bahawa pendidikan di usia yang awal seperti ditekankan oleh Permata mampu melahirkan kanak-kanak memiliki minda cergas dan mantap serta mudah menerima pelajaran,” katanya.