Saturday, March 6, 2010

Lima pelajar pintar sertai program di AS

SEREMBAN 5 Mac - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mengumumkan nama lima pelajar pintar cerdas negara yang akan mengikuti program Perkhemahan Musim Panas 2010 di Universiti Johns Hopkins - Pusat Belia Berbakat di Amerika Syarikat (AS) Jun ini.

Mereka ialah Rabiatul Adawiyah Ishak, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang, Kuching, Sarawak; Kalithashinee Sivabalan, 14, dari SMK Dato' Onn, Butterworth, Pulau Pinang dan Ahmad Asyraf Burhani, 15, dari SMA Al-Maarif Bukit Goh, Kuantan, Pahang.

Dua lagi pelajar yang terpilih itu ialah Philip Chin Zhen Yew, 16, dari SMJK (C) Chung Ling, Butterworth, Pulau Pinang dan Muhammad Akmal Hasbullah, 16, dari Maktab Rendah Sains Mara, Pengkalan Chepa, Kelantan.

Rosmah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Dasar Permata Negara memberitahu, mereka akan mengikuti program berkenaan selama sebulan di negara itu bermula 16 Jun ini hingga pertengahan Julai depan.
"Mereka yang terpilih ini merupakan duta PERMATApintar dan diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman berada bersama-sama kanak-kanak pintar cerdas dari luar negara di Universiti Johns Hopkins itu," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Tahun Ke-2 Ujian Saringan Pertama PERMATAPintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 1 di Kolej Tunku Kurshiah di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom serta Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Shahabudin.

Menurut beliau, di AS nanti pelajar ini diberi pendedahan meluas mengenai mata pelajaran yang didedahkan seperti kriptologi, pengenalan kepada robotik, reka cipta, penaakulan mantik, menjadi saintis selain penulisan kreatif.

"Mereka akan memperoleh pengalaman secara terus serta bergaul dengan kanak-kanak pintar dari negara lain.

"Di samping itu, mereka dapat bertukar pandangan serta idea dan memahami kebudayaan, agama dan cara hidup antara satu negara dengan negara yang lain," katanya.

Rosmah menjelaskan, apa yang lebih penting, lima duta PERMATApintar yang dihantar ke universiti itu akan menerangkan juga kepada kanak-kanak luar negara mengenai Malaysia.

"Inilah salah satu cara kita meletakkan Malaysia di peta dunia melalui projek PERMATApintar dan kita tidak mahu ketinggalan dalam menyatakan kepada dunia bahawa Malaysia juga mempunyai ramai kanak-kanak pintar," jelas beliau.

Rosmah berkata, menjadi harapan negara pada masa hadapan, lima duta PERMATApintar ini akan menjadi penceramah sekembali mereka daripada menjalani program di universiti tersebut.

"Ini akan dapat meningkatkan semangat kanak-kanak pintar Malaysia untuk mencontohi mereka," kata beliau.
Sehubungan itu juga, katanya, dalam program Perkhemahan Cuti Sekolah 2010 pada bulan Disember ini, sekretariat PERMATApintar Negara akan menjemput 10 kanak-kanak dari luar negara untuk turut serta dalam program ini.

"Ia sebagai galakan kepada kanak-kanak Malaysia berkongsi pengalaman dengan mereka," tambah beliau.
Terdahulu dalam ucapannya, Rosmah memberitahu, projek PERMATApintar sedang menyediakan program pembelajaran yang lebih formal melalui sebuah sekolah yang akan dikenali sebagai Akademi PERMATApintar Negara.

Katanya, akademi berasrama penuh itu sedang dibina dan dijangka siap akhir tahun ini.
Jelas Rosmah lagi, pada Januari 2011, seramai 150 pelajar berbilang kaum di tingkatan 4 akan diambil melalui pemilihan secara ujian.

"Mereka akan mengikuti pembelajaran arus perdana dan diberi peluang mengambil peperiksaan antarabangsa seperti SAT, Advance Placement atau O dan A Level.

"Ini akan memberikan mereka satu jaringan keselamatan yang lebih luas untuk meneruskan pengajian mereka di universiti terkemuka dunia," jelas Rosmah.