Friday, March 12, 2010

Program Permata Insan dilancar


Rosmah Mansor melihat adik Soraya Hamitaf, 8, membuat ujian Pintar Agama ketika Majlis Pelancaran Permata Insan di USIM Nilai, semalam. Turut kelihatan isteri Menteri Besar, Salbiah Tengku Nujumuddin (tiga dari kanan).


SEREMBAN 12 Mac – Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini melancarkan program Permata Insan bermatlamat melahirkan ilmuwan dan golongan teknokrat Islam pada masa depan.

Kata beliau, generasi pendukung negara masa depan hendaklah bukan hanya menghafal al-Quran tetapi lebih utama, mampu melihat kitab suci itu sebagai sumber ilmu yang agung dalam pelbagai bidang termasuk sains, biologi, fizik, matematik dan sains kemanusiaan.

“Ini antara nilai terpenting yang akan diterapkan dalam program Permata Insan yang kita lancarkan hari ini,” kata beliau di sini hari ini.

Rosmah berkata demikian sewaktu melancarkan program Permata Insan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai dekat sini hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Jamil Khir Baharom; isteri Menteri Besar, Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin; Naib Canselor USIM, Datuk Muhammad Muda dan Penasihat Menteri Pengajian Tinggi Arab Saudi, Prof. Dr. Auda Al Johani yang juga ahli Pertubuhan Cerdas Pintar King Abdul Aziz.

Rosmah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Dasar Permata Negara menjelaskan, program Permata Insan adalah kesinambungan Permata Pintar yang telah pun terbukti kejayaannya ketika ini.

“Kita telah dapat merealisasikan sebuah program yang buat pertama kalinya, akan memperkenalkan satu ujian kecerdasan khusus bagi mengenal pasti pelajar seawal usia lapan tahun yang mempunyai kecenderungan tinggi dalam pengajian agama,” jelas beliau.

Kata Rosmah, pelaksanaan program itu mengambil inspirasi daripada teknokrat Islam seperti Ibnu Sina, Al-Farabi, Al-Khawarizmi, A-Biruni, Ibnu Khaldun dan ramai lagi.

“Anggaplah usaha ini sebagai langkah permulaan bagi Malaysia untuk melahirkan kanak-kanak generasi al-Quran dan bakal menjadi tokoh ilmuwan Islam yang mampu membangunkan metodologi baru mentafsir al-Quran dan sunah,” tambah beliau.

Mengenai kandungan silibus dalam Permata Insan, Rosmah memberitahu, USIM yang dipertanggungjawabkan bagi pelaksanaan program berkenaan telah mengadakan kerjasama dengan Universiti King Abdul Aziz (KAZ) di Riyadh, Arab Saudi.

“Kandungan silibus ini telah digubal bagi membolehkan pelajar memahami tentang ilmu dan tamadun menerusi pendekatan mengenali al-Quran secara mendalam dan integratif.

“Ia akan dipersembahkan dengan menggunakan metodologi dan pendekatan semasa bagi menyuburkan kreativiti agar pengajian Islam ini tidak terpinggir dalam arus perubahan masa kini.

“Mereka (Universiti KAZ) sudah pun mempunyai program seumpama ini bagi kanak-kanak pintar seluruh Arab Saudi dan bersetuju untuk membantu memperhalusi komponen al-Quran dan kokurikulum Permata Insan ini,” jelas Rosmah.

Justeru pemilihan pelajar untuk mengikuti kem Permata Insan akan dibuat menerusi proses saringan Ujian Kecerdasan-UKM 1 yang berlangsung sepanjang Mac hingga Mei ini.
“Selepas itu mereka akan disaring pula melalui Ujian USIM 1 untuk melihat kecenderungan mereka dalam pengajian Islam.
“Pemilihan ini terbuka kepada seluruh pelajar pintar di sekolah agama negeri, sekolah agama rakyat dan swasta serta individu yang berminat,” kata Rosmah.

Beliau juga berharap dapat menghantar pelajar pintar negara ke kem percutian di Arab Saudi kelak sebagaimana dilakukan terhadap lima pelajar Permata Pintar yang akan mengikuti Perkhemahan Musim Panas 2010 di Universiti John Hopkins, Amerika Syarikat, Jun ini.

Beliau juga berharap dapat mengenal pasti 50 pelajar yang pintar agama ini dari seluruh negara untuk mengikuti Kem Permata Insan di USIM pada Disember depan.