Monday, May 17, 2010

Hasil program perintis Perkasa Remaja Negara menggalakkan


Rosmah Mansor menerima cenderamata ketika melawat Pusat Martha's Table di Washington, kelmarin. - BERNAMA


WASHINGTON 15 April - Program perintis Perkasa Remaja Negara yang bertujuan membangunkan remaja supaya lebih berkeyakinan dan berpandangan positif, menghasilkan keputusan menggalakkan, kata Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Rosmah yang juga Penaung Permata Negara berkata, seramai 30 remaja berumur antara 18 dan 25 tahun, yang pernah melanggar undang-undang negara, secara sukarela menyertai program kendalian Program Permata Negara bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilaporkan memperlihatkan perubahan sikap positif terhadap diri sendiri dan masyarakat.

"Program itu bertujuan menanamkan keyakinan diri dan tidak menganggap diri mereka sebagai manusia gagal adalah mustahak, kerana mereka juga berhak seperti remaja lain untuk mendapat pendidikan dan perhatian," katanya kepada wartawan Malaysia selepas melawat Martha's Table, sebuah badan bukan berasaskan keuntungan yang aktif dalam aktiviti kebajikan dan sukarelawan di sini semalam.

Badan yang ditubuhkan 30 tahun lalu itu bermatlamat membantu "individu kurang bernasib baik dalam masyarakat sekeliling untuk membangunkan kehidupan lebih baik menerusi program sukarelawan."
Rosmah yang juga Presiden Badan Kebajikan dan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), berkata, laporan penuh mengenai pencapaian program dua bulan, yang bermula 1 Mac lepas, akan diumumkannya setelah projek perintis itu berakhir.

Rosmah berkata, remaja perlu diberi kebebasan memilih bidang yang diminati dan usaha perlu diberikan untuk membolehkan mereka mengembangkan minat sehingga mencapai kejayaan.

Mengenai lawatannya ke Martha's Table, Rosmah berkata, pihaknya sedang memikirkan satu program yang membolehkan remaja melakukan kerja-kerja berfaedah dan mempelajari bidang yang mereka minati di satu tempat selepas waktu sekolah.

"Datang untuk belajar bidang yang mereka minati seperti muzik, menyanyi, drama dan sebagainya. Selain melakukan kerja-kerja sekolah dengan dibantu oleh guru-guru," katanya.

Rosmah berkata, mustahak bagi tempat-tempat ini mempunyai guru-guru yang sesuai dan berminat mengajar serta sukarelawan untuk membantu.

Terdahulu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Martha's Table Lindsey Buss dalam taklimatnya berkata sejak penubuhannya di kawasan komuniti yang terlibat gejala dadah pada 1980, banyak perubahan positif berlaku dan ia menjadi rumah kedua bagi kanak-kanak dan belia di kawasan itu.

Organisasi itu yang menerima hanya 18 peratus pendapatannya daripada geran kerajaan, mempunyai dua program iaitu program jangka pendek yang membabitkan program makanan dan pakaian bagi orang miskin dan satu lagi program jangka panjang melibatkan pendidikan dan perkhidmatan keluarga, katanya.
Buss berkata, Martha's Table mempunyai 10,000 sukarelawan setahun untuk membantu melaksanakan pelbagai aktiviti dan 70 guru berkelulusan ijazah pertama bagi mendidik 300 kanak-kanak dan belia berumur antara tiga bulan dan 18 tahun.

Para guru berkenaan, katanya, akan membantu mereka sebelum dan selepas sekolah, termasuk menolong mereka melakukan kerja sekolah dan mengadakan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan kemahiran seperti reka bentuk grafik dan penerbitan video.

Pusat itu mencatatkan kelulusan 100 peratus bagi pelajar sekolah tinggi dan membantu ramai daripada mereka melanjutkan pelajaran ke kolej dan universiti, kata beliau. -- BERNAMA