Wednesday, February 16, 2011

Bukan Melayu digalak mohon tenaga pengajar Pusat Anak Permata Negara

IPOH 16 Feb. - Masyarakat Cina dan India yang berminat dengan pendidikan awal kanak-kanak digalakkan memohon menjadi tenaga pengajar Pusat Anak Permata Negara (PAPN) bagi memenuhi keperluan operasi pusat berkenaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan komunikasi, integrasi budaya serta toleransi di kalangan masyarakat majmuk memandangkan penyertaan bukan Melayu kurang daripada 10 peratus ketika ini.

"Misalnya di kawasan Felda yang banyak didiami orang Melayu, kita berharap dapat menghantar guru daripada kaum lain supaya anak kita dapat didedahkan dengan budaya berbeza.

"Lagipun, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kita berharap melalui peranan pendidik pelbagai bangsa, nilai hidup masyarakat majmuk dapat diterapkan sejak pendidikan awal kanak-kanak lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan Badan Amal dan Usaha Isteri-Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional Perak (Baiduri) ke PAPN Bercham di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Baiduri, Datin Seri Saripah Zulkifli yang juga isteri kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Pada majlis tersebut, Baiduri menyampaikan sumbangan buah limau dan angpau kepada 31 kanak-kanak pelbagai bangsa di PAPN tersebut.

Dalam pada itu, Seai Kie berkata, pengambilan tenaga pengajar PAPN terbuka kepada mereka yang mempunyai ijazah sarjana muda, diploma mahupun tamat pengajian tingkatan enam.

Menurut beliau, bagi tujuan latihan, pihak Permata telah melantik Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai agensi penyedia latihan mulai tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Saripah berkata, terdapat lima PAPN yang beroperasi di negeri ini iaitu di Bercham, Felda Besout, Pulau Pangkor, Teluk Intan dan Parit Buntar.

Beliau berkata, melalui inisiatif kerajaan negeri, 10 taska di tempat kerja mengguna pakai modul Permata akan ditubuhkan di pejabat-pejabat tanah dan daerah termasuk di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

"Terdapat juga 23 buah Taska Permata Kemas di sekitar negeri Perak termasuk sebuah Taska Perpaduan di Taiping mengikuti modul Permata terutamanya bagi anak-anak golongan ibu tunggal dan berpendapatan rendah," katanya.

Selain itu, beliau turut memuji usaha PAPN Bercham yang disifatkannya menepati konsep 1Malaysia kerana menawarkan kelas bahasa Mandarin kepada anak-anak Melayu bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan rakan-rakan bukan Melayu.