10/03/2011 4:04pm
BANGI 10 Mac - Program Permata, yang memberi fokus kepada pembangunan dan pendidikan kanak-kanak, hari ini melangkah setapak lagi ke hadapan dengan penubuhan Yayasan Permata dengan modal permulaan sebanyak RM4.4 juta.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Penaung Permata berkata, dengan penubuhan yayasan itu, semua program-program Permata yang dimulakan sejak 2007 iaitu Permata Negara, Permata Pintar, Permata Seni dan Permata Insan diharap dapat dilaksana dengan lebih terancang dan tersusun di bawah naungan satu yayasan, tanpa bergantung sepenuhnya kepada pembiayaan kerajaan.
Beliau berkata, dana itu juga mungkin akan disalurkan dalam bentuk biasiswa pendidikan kepada pelajar Permata Pintar yang terpilih.
"Saya percaya masih banyak lagi perkara yang boleh kita lakukan untuk kepentingan kanak-kanak di negara kita, dan dengan adanya dana yang mencukupi, bolehlah kita merancang program-program yang baik untuk kanak-kanak,” katanya semasa majlis pelancaran Yayasan Permata di Kompleks Permata Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini. - Bernama