KUALA LUMPUR 22 Nov. – Lima lokasi dikenal pasti untuk dibangunkan dengan projek perintis Pusat Permata Negara, kata isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau berkata, lima lokasi bagi projek jagaan dan pendidikan awal kanak-kanak itu ialah di Subang Jaya, Putrajaya, Mempaga dan Chini (kedua-duanya di Pahang) serta di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Menurut beliau, RM20 juta diperuntukkan bagi projek yang dijangka dimulakan di seluruh negara pada akhir tahun depan.
‘‘Bagaimanapun, projek di lima lokasi itu akan dimulakan pada Februari tahun depan dengan 50 kanak-kanak bagi setiap pusat,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala dan Penyampaian Anugerah kepada Pemegang Francais Tadika Krista di sini malam ini.
Menurut Rosmah, bagi menjayakan projek perintis itu, pelaksana Pusat Permata Negara akan bekerjasama dengan agensi-agensi seperti Felda, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Putrajaya Corporation dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).
Katanya, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) telah diberi tanggungjawab untuk menyediakan modul pembelajaran dan teknik pengajaran serta kursus penjagaan kanak-kanak kepada bakal-bakal pengusaha dan pengasuh di pusat itu.
‘‘Diharap Pusat Permata Negara akan dapat menyediakan pembelajaran yang sebaik mungkin bagi mengatasi masalah ketidaksediaan pelajar ketika memasuki kelas prasekolah,’’ katanya.