Thursday, November 2, 2006

Permata bukan pesaing taska – Rosmah

SUBANG JAYA 1 Nov. – Projek jagaan dan pendidikan awal kanak-kanak (Permata) bukan pesaing kepada taman asuhan (taska) atau taman didikan kanak-kanak (tadika), kata isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurutnya, pendekatan Permata adalah berlainan daripada yang diamalkan oleh taska atau tadika.

“Konsep kita ialah mementingkan pembelajaran yang menyeronokkan dan kita akan ajar mereka mengikut kecenderungan kanak-kanak terbabit,’’ katanya.

Mengenai tenaga pengajar, Rosmah berkata, pihaknya sedang mengenal pasti mereka yang memiliki diploma atau ijazah dalam bidang Pendidikan Jagaan Kanak-Kanak.

Rosmah yang juga Pemangku Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri (Bakti) berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan 239 kanak-kanak dari 13 institusi kebajikan dari kawasan Lembah Klang dan Selangor sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali di Holiday Villa di sini hari ini.

Pada majlis itu, selain menikmati pelbagai juadah, kanak-kanak tersebut turut menerima hamper bernilai RM55 setiap satu di samping dihiburkan dengan pelbagai persembahan dari The Golden Kids Club dan Temple of Fine Art.

Rosmah yang juga Pengerusi Pelaksana Permata diminta mengulas keputusan Kabinet meluluskan peruntukan RM20 juta bagi melaksanakan projek tersebut untuk tempoh lima tahun.

Menurutnya, lebih 700 kanak-kanak berumur sehingga enam tahun berpeluang menikmati projek itu.

Kata beliau, buat permulaan pihak pengurusan dengan kerjasama kerajaan negeri telah mengenal pasti empat kawasan yang akan dijadikan projek perintis pusat khas tersebut.

Katanya, empat kawasan itu ialah Mempaga di Bentong; Shah Alam; Pasir Mas dan Putrajaya yang akan memulakan projek tersebut pada Februari depan dengan 50 kanak-kanak bagi setiap pusat.

Menurutnya, pemilihan kawasan terbabit mempunyai persekitaran hidup berbeza-beza seperti kawasan luar bandar, pinggir bandar, estet atau bandar.

‘‘Kami menjangkakan kesan projek itu dapat dilihat dalam masa tiga tahun,’’ katanya.