Friday, March 26, 2010

Pendidikan prasekolah penting

KUCHING 25 Mac - Pendidikan prasekolah sangat penting untuk memupuk dan meningkatkan keyakinan diri anak-anak bagi mencapai kecemerlangan pada masa depan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman berkata, pendidikan awal itu juga dilihat sebagai landasan terbaik bagi meningkatkan kemahiran sosial, fizikal dan emosi dalam menentukan hala tuju seseorang.

Menurutnya, kesemua aspek itu harus diberi perhatian sebelum mereka memasuki alam persekolahan formal.
"Adalah penting untuk menghantar anak-anak mendapatkan pendidikan awal kerana ia juga mampu memupuk perpaduan sejajar dengan gagasan 1Malaysia.

"Pendidikan awal kanak-kanak merupakan asas kepada mereka untuk meneruskan pendidikan dan ibu bapa tidak boleh leka sebaliknya harus melengkapkan anak-anak dengan pendidikan sejak di peringkat awal,'' katanya.

Beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata demikian ketika berucap sempena lawatannya ke Tadika Sinaran Jalan Astana di sini semalam.

Dalam pada itu, Daud memberitahu, pihak pengurusan sesebuah tadika perlu menyediakan pendidikan yang berkualiti agar anak-anak tidak menghadapi kesukaran apabila memasuki alam persekolahan sebenar.
Katanya, memang tidak dinafikan bahawa tadika-tadika yang ada di negeri ini menyediakan pendidikan yang bertaraf tinggi dan berkualiti, namun mereka perlu mempersiapkan malah mengukuhkan ketahanan fizikal serta mental anak-anak ini.

"Usaha tadika seumpama itu perlu diteruskan agar anak-anak tidak menghadapi sebarang kesulitan untuk meneruskan pelajaran pada peringkat lebih tinggi," ujarnya.

Friday, March 12, 2010

Program Permata Insan dilancar


Rosmah Mansor melihat adik Soraya Hamitaf, 8, membuat ujian Pintar Agama ketika Majlis Pelancaran Permata Insan di USIM Nilai, semalam. Turut kelihatan isteri Menteri Besar, Salbiah Tengku Nujumuddin (tiga dari kanan).


SEREMBAN 12 Mac – Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini melancarkan program Permata Insan bermatlamat melahirkan ilmuwan dan golongan teknokrat Islam pada masa depan.

Kata beliau, generasi pendukung negara masa depan hendaklah bukan hanya menghafal al-Quran tetapi lebih utama, mampu melihat kitab suci itu sebagai sumber ilmu yang agung dalam pelbagai bidang termasuk sains, biologi, fizik, matematik dan sains kemanusiaan.

“Ini antara nilai terpenting yang akan diterapkan dalam program Permata Insan yang kita lancarkan hari ini,” kata beliau di sini hari ini.

Rosmah berkata demikian sewaktu melancarkan program Permata Insan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai dekat sini hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Jamil Khir Baharom; isteri Menteri Besar, Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin; Naib Canselor USIM, Datuk Muhammad Muda dan Penasihat Menteri Pengajian Tinggi Arab Saudi, Prof. Dr. Auda Al Johani yang juga ahli Pertubuhan Cerdas Pintar King Abdul Aziz.

Rosmah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Dasar Permata Negara menjelaskan, program Permata Insan adalah kesinambungan Permata Pintar yang telah pun terbukti kejayaannya ketika ini.

“Kita telah dapat merealisasikan sebuah program yang buat pertama kalinya, akan memperkenalkan satu ujian kecerdasan khusus bagi mengenal pasti pelajar seawal usia lapan tahun yang mempunyai kecenderungan tinggi dalam pengajian agama,” jelas beliau.

Kata Rosmah, pelaksanaan program itu mengambil inspirasi daripada teknokrat Islam seperti Ibnu Sina, Al-Farabi, Al-Khawarizmi, A-Biruni, Ibnu Khaldun dan ramai lagi.

“Anggaplah usaha ini sebagai langkah permulaan bagi Malaysia untuk melahirkan kanak-kanak generasi al-Quran dan bakal menjadi tokoh ilmuwan Islam yang mampu membangunkan metodologi baru mentafsir al-Quran dan sunah,” tambah beliau.

Mengenai kandungan silibus dalam Permata Insan, Rosmah memberitahu, USIM yang dipertanggungjawabkan bagi pelaksanaan program berkenaan telah mengadakan kerjasama dengan Universiti King Abdul Aziz (KAZ) di Riyadh, Arab Saudi.

“Kandungan silibus ini telah digubal bagi membolehkan pelajar memahami tentang ilmu dan tamadun menerusi pendekatan mengenali al-Quran secara mendalam dan integratif.

“Ia akan dipersembahkan dengan menggunakan metodologi dan pendekatan semasa bagi menyuburkan kreativiti agar pengajian Islam ini tidak terpinggir dalam arus perubahan masa kini.

“Mereka (Universiti KAZ) sudah pun mempunyai program seumpama ini bagi kanak-kanak pintar seluruh Arab Saudi dan bersetuju untuk membantu memperhalusi komponen al-Quran dan kokurikulum Permata Insan ini,” jelas Rosmah.

Justeru pemilihan pelajar untuk mengikuti kem Permata Insan akan dibuat menerusi proses saringan Ujian Kecerdasan-UKM 1 yang berlangsung sepanjang Mac hingga Mei ini.
“Selepas itu mereka akan disaring pula melalui Ujian USIM 1 untuk melihat kecenderungan mereka dalam pengajian Islam.
“Pemilihan ini terbuka kepada seluruh pelajar pintar di sekolah agama negeri, sekolah agama rakyat dan swasta serta individu yang berminat,” kata Rosmah.

Beliau juga berharap dapat menghantar pelajar pintar negara ke kem percutian di Arab Saudi kelak sebagaimana dilakukan terhadap lima pelajar Permata Pintar yang akan mengikuti Perkhemahan Musim Panas 2010 di Universiti John Hopkins, Amerika Syarikat, Jun ini.

Beliau juga berharap dapat mengenal pasti 50 pelajar yang pintar agama ini dari seluruh negara untuk mengikuti Kem Permata Insan di USIM pada Disember depan.

Saturday, March 6, 2010

Lima pelajar pintar sertai program di AS

SEREMBAN 5 Mac - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mengumumkan nama lima pelajar pintar cerdas negara yang akan mengikuti program Perkhemahan Musim Panas 2010 di Universiti Johns Hopkins - Pusat Belia Berbakat di Amerika Syarikat (AS) Jun ini.

Mereka ialah Rabiatul Adawiyah Ishak, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang, Kuching, Sarawak; Kalithashinee Sivabalan, 14, dari SMK Dato' Onn, Butterworth, Pulau Pinang dan Ahmad Asyraf Burhani, 15, dari SMA Al-Maarif Bukit Goh, Kuantan, Pahang.

Dua lagi pelajar yang terpilih itu ialah Philip Chin Zhen Yew, 16, dari SMJK (C) Chung Ling, Butterworth, Pulau Pinang dan Muhammad Akmal Hasbullah, 16, dari Maktab Rendah Sains Mara, Pengkalan Chepa, Kelantan.

Rosmah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Dasar Permata Negara memberitahu, mereka akan mengikuti program berkenaan selama sebulan di negara itu bermula 16 Jun ini hingga pertengahan Julai depan.
"Mereka yang terpilih ini merupakan duta PERMATApintar dan diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman berada bersama-sama kanak-kanak pintar cerdas dari luar negara di Universiti Johns Hopkins itu," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Tahun Ke-2 Ujian Saringan Pertama PERMATAPintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 1 di Kolej Tunku Kurshiah di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom serta Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Shahabudin.

Menurut beliau, di AS nanti pelajar ini diberi pendedahan meluas mengenai mata pelajaran yang didedahkan seperti kriptologi, pengenalan kepada robotik, reka cipta, penaakulan mantik, menjadi saintis selain penulisan kreatif.

"Mereka akan memperoleh pengalaman secara terus serta bergaul dengan kanak-kanak pintar dari negara lain.

"Di samping itu, mereka dapat bertukar pandangan serta idea dan memahami kebudayaan, agama dan cara hidup antara satu negara dengan negara yang lain," katanya.

Rosmah menjelaskan, apa yang lebih penting, lima duta PERMATApintar yang dihantar ke universiti itu akan menerangkan juga kepada kanak-kanak luar negara mengenai Malaysia.

"Inilah salah satu cara kita meletakkan Malaysia di peta dunia melalui projek PERMATApintar dan kita tidak mahu ketinggalan dalam menyatakan kepada dunia bahawa Malaysia juga mempunyai ramai kanak-kanak pintar," jelas beliau.

Rosmah berkata, menjadi harapan negara pada masa hadapan, lima duta PERMATApintar ini akan menjadi penceramah sekembali mereka daripada menjalani program di universiti tersebut.

"Ini akan dapat meningkatkan semangat kanak-kanak pintar Malaysia untuk mencontohi mereka," kata beliau.
Sehubungan itu juga, katanya, dalam program Perkhemahan Cuti Sekolah 2010 pada bulan Disember ini, sekretariat PERMATApintar Negara akan menjemput 10 kanak-kanak dari luar negara untuk turut serta dalam program ini.

"Ia sebagai galakan kepada kanak-kanak Malaysia berkongsi pengalaman dengan mereka," tambah beliau.
Terdahulu dalam ucapannya, Rosmah memberitahu, projek PERMATApintar sedang menyediakan program pembelajaran yang lebih formal melalui sebuah sekolah yang akan dikenali sebagai Akademi PERMATApintar Negara.

Katanya, akademi berasrama penuh itu sedang dibina dan dijangka siap akhir tahun ini.
Jelas Rosmah lagi, pada Januari 2011, seramai 150 pelajar berbilang kaum di tingkatan 4 akan diambil melalui pemilihan secara ujian.

"Mereka akan mengikuti pembelajaran arus perdana dan diberi peluang mengambil peperiksaan antarabangsa seperti SAT, Advance Placement atau O dan A Level.

"Ini akan memberikan mereka satu jaringan keselamatan yang lebih luas untuk meneruskan pengajian mereka di universiti terkemuka dunia," jelas Rosmah.

Wednesday, March 3, 2010

PERMATA Jeli Mulakan Operasi

BANDAR JELI, 3 MAC 2010 – Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) parlimen Jeli, semalam mula beroperasi dan Jeli adalah antara 457 pusat jagaan di seluruh negara yang diperkenalkan serta dibangunkan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi 1(PRE).

Ketua Penyelarasnya, Norazniza mohd Nawi berkata, sejumlah 40 kanak-kanak di bawah lima tahun hari ini memasuki pusat jagaan ini.

Menurutnya, pusat jagaan yang memulakan operasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang ini merupakan peluang kepada penduduk luar bandar dan berpendapatan rendah memupuk dan membina minda kreatif, bijak serta berkeyakinan diri di kalangan anak-anak Jeli.

“Insyaallah,  wujudnya Permata Negara idea isteri Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansor di parlimen ini maka pembinaan generasi kepimpinan negara akan lebih bermutu dan berkualiti,”katanya.

Sementara itu, seorang bapa, Anuzi Mat Nordin berkata, dia cukup bangga dan berterima kasih kepada kerajaan atas usaha isteri Ahli Parlimen Jeli, Datin Sri Khamazran Ahmed Meah mewujdukan Pusat Anak PERMATA ini.

Katanya, bangunan dianggarkan berjumlah RM700,000 ini diharapkan akan memberikan nilai tambah terbaik membentuk generasi Jeli cemerlang.

“Suasana persekitaran pusat jagaan ini juga diharapkan akan membantu menjana minda anak-anak Jeli sejajar dengan kewujudan zon ilmu di parlimen Jeli hasil idea Ahli Parlimen Jeli, Dato’ Sri Mustapa Mohamed,”katanya.