MARAN 15 Nov. - Empat Pusat Anak Permata Negara (PAPN) akan dibina di negeri ini bagi memberi pendidikan awal kanak-kanak dalam melahirkan generasi pintar pada masa akan datang.
Ketua Penolong Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Mohd. Zamri Mat Isa berkata, pihaknya telah mengenal pasti tiga daerah bakal didirikan pusat itu dengan peruntukan RM2 juta sebuah.
Setakat ini, menurut beliau, dua PAPN telah beroperasi iaitu di Felda Chini, Pekan dan Felda Mempaga, Bentong yang menjadi model kepada keberkesanan program pendidikan pintar itu.
"Pusat itu yang merupakan cetusan idea isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor semakin mendapat sambutan ibu bapa kerana anak-anak mereka akan diasuh oleh tenaga profesional.
"Justeru, peruntukan yang diberikan pada Bajet 2011 akan membolehkan lebih banyak pusat itu dibina di seluruh negara dengan sasaran satu Parlimen satu PAPN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan PAPN Parlimen Maran di sini hari ini.
Mohd. Zamri berkata, program Permata menawarkan satu alternatif dalam asuhan dan didikan awal kanak-kanak di bawah umur lima tahun kepada rakyat apabila pendekatan itu berjaya dilaksanakan di negara maju.
Tambahnya, program itu berupaya merangsang perkembangan intelek, kognitif dan komunikasi kanak-kanak serta meningkatkan kestabilan emosi mereka.
"Di samping itu, program Permata dapat merangsang minda untuk meneroka sesuatu yang baru dan mencuba serta menyelami melalui permainan disediakan pengasuh bertaraf profesional," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Muttalib berkata, usaha tersebut sangat baik dan perlu disokong kerana cara pendekatan itu mampu mendidik generasi baru mengenai nilai-nilai murni, bersyukur dan menjadi aset dalam meneruskan kecemerlangan negara.